Siapkan bekal menuju akhirat - Utusan Malaysia

Siapkan bekal menuju akhirat

Kisah Abu Dahdah yang menginfakkan ladang kurmanya bagi mendapat ganjaran kebun kurma di syurga seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam sebagai persiapan bekalan di akhirat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Manusia bukan pemilik dunia. Mereka tidak kekal di atasnya. Apabila tiba masanya masing-masing akan pergi menemui Tuhan. Pada hakikatnya hidup di dunia hanya persinggahan sementara, dan kita semua sedang berjalan menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti.

Sedar atau tidak, setiap detik waktu yang kita lalui akan mengurangkan umur yang di beri, dan akhirnya pergi meninggalkan dunia yang hina ini. Alangkah malang bagi sesiapa yang terlalu mengejar dunia yang tidak kekal ini dan membelakangkan akhirat yang kekal abadi.

Sungguh kehidupan di dunia berbanding akhirat umpama hidup di waktu duha sahaja. Alangkah singkatnya hidup ini. Namun tidak semua memahami erti sebenar hidup ini.

Ada yang malas beramal, ada yang leka dengan mengejar kemewahan ingin dikenali dan menjadi masyhur. Ada pula yang tidak percaya hari kebangkitan di hari akhirat.

Satu hari baginda tidur beralaskan tikar kasar yang membekas pada badannya saat bangkit daripada tidurnya. Melihat keadaan ini para sahabat menawarkan agar disediakan untuk Rasulullah alas tidur yang lebih nyaman dan selesa.

Namun Rasulullah menolaknya sambil berkata: Apakah yang aku mahukan dari keduniaan ini, sesungguhnya perumpamaan aku dengan dunia ini umpama seorang musafir berteduh di bawah pokok lalu meninggalkan pokok itu. (Riwayat Tirmidzi).

Menyikapi permisalan ini Saidina Abdullah bin Umar r.a berkata: Apabila kamu berada di waktu petang maka janganlah kamu menunggu pagi untuk beramal, dan bila kamu berada di waktu pagi janganlah kamu menunggu petang untuk beramal, beramallah kamu di masa sihatmu sebelum datang sakit dan gunakan hidupmu (untuk beramal soleh) sebelum datang kematianmu. (Riwayat Bukhari).

Pengajaran penting daripada hadis ini adalah hidup di atas muka bumi ini sangat singkat. Maka gunakanlah untuk beramal sebagai bekal menuju akhirat.

Sangat banyak peluang yang diberi dalam kehidupan di dunia ini, namun tidak semua yang memanfaatkannya kecuali dalam hal keduniaan. Orang yang cerdik akan berfikir untuk menggunakan keduniaan untuk akhirat. Inilah orang yang bijak.

Ketika turun firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 245: Siapa yang memberi pinjam kepada Allah dengan pinjaman yang baik, pasti Allah berikan ganjaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.

Sahabat nabi bernama Abu Dahdah melihat ia peluang berharga baginya. Anas mengisahkan, dahulu ada dua bertetangga yang terlibat persengketaan kerana merebut sebatang pokok kurma.

Salah seorangnya ingin membina pagar rumah namun terhalang sebatang pokok kurma milik tetangganya yang tumbuh melewati pekarangannya.

Perselisihan ini sampai kepada Rasulullah SAW. Lalu nabi berkata kepada pemilik pokok kurma: “Berikanlah batang kurma itu kepada saudaramu (agar ia bisa memagar di tanahnya), dan engkau akan mendapatkan ganti sebuah kebun kurma di syurga”.

Namun, tetap saja ia tidak menolak. Tiba-tiba, seorang sahabat bernama Abu Dahdah datang menghampiri Rasulullah SAW.

“Benarkah demikian (apa yang baru engkau katakan bahawa akan digantikan dengan pokok kurma di syurga), wahai Rasulullah?” Rasulullah pun mengiyakan. Dengan wajah bersemangat, Abu Dahdah langsung menawarkan kepada kedua orang yang bersengketa itu. “Juallah sebatang pokok kurmamu itu kepadaku. Aku beli dengan seisi kebunku,” ujar Abu Dahdah kepada si pemilik batang kurma.

Dia pun terkejut. Siapa yang tidak kenal dengan kebun kurma milik Abu Dahdah. Di kebun tersebut setidak-tidaknya ada 600 pokok kurma. Bukan itu saja, kebun itu juga mempunyai perigi yang airnya sedap diminum. Ada juga rumah dan taman-taman yang indah.

Benarkah Abu Dahdah rela menjualnya hanya untuk mendapatkan satu batang kurma yang dipertikaikan itu? Sesetengahnya tidak percaya, si pemilik batang kurma itu pun mengangguk bersetuju.

Abu Dahdah berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah membeli pokok kurma itu, aku bayar dengan kebunku. Sekarang, pokok kurma itu aku berikan kepadamu”.

Rasulullah pun terharu dengan tindakan Abu Dahdah. “Alangkah banyaknya pokok kurma yang harum baunya milik Abu Dahdah di syurga kelak,” sabda Rasulullah sambil mengulang-ulang kalimat tersebut.

Abu Dahdah pun pulang menemui isterinya. Ia ceritakan apa yang baru saja ia lakukan. Dia pun mengajak isteri serta anak-anaknya untuk keluar daripada kebun kurma yang baru saja dijual itu.

Dengan wajah berseri-seri, isterinya pun setuju. “Alangkah beruntungnya jual belimu, suamiku,” ujar Ummu Dahdah, isterinya. (Riwayat At-Tabrani).

Alangkah bijaknya Abu Dahdah kerana menggunakan hartanya untuk akhirat. Dia tidak akan termasuk dalam golongan orang-orang yang menyesal. Penyesalan hanyalah kepada mereka yang tidak mahu mengambil peluang.

Rasulullah SAW berpesan: Tiadalah penghuni syurga nanti akan menyesal melainkan penyesalan mereka kerana tidak memanfaatkan masa yang berlalu pada mereka (ketika di dunia) untuk berzikir kepada Allah SWT.

Demikian juga firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya dan sesungguhnya sebaik-baik bekal (menuju akhirat ) adalah takwa kepada Allah. (al-Baqarah: 193).

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya