Seorang tokoh yang menghasilkan kitab yang menarik berkaitan memahami al-Quran ialah Dr. Faris al-Ansari.
Beliau dilahirkan pada 1960 di daerah Rasyidiyah, Maghribi. Bidang kajian PhD beliau adalah Usul Fiqh yang bertajuk ‘Istilah Usul’ di sisi Imam Syatibi sempurna ditulis di Universiti Mawlai Ismail di Miknas, Maghribi.
Dr Farid al-Ansari pernah memegang jawatan penting di Maghribi. Antaranya, ahli Jawatankuasa Akademik Tinggi, Profesor Pelawat di Dar Hadith Hasaniyyah, Ketua Unit Pengajian Tinggi, Profesor Usul Fiqh dan Maqasid Syariah.
Beliau juga adalah pemegang Kursi Profesor untuk subjek Tafsir di Jami’ Atiq di Miknas. Di peringkat antarabangsa, beliau adalah anggota Rabitah al-Adab al-Islami al-‘Alamiyyah.
Dr. Farid al-Ansari amat aktif menulis. Penulisannya bersifat kreatif dan kritikan, seumpama tegurannya kepada kumpulan gerakan Islam. Beliau menulis kitab Enam Kesalahan Dalam Gerakan Islam di Maghribi.
Karyanya melebihi 20 kitab. Banyak karyanya yang menjadi tarikan masyarakat tetapi yang popularnya ialah penulisan berkaitan pemahaman al-Quran iaitu Majalis al-Quran. Ia mengandungi tiga jilid.
Dr Farid al-Ansari banyak terkesan dengan pemikiran beberapa tokoh ulama sebelumnya. Antaranya ialah Badiuzaman Said Nursi iaitu seorang reformis kelahiran Turki yang menghasilkan kitab Rasail al-Nur.
Terkesan dengan tokoh ini, beliau menulis kitab Mafatih al-Nur yang bermaksud kunci-kunci al-Nur yang merujuk kepada Rasail al-Nur.
Kitab Mafatih al-Nur adalah kamus yang menghurai istilah di dalam kitab Rasil Nur. Kitab ini diterjemahkan ke bahasa Turki bagi memberi lebih manfaat kepada pembaca Rasail Nur yang naskhah asalnya dalam bahasa Turki.
Selain penulisan kitab, beliau aktif menulis artikel yang diterbitkan beberapa majalah sama ada di Maghribi atau antarabangsa. Beliau juga banyak memberi syarahan, khutbah jumaat dan rakaman di radio dan televisyen.
Salah satunya ialah rancangan tafsir al-Quran yang diberi nama Basair al-Quran al-Karim. Namun beliau tidak sempat menghabiskan semua tafsir al-Quran dalam rancangan tersebut.
Dr. Farid al-Ansari meninggal dunia pada 5 November 2009 di hospital di Istanbul, Turki. Jenazahnya diterbangkan ke Maghribi. Ribuan hadir di Masjid Jamek al-Arwa untuk solat jenazahnya sehingga melimpah keluar masjid. Jenazahnya disemadikan di Perkuburan Zaitun.
Majalis al-Quran
Pada permulaan kitab Majalis al-Quran, Dr. Farid al-Ansari menjelaskan objektif penulisannya adalah menampakkan perbincangan berkaitan al-Quran dalam bentuk amali.
Beliau berharap mukmin yang membacanya berada dalam suasana al-Quran. Menerima setiap ayat al-Quran dan kalimahnya sama ada membaca, menyucikan diri atau mempelajarinya.
Membaca al-Quran sahaja telah memberi kesan yang amat besar sehingga jiwa berubah kepada jiwa yang Rabbani dan mendapat cahaya. Tidakkah malaikat turun di waktu malam seumpama bintang tsurayya untuk mendengar orang yang membaca al-Quran.
Berlaku peristiwa seorang sahabat r.a membacakan surah al-Fatihah kepada seorang yang terkena sengatan binatang berbisa. Dengan izin Allah, yang terkena sengatan berbisa itu sembuh.
Persoalan menarik yang dilontarkan oleh Dr. Farid al-Ansari, tidakkah al-Quran yang kita baca pada hari ini juga dibaca oleh orang sebelum kita tetapi mereka beroleh kejayaan tidak kita?
Apakah sebenarnya yang berlaku kepada kita kini? Ulama dahulu dan sekarang bersetuju bahawa manhaj kehidupan adalah apa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya melalui al-Quran.
Mereka talaqqi al-Quran satu demi satu ayat. Begitu juga dengan hikmah. Tujuannya supaya berakhlak dengan al-Quran dan mendidik jiwa dengan hakikat keimanan. Sehinggalah al-Quran menetap dalam jiwa mukmin dengan kukuh secara tabie.
Natijahnya, semua gerak gerinya bersumberkan al-Quran. Percakapannya adalah dengan hikmah al-Quran. Urusan hariannya diutamakan tilawah al-Quran sama ada untuk diri atau orang sekelilingnya.
Itulah yang dilakukan oleh Nabi SAW dan menyampaikan semua ayat al-Quran yang diturunkan kepadanya.
Bertitik tolak dengan penyampaian itulah berlaku perubahan besar dalam sejarah kemanusiaan. Sedangkan waktu itu tidak ada alat penyampaian yang hebat dan sistem siar raya digital canggih seperti hari ini.
Rasulullah SAW menyampaikan ayat-ayat al-Quran dan dakwah kepada penduduk Mekah di celah-celah lereng bukit, masuk ke rumah ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Rasulullah SAW mendirikan solat dan mengadakan majlis al-Quran dengan pengisian membaca al-Quran, mengajar dan tazkiyah iaitu membersihkan jiwa dengan al-Quran di rumah al-Arqam Ibn Abi al-Arqam. Yang terakhir, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah di masjidnya di Madinah, kota Islam yang pertama.
Penyampaian Nabi SAW amat ringkas sesuai dengan zaman itu tetapi yang hebatnya adalah al-Quran. Para sahabat r.a yang mendapat tarbiahnya mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka dan ruh mereka adalah al-Quran.
Semua majlis baginda berorientasi al-Quran. Begitu juga dengan majlis yang diadakan oleh para sahabatnya r.a di mana jua semuanya adalah berpaksikan al-Quran.
Majlis al-Quran ini menjadi turun-temurun untuk menegakkan agama Islam dalam jiwa individu dan masyarakat secara seimbang. Akhirnya masyarakat islam terbentuk secara syumul dalam semua dimensi.
Perkara tersebut tidak perlu kepada bukti. Bacalah ayat al-Quran dengan syarat kita teliti dan tadabur maknanya.
Kepada mukmin yang mahu mengkaji dengan penuh rasa rindu kepada Allah, lihatlah dengan mata hati firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat ke atas golongan yang beriman dengan mengutuskan kepada mereka seorang rasul dalam kalangan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan jiwa mereka dan mengajar mereka al-Quran dan sunnah. Sesungguhnya mereka sebelum kedatangan rasul itu berada dalam kesesatan yang nyata. (ali-Imran:164)
Itulah risalah al-Quran yang dibawa oleh Nabi SAW. Ayuh bangkit wahai umat Islam. Tidak sampai lagikah waktu untuk kamu memperbaharui perjanjian kamu dengan al-Quran? Isunya adalah memperbaharui risalah al-Quran.
Justeru hendaklah kita kembali kepada madrasah Nabi SAW iaitu Madrasah al-Quran dengan mengadakan majlis al-Quran mengikut kaedah al-Quran yang bersih sebagaimana ia disaksikan oleh Allah pada generasi al-Quran dahulu.
* PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.