Yahudi menumpang di bumi Madinah - Utusan Malaysia

Yahudi menumpang di bumi Madinah

Allah SWT memberi pertolongan dalam perang Khandak dengan mengutus tenteranya iaitu ribut taufan menyebabkan tentera bersekutu Quraisy lintang-pukang melarikan diri dari medan peperangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bangsa Arab yang mendiami Madinah Munawwarah sebelum kedatangan Nabi SAW terdiri daripada kabilah Aus dan Khazraj. Dalam kalangan bangsa Yahudi pula dari Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Persoalannya adakah mereka penduduk asal Madinah? Sebelum Nabi SAW diutuskan, bangsa Yahudi mengkaji kitab mereka berkenaan kedatangan Nabi SAW. Dalam penelitian mereka nabi akhir zaman akan berhijrah ke Madinah.

Itulah pendapat kebanyakan rahib mereka dengan mengharapkan nabi akhir zaman ini adalah di kalangan bangsa mereka. Oleh sebab itu mereka berpindah beramai-ramai dari Syam ke Madinah.

Ibn Ishaq menyatakan dalam sirahnya bahawa orang-orang tua dalam kalangan bangsa Arab di Madinah berkata, “Tidak ada seorang pun bangsa Arab lebih mengetahui berkenaan Rasulullah SAW lebih daripada kami kerana bersama kami bangsa Yahudi. Mereka adalah ahl al-Kitab yang pakar tetapi menyembah berhala.

Apabila ada perkara yang mereka benci perbuatan kami mereka akan berkata, “Sesungguhnya tidak lama lagi seorang Nabi akan diutuskan. Kami akan menjadi pengikutnya dan akan bersamanya membunuh kamu sebagaimana pembunuhan yang berlaku ke atas kaum ‘Ad dan Iram”.

Apabila Nabi diutuskan, bangsa Arab penduduk Madinah telah beriman kepadanya dan mengikutinya tetapi Yahudi ingkar dan tidak beriman.

Allah SWT berfirman: Dan tatkala datang kepada mereka sebuah kitab dari Allah (al-Quran) yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (kitab Taurat) sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa kitab itu). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan al-Quran) mereka mengingkarinya maka dengan yang demikian laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu. (al-Baqarah: 89)

Ketiga-tiga kumpulan Yahudi di Madinah mempunyai beberapa pekerjaan seperti berniaga dengan unsur riba, bercucuk tanam, menternak, berniaga rutab, gandum, arak yang mereka bawa dari Syam. Sebahagian mereka juga melakukan bertukang besi tetapi amat hina dalam kalangan mereka.

Bani Qainuqa’ pula terkenal dengan tukangan emas. Mereka kumpulan Yahudi ada harta paling banyak walaupun bilangan mereka paling sedikit.

SAHIFAH MADINAH

Rasulullah SAW diutuskan sebagai rahmat ke seluruh alam. Baginda SAW mempunyai akhlak terpuji. Maka sudah tentu segala tindakan Baginda penuh dengan hikmat. Apabila hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mengadakan satu perjanjian yang dikenali Sahifah Madinah dengan semua penduduk Madinah termasuk bangsa Yahudi.

Kandungan perjanjian tersebut ialah kebebasan beragama, menjaga keamanan harta, kehidupan bermasyarakat, ekonomi dan ketenteraan.

Kehidupan bermasyarakat dalam perjanjian tersebut ialah memberi keamanan kepada bangsa Yahudi dan dilarang sama sekali melakukan tindakan menceroboh kepada mereka. Dalam beragama pula memberi diberi kebebasan untuk beriktikad. Memberi hak-hak kejiranan.

Dalam ketenteraan, semua penduduk Madinah mestilah berada dalam satu sof menghadapi pencerobohan musuh serangan dari luar Madinah untuk menjaga jiwa, maruah dan negara.

YAHUDI LANGGAR PERJANJIAN

Sejak dulu golongan Yahudi suka melanggar perjanjian. Begitu jugalah yang berlaku pada zaman Nabi SAW walaupun pada mulanya semua mereka bersetuju. Bani Qainuqa’ telah melakukan dua perbuatan khianat.

Pertama, bersekongkol dengan Quraisy Mekah dalam peperangan Badar dan yang kedua khianat terhadap seorang wanita muslim ketika membeli perhiasan di pasar mereka. Seorang lelaki Yahudi meminta wanita tersebut membuka hijab di muka namun beliau enggan. Ketika wanita tersebut duduk datang seorang lelaki Yahudi mengikat baju wanita tanpa disedari.

Apabila bangkit terbukalah aurat dan beliau meminta tolong. Kebetulan seorang lelaki muslim ada berhampiran dan membunuh lelaki Yahudi tersebut. Lantas sekumpulan Yahudi datang kepada lelaki muslim dan membunuhnya. Inilah pencabulan pertama Yahudi terhadap perjanjian.

Perkara ini sampai kepada Nabi SAW dan mengambil tindakan dengan menghantar sekumpulan tentera, diketuai bapa saudaranya Hamzah Ibn Abdu Mutalib RA. Selepas 15 malam kepungan, Yahudi menyerah kalah lalu dihalau keluar Madinah dan pergi ke Syam.

Pada tahun keempat hijrah, Rasulullah dan para sahabatnya pergi ke Quba kemudian singgah di perkampungan Bani al-Nadhir untuk urusan pembayaran diyah kerana satu kes pembunuhan.

Ketika Rasulullah berada di tepi satu rumah mereka, seorang Yahudi naik ke atas rumah dengan membawa satu batu besar untuk dibuang ke atas Nabi SAW. Salah seorang daripada mereka memberi amaran kamu jangan lakukan perkara ini kerana demi Allah, Muhammad akan tahu dan perbuatan tersebut adalah mencabuli perjanjian antara kita dengan Muhammad.

Datang perkhabaran ilahi kepada Nabi SAW, dan Baginda beredar dengan cepat pulang ke Madinah. Yahudi terpegun. Nabi SAW bersabda:

“Yahudi melakukan konspirasi untuk membunuh dan Allah telah memberitahu kepada ku, lalu aku terus berlalu”.

Lanjutan peristiwa tersebut turun surah al-Hasyr keseluruhanya menceritakan pengkhiantan dan hukuman yang dijatuhkan kepada Yahudi Bani al-Nadhir. Mereka dihalau keluar Madinah dengan membawa harta hanya apa yang dimuat atas satu unta. Yahudi Bani al-Nadhir pergi ke Khaibar dan sebahagianya pergi ke Syam.

Pada tahun kelima hijrah, ketua Yahudi Bani Quraizhah iaitu Huyai Ibn Akhtob, menggesa kaumnya melawan orang Islam dalam perang Khandak. Perang Khandak adalah amat dahsyat kerana musuh Islam di kalangan musyrikin Quraisy yang diketuai Abu Sufian bergabung dengan beberapa kabilah lain sehingga bilangan mereka adalah 10,000 orang.

Dalam keadaan tesebut Yahudi Bani Quraizhah pula melakukan pengkhianatan kepada Nabi SAW dari arah dalam kota Madinah.

Allah SWT memberi pertolongan dalam perang Khandak dengan mengutus tenteranya berupa ribut taufan menyebabkan tentera bersekutu Qurasiy lintang pukang melarikan diri dari medan peperangan.

Selepas berjaya dalam perang khandak, Jibril AS datang kepada Nabi SAW memberi arahan untuk pergi ke Bani Quraizhah. Nabi SAW dan para sahabtnya mengepung perkampungan Bani Quraizhah selama 25 hari. Selepas menyerah kalah, Saad Ibn Mu’az r.a menjatuhkan hukuman dengan membunuh mereka yang memerangi Islam dan yang lain menjadi tawanan.

Nabi SAW bersabda kepadanya: Sesungguhnya kamu berhukum dengan hukum Allah.

Kesimpulannya, Madinah bukan bumi Yahudi. Mereka datang dari Syam dengan tujuan mengharap Nabi akhir zaman di kalangan mereka. Nabi SAW berusaha untuk menyatukan mereka dengan Islam melalui perjanjian. Namun mereka kaum yang ingkar dan mencabuli perjanjian. Akhirnya semua mereka di hukum sama ada dibunuh atau dihalau keluar Madinah bersesuaian dengan perbuatan mereka.

  • Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya