Melakukan korban bagi yang sudah meninggal - Utusan Malaysia

Melakukan korban bagi yang sudah meninggal

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebulan lagi umat Islam akan menyambut hari yang sangat mulia iaitu Hari Raya Akbar atau Eid Adha. Sebenarnya perayaan Eid Adha ini lebih besar daripada Eid al-Fitri memandangan Hari Raya Eid Adha juga dikenal dengan al-Eid al-Akbar.

Selain ibadah haji yang dilaksanakan pada hari-hari mulia ini bagi yang berada di Mekah Mukarramah, umat Islam di seluruh dunia melakukan salah satu ibadah yang amat penting iaitu ibadah korban (dalam bahasa Arab disebut Udhiyyah).

Ibadah korban berasal dari kisah Nabi Ibrahim a.s yang diwahyu Allah SWT untuk mengorbankan anaknya iaitu Nabi Ismail a.s. Allah SWT berfirman: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. (al-Saffaat: 102)

Menurut Imam al-Qurtubi (w. 671H) berlaku perbezaan pendapat tentang anak yang dimaksudkan: 1) Nabi Ishak 2) Nabi Ismail, 3) Tidak diketahui dan hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Apa pun perbezaan pendapat ini tidak menolak inti pati falsafah berkorban dengan haiwan korban. Ini kerana Allah SWT menukarkan anak Nabi Ibrahim a.s dengan seekor kibasy dan itulah dijadikan sunnah berkorban dengan haiwan korban.

Ia juga memberi pengajaran bagaimana Nabi Ibrahim a.s yang mendapat wahyu melalui mimpi yang merupakan salah satu dari cara penyampaian wahyu kepada para nabi a.s. Perkara yang paling utama melihat bagaimana sikap Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya sendiri kerana mematuhi perintah Allah SWT dan diizinkan oleh anaknya sendiri yang juga merupakan seorang nabi. Inilah pengajaran utama daripada berkorban.

Banyak soalan ditanya kepada saya. Soalan pertama, hukum melakukan korban untuk orang yang telah meninggalkan kita. Sudah tentu, anak yang soleh sangat berharap untuk dapat beribadah korban dan dihadiahkan pahalanya kepada orang tua tersayang.

Menurut Imam Khatib al-Shirbini (w. 977H) hukum berkorban bagi orang yang telah wafat adalah harus jika disertai wasiat daripada si mayyit. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”. (al-Najm: 39), (Mughni al-Muhtaj: 6/138)

Bagaimanapun, Imam Khatib al-Shirbini menjelaskan, ada satu pendapat bahawa berkorban untuk orang yang telah meninggal dunia adalah harus walaupun tanpa ada wasiat kerana ia dianggap bahagian daripada sedekah.

Kita disunatkan memilih haiwan ternakan yang gemuk dan cukup sifat sebagai haiwan korban.

SEDEKAH BAGI SI MATI

Bersedekah atas nama orang yang meninggal adalah sah dan dapat memberi manfaat kepadanya. Misalnya, Sheikh Muhammad bin Ishaq al-Siraj al-Naysaburi salah seorang guru Imam al-Bukhari telah mengkhatamkan untuk Nabi Muhammad SAW setidaknya 10,000 khataman dan berkorban untuk baginda Nabi SAW. (Mughni al-Muhtaj: 6/138).

Yang jelas, pendapat ini masih memberi ruang untuk orang berkorban kepada keluarganya yang sudah meninggal dunia.

Perlu diingatkan, apabila seseorang berkorban untuk orang yang telah meninggal dunia kerana diberi wasiat, maka haram baginya makan daging tersebut.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami (w. 974H) di dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (4/254) bahkan beliau menjelaskan wajib untuk menyedekahkan seluruh daging tersebut.

Salah satu perdebatan yang selalu dibincangkan dalam hal fikah korban setiap tahun adalah hukum memberi kulit binatang korban sebagai upah bagi tukang sembelih.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi (w. 676H) menegaskan hukumnya adalah haram seperti berikut: “Telah sepakat nas-nas al-Shafie dan murid-muridnya bahawa tidak boleh (haram) menjual sesuatu dari binatang kurban sama ada nazar ataupun ibadah sunat, sama ada daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan selainnya. Tidak boleh juga menjadikan kulit atau selainnya sebagai upah untuk tukang sembelih, malah wajib atasnya untuk bersedekah dengannya” (al-Majmu’: 8/398)

Lalu timbul pertanyaan, ada seorang asnaf dari fakir atau miskin yang dapat daging sebagai sedekah untuknya, adakah wajib baginya untuk memakannya atau harus baginya mentasarrufkan (menyalurkan) daging tersebut seperti hak miliknya sendiri?

Dalam hal ini, Mufti Tarem, Hadramawt, Yaman, Habib Abd al-Rahman al-Masyhur Ba’alawi (w. 1320H) menjelaskan, jika daging itu diberikan kepada fakir maka pemberiannya bersifat tamlik iaitu dimiliki dan berhak baginya untuk mentasarrufkan sesuai kemahuannya.

Sedangkan apabila daging tersebut diberi kepada orang yang kaya (ghani) maka ia hanya boleh mengambil manfaat seperti memakannya, memasaknya untuk tetamu-tetamunya walaupun si kaya, bersedekah lagi kepada orang lain dan selainnya. Dengan syarat tidak dijual kerana ia hanya bersifat ith’am (memberi makan) dari daging tersebut, bukan dimilikinya (tamlik). Penjelasan ini beliau kutipkan dari kitab al-Tuhfah oleh Ibn Hajar al-Haytami dan al-Nihayah oleh al-Ramli (w. 1004H) [Bughyah al-Mustarsyidin: 423].

Dengan penjelasan ini, diharap masyarakat Malaysia semakin jelas tentang sebahagian kecil hukum-hakam berkaitan korban yang dibangkitkan setiap tahun.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM dan Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya