Anda sudah tiada idea hendak masak menu ayam hari ini. Apa kata cuba buat ayam goreng rangup versi restoran makanan segera ini. Rasanya sedap, rangup dan tidak muak dimakan.
Melalui perkongsian Reha Rahma di Facebook, beliau menggunakan dua bahan perapan sahaja iaitu campuran dua tepung sebagai salutan sebelum digoreng.
Petua hendak mendapatkan ayam goreng rangup atau ‘kerinting’, adalah melalui teknik membasahkan ayam bersalut tepung itu ke dalam air terlebih dahulu. Rendam beberapa saat, selepas itu salut sekali lagi ayam itu dengan tepung sehinggalah nampak rupa ‘kerinting’.
Resipi ayam goreng rangup
Bahan-bahan perap:
1 kilo kepak ayam
1 sudu kecil kunyit
3 sudu makan stok ayam pekat Maggi
Bahan salutan ayam:
1 cawan tepung gandum
½ cawan tepung bistari
Bahan lain:
1 mangkuk air
Minyak untuk menggoreng
Cara membuat perapan ayam:
1-Perapkan kepak ayam dengan kunyit. Sukatan ini untuk sekilo kepak ayam.
2-Kemudian tambahkan stok ayam Maggi ke dalam perapan ini. Perasa stok ayam ini sudah lengkap semua bahan untuk jadi bahan perapan.
3-Perapkan ayam dalam sejam atau lebih. Lagi lama diperap lagi sedap. Boleh perap semalaman. Perap malam dan esoknya boleh masak. Simpan dalam peti ais terlebih dahulu.
Cara membuat salutan ayam:
1-Campurkan secawan tepung gandum dan setengah cawan tepung bistari. Sebatikan campuran kedua-dua tepung ini.
2-Kemudian ambil ayam yang telah diperap tadi dan salutkan dengan campuran kedua-dua tepung ini.
3-Petua hendak bagi ayam itu ada ‘kerinting’ adalah menggunakan teknik ayam dibasahkan dengan air. Sediakan air di dalam mangkuk. Kemudian masukkan ayam bersalut tepung ini ke dalam air beberapa saat.
4-Selepas itu salut sekali lagi ayam itu dengan tepung sehinggalah nampak rupa ‘kerinting’ itu. Jika hendak lagi banyak ‘kerinting’ itu bolehlah ulang dengan rendam ayam sekali lagi dan salut dengan tepung seperti proses awal itu.
5-Goreng ayam dalam minyak panas sehingga kekuningan dan siap dimasak.
Terima kasih : Reha Rahma
Facebook : Reha Rahma / https://www.facebook.com/reha.rahma.7