Aktiviti riadah berbasikal kian mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat usia. Sama ada dilakukan secara individu mahupun berkumpulan, yang penting aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Peminat sukan berbasikal, Khairuzaman Abd. Samad, 36, yang baru-baru ini menyertai Ekspedisi Kayuhan Berbasikal Mesra Santai Alam, berkata, setiap kayuhan memiliki yang pasti menguji kesabaran dan ketangkasan individu.
Beliau yang mesra di panggil Khai berkongsi ekspedisi berbasikal seramai 15 orang yang diadakan sekitar Batang Kali, Rawang di Selangor.
Jangan salah sangka, program berkenaan dianjurkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Menurut Khai, objektif program adalah bagi mengekalkan daya kecergasan dan stamina peserta. Dalam masa sama menghayati keindahan alam semula jadi melalui aktiviti berkenaan.
Sementalah sukan itu memupuk budaya hidup sihat sebagai terapi diri, mengurangkan tekanan rutin harian dan merapatkan silaturahim.
“Seronok dapat bertukar pendapat dan pengalaman antara satu sama lain,” katanya.
MULA 7.30 PAGI
Seawal 7.30 pagi, semua peserta kayuhan berkumpul di JRD Liga Mas, Batang Kali bagi mendengar taklimat keselamatan dan perjalanan yang disampaikan oleh ketua kumpulan selain turut melakukan senaman ringan sebagai pemanas badan.
Kesemua ahli kelihatan begitu bersemangat, teruja malah seakan-akan tidak sabar mahu beraksi menunjukkan skil masing-masing.
Tepat 8 pagi bermula trek kayuhan bertenaga dengan perjalanan sejauh 20 kilometer (km) menuju Desa Alam Ria Kampung Sungai Masin, Batang Kali untuk menunggu kehadiran peserta lain.
Kira-kira 45 minit kemudian, kayuhan diteruskan menyusuri ke Kolam Apak Ulu Yam kemudian memasuki laluan ke Huda Heaven Ulu Rening.
Kesempatan itu diambil untuk berehat seketika sambil bermandi manda di sungai yang terdapat di situ.
“Sepanjang trek laluan, kami diuji pelbagai cabaran getir antaranya terpaksa meredah anak sungai untuk sampai ke satu destinasi, laluan berbukit bukau terutamanya ketika menyusuri kawasan semak samun dalam hutan. Permukaan jalan tidak sekata, berlumpur dan licin,” katanya.
Justeru mereka perlu berhati-hati dan seboleh-bolehnya cuba mengelakkan diri daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Sedikit sebanyak menguji kesabaran, ketahanan fizikal dan mental kami. Pun begitu terdapat di kalangan penunggang mengayuh basikal begitu laju dan perlahan. Lebih kurang 11.30 pagi kami bergerak pulang ke Liga Mas,” kata Khai.
SUKA AKTIVITI LASAK
Khai adalah seorang kaki hiking tegar. Ditanya mengenai minatnya terhadap aktiviti berbasikal, katanya segala-galanya bermula ketika di awal PKP, tahun lalu.
“Segala aktiviti pendakian telah terhenti beberapa bulan lamanya. Disebabkan kecintaan terhadap kehijauan hutan, maka telah terhasil idea baru untuk mengorak langkah menceburi aktiviti mountain biking.
“Kebanyakan rakannya tampil memberi sokongan dan galakan. Sebagai permulaan pada setiap hujung minggu kebiasaannya kami akan berlatih di sekitar Hulu Selangor, Bukit Beruntung dan Batang Kali.
“Ini kerana terdapat banyak jalan dalam seperti kebun kelapa sawit atau kawasan perhutanan,” katanya.
Khai juga berpendapat, berbasikal bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan namun berupaya menyuntik elemen mood aura positif dalam diri seseorang.
Terutamanya apabila berbasikal secara berkumpulan. Sudah semestinya akan timbul rasa keseronokan dan keceriaan.
Nasihat Khai, individu tidak perlu membazirkan wang membeli sebuah basikal sebaliknya pilih yang ikut bajet.
“Seelok eloknya bertanyakan kepada kawan-kawan yang sudah lama menceburi bidang ini sebelum kita mengeluarkan sesuatu bajet membeli sebuah basikal yang diidamkan,” katanya menutup bual bicara.