KUALA LUMPUR: Pelakon, Fizo Omar meluahkan rasa terkilan dengan segelintir pemimpin parti politik dalam menerajui pentadbiran negara.
Menerusi Instagramnya dia menjelaskan pemimpin perlu bersatu hati dan sebulat suara bagi menangani kemelut yang sedang berlaku ketika ini.
“Apa nak jadi dengan negara kita Malaysia ini. Patutnya bila Allah berikan ujian untuk kita semua, waktu ini lah kita bersama-sama menghadapinya dan cari jalan penyelesaian terbaik.
“Rakyat menderita, kalau dah ada yang sampai sanggup bunuh diri, tiada duit nak makan, tempat tinggal, itu dah terlampau teruk. Waktu inilah kami sebagai rakyat mengharapkan kebijaksaan para pemimpin, semua yang menabur pelbagai janji kepada rakyat sebelum ini.
“Bagaimana kita nak mendepani cabaran Covid ini kalau masalah dalaman negara kita tidak berkesudahan,” luahnya kesal.
Dalam perkongsian sama, pelakon itu memberi gambaran senario yang sedang berlaku.
“Sebagai anak-anak, sangat sedih bila setiap hari melihat ibu bapa bergaduh, bertengkar berebut kuasa, tidak ada persefahaman, memfitnah antara satu sama lain. Itulah diibaratkan keadaan sekarang ini.
“Diharap suara kecil saya sebagai salah seorang jutaan rakyat Malaysia, didengari dan diambil peduli oleh pemimpin yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kami semua,” katanya.