Keunggulan tokoh tafsir OKU - Utusan Malaysia

Keunggulan tokoh tafsir OKU

DR. ABU MUHAMMAD FADL HASAN ABBAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Abu Muhammad Fadl Hasan Abbas adalah tokoh ulama tafsir yang dikurniakan Allah banyak kelebihan. Beliau amat alim dalam ulum al-Quran, ilmu berkaitan bahasa dan sastera Arab.

Nama beliau amat masyhur dan dikenali dek kerana banyak syarahan agama yang beliau sampaikan di masjid dan pusat pengajian tinggi. Pada tahun 70-an, pihak penyiaran telah membuat 400 siri rakaman tafsir al-Quran yang beliau syarah dengan lengkap.

Tokoh yang luas ilmunya dalam bidang tafsir al-Quran ini adalah Fadl Hasan Abbas. Dilahirkan pada tahun 1932 di Palestin. Beliau berketurunan ulama. Pada usianya 10 tahun beliau berjaya menghafaz al-Quran.

Berikutnya beliau menghafaz matn ilmu seperti Matn al-Ghayah wa al-Taqrib dalam fiqh Syafie, Matn Rahabiyyah dalam ilmu faraid, Matn Jauharat al-Tauhid dalam akidah dan Alfiyyah Ibn Malik dalam ilmu nahu.

Pada tahun 1948, Dr. Fadl Hasan Abbas bermusafir ilmu ke Mesir dan mengikuti pengajian di peringkat menengah kemudian melanjutkan pengajian di Univeristi al-Azhar dalam jurusan usuludin.

Beliau berjaya menamatkan pengajian pada 1952 dalam usia termuda ketika itu iaitu 20 tahun. Di peringkat PhD, beliau menulis tesis bertajuk Aliran Tafsir di Mesir dan Syam dan berjaya dalam sesi viva voice pada 1972.

Semasa di Universiti al-Azhar, beliau tertarik dan terkesan dengan beberapa tokoh ulama. Antaranya ialah bapa saudaranya Sheikh Yusuf Abdul Razzak, al-Allamah Muhammad Abdullah Diraz seorang tokoh tafsir, Sheikh al-Azhar al-Allamah Abdul Halim Mahmud, Sheikh al-Azhar Muhammad al-Baisar dan beberapa tokoh lain.

Kerjaya dan Karya Penulisan

Pada 1965, Dr. Fadl Hasan Abbas berpindah ke Jordan dan bekerja sebagai pendakwah di Amman. Kemudian beliau dilantik sebagai guru di Kuliah Syariah pada 1966. Beliau juga aktif mengajar beberapa subjek lain seperti ulum tafsir, hadis, tauhid, Bahasa Arab dan tilawah al-Quran.

Beliau juga memberi khidmat dakwah dan pengajaran di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) selama tiga tahun iaitu antara 1975 hingga 1978. Kemudian beliau kembali ke Jordan menjadi pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Jordan. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Program Usuludin dalam tempoh yang lama.

Ketokohan Dr. Fadl Hasan Abbas bukan hanya menyampaikan ilmu dalam bentuk syarahan atau pengajaran secara langsung tetapi beliau juga banyak menghasilkan karya penulisan yang bermutu dan menjadi rujukan dalam bidang tafsir, ulum al-Quran dan lain-lain.

Karya penulisannya terbahagi kepada tiga iaitu dalam ulum al-Quran, sastera Arab atau balaghah dan ilmu fiqh. Dalam ulum al-Quran karyanya yang menonjol adalah ‘Ijaz al-Quran, Qisas al-Qurani, Lataif al-Mannan, Itqan al-Burhan Fi Ulum al-Quran, Ittijihat al-Tafsir Wa Manahij al-Mufassirin dan lain-lain.

Jika dihitung semua karya penulisannya yang hampir 30 kitab dan siri syarahan beliau dalam tafsir al-Quran yang berjumlah 400 siri sudah tentu kita boleh bayangkan betapa luasnya ilmu Dr. Fadl Hasan Abbas dalam bidangnya meskipun beliau adalah orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Itqan al-Burhan Fi Ulum al-Quran

Kitab Itqan al-Burhan diterbitkan buat pertama kali pada 1997 dengan dua jilid. Ia dihasilkan dengan rujukan hampir 200 buah kitab. Ini menunjukkan keluasan ilmu dan kesungguhan penulisnya untuk melahirkan satu rujukan dalam ilmu ulum al-Quran dengan lebih sempurna.

