Antara isu yang menjadi pertanyaan banyak pihak adakah boleh seseorang itu menyerahkan sendiri zakat kepada mereka yang memerlukan di era pandemik Covid 19 ini tanpa melalui pusat zakat?
Ia menjadi lebih mendesak apabila ia melibatkan adik-beradik, jiran tetangga dan sahabat taulan.
Realitinya, dalam amalan atau praktis menyalurkan bantuan, semua pihak mahu agar agihan zakat menjadi efektif dan tidak dibebani dengan pelbagai kerenah birokrasi.
Maka, atas dasar itu ada pihak yang mengambil jalan pintas dengan mengabaikan amil zakat dan menyalurkannya sendiri. Lebih berkesan kata mereka. Tidak dinafikan perkara ini sangat popular dan mengundang pujian.
Namun begitu, bagaimana pula pada pertimbangan fiqh atau pandangan syarak? Ini kerana, zakat adalah ibadah fardu. Sama seperti solat, puasa dan haji. Setiap ibadah itu ada rukun dan syarat wajibnya, ada syarat sah dan batalnya.
Harus difahami bahawa zakat bukanlah seperti sedekah sunat yang boleh disalurkan secara terbuka.
Tidak dinafikan juga isu ini mempunyai khilaf yang besar dalam kalangan fuqaha. Memang ada pendapat fuqaha yang mengharuskan zakat diagihkan sendiri. Oleh itu, penulisan ini tidak bermaksud menafikan pandangan para fuqaha tersebut.
Namun apa yang mahu ditekankan adalah umat Islam di negara ini juga jangan lupa bahawa kita hidup di negara atau negeri yang mempunyai fatwa dan muftinya sendiri. Lalu ketetapan fatwa setempat itu perlulah dipatuhi demi maslahah (kebaikan) semua pihak.
Dari aspek hukum fikah, benar bahawa adik-beradik atau jiran tetangga yang bukannya di bawah tanggungan wajib atau nafkah wajib (nafkah wajibah), adalah diharuskan menerima menerima zakat daripada seseorang muzakki (pembayar zakat).
Syarak hanya menegah penyerahan zakat kepada tanggungan sendiri, misalnya anak kandung, ibu bapa kandung dan juga isteri. Tidak sah zakat itu jika memberikan zakat kepada mereka, khasnya jika mereka termasuk kategori fakir dan miskin.
Namun begitu, syarak dan hukum fikah juga menetapkan bahawa wujudnya tatacara dalam penyaluran zakat, iaitu zakat hendaklah disalurkan melalui amil zakat.
Ini kerana, zakat adalah ibadah kehartaan dan kebajikan sosial, dan ia termasuk dalam urusan pemerintahan. Samalah macam cukai yang diaktakan oleh kerajaan pada hari ini.
Allah SWT menyebut secara jelas kewujudan amil zakat di dalam al-Quran, iaitu di dalam surah at-Taubah, ayat 60. Peranan pemerintah dalam urusan zakat juga disebut di dalam surah at-Taubah ayat 103 dan surah al-Hajj ayat 41.
Ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi telah mengupas isu ini secara jelas dan tuntas di dalam kitabnya, Hukum Zakat.
Antara lain beliau menyatakan: ‘Wajib bagi pemerintah mengirimkan para petugas zakat (amil) untuk memungut zakat kerana Nabi Muhammad SAW dan para khalifah selepasnya juga melakukan perkara yang sama.’ (Hukum Zakat, hal. 545)
Dalam perbahasan fikah klasik juga sebahagian ulama menyatakan, penyerahan zakat kepada amil itu berlaku tanpa ada sebarang batasan. Walaupun ternyata, pemerintah yang mengelolakan kutipan zakat itu adalah fasik (seorang yang suka berbuat dosa) dan zalim.
Namun begitu, para fukaha masyhur seperti Imam Syafie, Imam Maliki dan Imam Hanbali juga bersetuju dengan satu pendapat iaitu apabila pemerintah yang zalim itu mula menyelewengkan harta zakat, maka pemilik harta berhak menyembunyikan harta zakat daripada amil dan mengambil pendekatan untuk mengagihkannya sendiri (Hukum Zakat, hal. 774-775).
Ternyata dalam konteks hari ini, semua pusat zakat di negara kita pada hakikatnya begitu serius membantu asnaf sedia ada.
Malahan usaha yang sama turut dilakukan dalam menyantuni mereka yang terdampak pandemik Covid 19, seperti golongan yang dibuang kerja, kehilangan tempat bergantung akibat kematian ibu bapa dan sebagainya lagi.
Dari laporan media massa dan media sosial sering terpapar betapa seriusnya usaha pusat-pusat zakat ini dalam menangani golongan ‘miskin segera’ ini.
Maka, tidak timbul sama sekali isu wujudnya elemen penyelewengan yang boleh menimbulkan keraguan umat Islam.
AGIHAN ZAKAT
Di dalam kitab yang masyhur dalam mazhab Syafie, iaitu Fiqh al-Manhaji as-Syafie juga mensyaratkan, pengagihan zakat yang dilakukan secara persendirian itu perlu dilakukan dengan tatacara yang sama ketatnya. Ia seperti mana dilakukan oleh para amil zakat yang terlatih.
Kesalahan menyalurkan zakat hakikatnya boleh menyebabkan ia menjadi tidak sah, dan pemiliknya dikira masih berhutang di sisi Allah SWT.
Atas dasar itu, maka fatwa di Malaysia juga menyatakan, memang sah jika zakat disalurkan secara persendirian dengan syarat ia mestilah sampai kepada asnaf yang betul, namun perbuatan itu dihukumkan berdosa.
Ia berdosa kerana mengabaikan arahan ulil amri agar menyerahkan zakat kepada amil zakat, sedangkan mentaati ulil amri adalah wajib (rujuk surah an-Nisa’ ayat 59).
Maka, jalan terbaik yang boleh dianjurkan adalah, kita perlulah menyalurkan dana zakat kepada amil yang bertauliah yang ada di tempat kita (pusat zakat).
Setelah itu, jika kita melihat ada dalam kalangan sanak saudara atau jiran tetangga yang memerlukan, maka mintalah mereka itu membuat permohonan di pusat zakat yang ada. Hal ini sangat dianjurkan, kerana ia keluar dari khilaf (perselisihan) dan menepati sunnah Rasul.
Namun ada juga pandangan yang lebih ringan dengan membenarkan pemilik harta itu mengambil sedikit daripada keseluruhan zakatnya untuk dia agihkan sendiri.
Ini demi memenuhi keperluan si miskin sebelum pihak pusat zakat dapat membantunya dengan lebih teratur.
Sebaik-baiknya jika mahu membantu, gunakanlah harta lain yang bukannya harta zakat. Misalnya wang sedekah. Dengan wang itu, bersedekahlah mengikut kemampuan kita.
Ini kerana, harta zakat itu sudah ada pemiliknya iaitu asnaf yang lapan. Sedangkan harta bukan zakat atau sedekah umum itu, ia bebas dan tidak terikat dengan asnaf.
Di sinilah datangnya keutamaan menyalurkan sedekah kepada kaum kerabat (wazil qurba) dan orang-orang yang dekat dengan kita. Malah, hadis nabi menyatakan, barang siapa bersedekah kepada saudaranya yang ada talian kekerabatan, maka mereka akan mendapat dua pahala. Pertama, pahala sedekah dan kedua, pahala kekerabatan.
Jelas bahawa, adalah menjadi satu prioriti bagi umat Islam menyalurkan harta zakat mereka kepada pusat zakat sedia ada. Ini kerana, di bawah tanggungan pusat zakat itu sendiri hakikatnya sudah wujud beratus ribu keluarga asnaf. Malah mungkin jutaan jiwa yang menjadi tanggungan wajib secara tetap saban bulan.
Jika kutipan menyusut, maka bantuan kepada mereka akan terputus dan kesannya akan membebankan negara secara umum.
Selain itu, sudah terbukti pusat-pusat zakat kita amat proaktif membantu masyarakat yang susah dan terkesan dengan Covid-19.
Mereka melakukannya dengan sangat tekun, profesional dan tiada sebarang jurang politik, kaum dan ideologi, sesuai dengan kedudukan pusat-pusat zakat di bawah teraju para sultan yang menjadi ketua agama Islam negeri. Ternyata hal Ini lebih menjamin bantuan yang adil.
Jika mahu menyerahkan bantuan kepada sesama saudara dan jiran tetangga, hulurkanlah sedekah.
Ini kerana, sedekah adalah pemberian yang tidak terikat dengan perintah menyerahkannya kepada amil. Tiada sebarang khilaf mengenai menyerahkan sedekah, hatta kepada si kaya sekali pun.
Selain itu, agama juga menganjurkan kita melakukan sesuatu yang menepati sunnah dan keluar dari khilaf kalangan fuqaha.
Ternyata, amalan yang menepati sunnah ialah menyerahkan zakat kepada amil dan keluar daripada khilaf itu juga ialah menyerahkan zakat kepada amil.
- Hamizul Abdul Hamid, Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di hamizul@