Kitab Itqan al-Burhan Fi Ulum al-Quran.

Dalam mukadimah kitab ini dinyatakan tiga ayat pertama surah al-Rahman: Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dialah yang telah mengajarkan al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia. (al-Rahman:1-3)

Dalam surah ini dimulakan dengan nama yang amat mulia iaitu al-Rahman yang bermaksud banyaknya rahmat.

Allah SWT menyebut selepasnya dengan tiga rahmat dimulakan dengan mengajar al-Quran. Nikmat ini didahulukan sebelum menyebut penciptaan manusia.

Mengajar al-Quran adalah dalil dan bukti al-Quran ini adalah rahsia kejayaan dalam kehidupan dan asas kepada segala kebaikan. Al-Quran adalah anugerah Allah yang terbesar yang dikhususkan kepada penyudah segala anbiya Nabi kita Muhammad SAW. Padanya diturunkan keterangan yang amat jelas dengan berbahasa Arab, tanpa ada kepincangan dan pertentangan.

Al-Quran adalah kemuliaan kepada umat ini, kebanggaan dan rahsia kelangsungan ummah. Sesungguhnya umat Islam adalah terbaik pada generasi awalnya kerana berinteraksi dengan al-Quran secara jitu dan kuat lantas mereka adalah pemimpin kepada ummah dengan kedudukan yang tinggi.

Mereka menjiwai al-Quran melalui ayat-ayatnya dan menguasai rahsia-rahsianya. Mereka adalah sebaik ummah dengan hati yang bersih dan jiwa yang telus. Kesatuan ummah adalah satu kemanisan yang tidak mungkin tercapai kecuali dengan kembali kepangkuaan al-Quran.

Baju kemuliaan tidak mungkin boleh dipakai kecuali dengan berlindung di bawah lindungan al-Quran. Dengan sebab itulah sepatutnya keprihatinan umat Islam terhadap al-Quran harus digembeling dengan seluruh tenaga memberi tumpuan yang lebih dari kitab-kitab lain.

Sebelum kurun kedua menjenguk, kesan kebaikan al-Quran yang harum mewangi boleh dilihat berkembang dan berada dalam seluruh rak perpustakaan dunia. Ramai penulis membuat penulisan berkaitan al-Quran dalam seluruh dimensinya. Setiap bentuk penulisan berkaitan al-Quran adalah keistimewaannya.

Ada yang menulis berkaitan kaedah menyebut atau membaca al-Quran, penulisan berkaitan gaya bahasa dan susun atur uslub al-Quran, penulisan berkaitan ketinggian ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran di mana manusia akan berada di persada tinggi dengan mengamal ilmu-ilmunya.

Dalam bahagian tadabbur al-Quran, Dr. Fadl Hasan Abbas telah menghuraikan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW berkaitan kelebihan membaca al-Quran. Seterusnya beliau membuat kesimpulan yang menarik.

Setiap muslim wajib memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana membacanya adalah ibadat yang boleh menggilap hati yang kotor, menghilangkan kegelapan akal dan melapangkan kesukaran secara langsung muslim tersebut merasai hampir dengan Allah SWT.

Munajat Allah kepada hambanya adalah melalui pembacaan al-Quran dan munajat hamba kepada Allah adalah melalui selawat kepada Nabi SAW.

Oleh sebab itu rumah yang selalu dibaca padanya al-Quran akan memancar cahaya di mana cahayanya boleh dilihat oleh penduduk langit sebagaimana penduduk bumi melihat bintang di langit.

Dalam tadabbur al-Quran, beliau menasihati pembaca jangan melihat kepada zahir kalimah sahaja tetapi hendaklah melihat kepada sebalik makna yang mempunyai pelbagai makna, tujuan dan matlamat makna al-Quran.

Pada 6 Rabiulawal 1432 hijrah bersamaan 9 Februari 2011, dalam perjalanan menunaikan umrah, Dr. Fadl Hasan Abbas meninggal dunia.

Ribuan umat Islam melakukan solat jenazah atas tokoh tafsir yang dihormati ini.

  • Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya