Kak Ani bangga pertahan kuih tradisional - Utusan Malaysia

Kak Ani bangga pertahan kuih tradisional

DALAM tempoh musim perayaan Aidilfitri, Rosnani Ahamed menghasilkan kira-kira 30,000 biji kuih bakar sehari bagi memenuhi permintaan pasaran seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUIH bangkit santan atau lebih dikenali sebagai kuih bakar di sebelah Utara Semenanjung merupakan antara kuih tradisional yang masih digemari ramai di seluruh negara.

Rasanya yang sedap dengan lemak-lemak manis dan cair di dalam mulut menjadi pemikat kepada peminat kuih legend tersebut termasuk dalam kalangan generasi muda.

Keistimewaan lain kuih bakar yang gebu itu ialah baunya yang harum selepas dimasak sehingga menyebabkan peminat kuih tradisional itu tidak sabar untuk menikmatinya.

Disebabkan itu, kuih tersebut tidak ditelan zaman walaupun muncul pelbagai jenis kuih moden di pasaran.

Pada Hari Raya Aidilfitri, kuih bakar menjadi antara kuih tradisional yang menjadi pilihan penduduk di Kedah untuk disajikan kepada tetamu yang berkunjung.

Malah di Negeri Jelapang Padi, ramai pengusaha kuih bakar terpaksa menyingsing lengan untuk menyiapkan tempahan kuih tradisional itu menjelang musim perayaan itu.

Pengusaha tersebut menjalankan perusahaan itu secara kecil-kecilan di rumah atau di bengkel bagi memenuhi permintaan di pasaran.

Pada masa sama, kebanyakan pengusaha terbabit telah menggunakan peralatan moden untuk menghasilkan kuih bakar yang banyak dalam masa singkat, selain menjimatkan tenaga.

Salah seorang pengusaha kuih bakar yang terkenal di Kedah ialah Rosnani Ahamed, 54, yang membuka bengkel kuih bakar di Kampung Lubuk, Tunjang, Jitra, Kedah.

Rosnani yang lebih mesra dipanggil Kak Ani menghasilkan kuih bakar hasil resipi sendiri yang memikat itu sejak 19 tahun lalu.

Malah kuih bakar hasil penangan air tangannya semakin mendapat sambutan dan mendapat permintaan di seluruh negara.

Produk kuih Bakar yang dihasilkannya itu menggunakan jenama ‘Kuih Bakar Gebu Kak Ani’.

“Kuih ini kelihatan mudah untuk dibuat, namun sebenarnya payah dan rumit serta perlu dilakukan secara teliti untuk mendapatkan hasil yang menawan dan berkualiti,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Rosnani menunjukkan kuih bakar yang telah siap di bengkel beliau di Kampung Lubuk, Tunjang, Jitra, Kubang Pasu, Kedah.

Buat 30,000 biji sehari

Rosnani memberitahu, pada musim perayaan ini, dia menghasilkan kuih bakar kira-kira 30,000 biji sehari untuk memenuhi tempahan pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurutnya, bagi memenuhi tempahan tersebut, dia menggunakan sebanyak 120 kilogram (kg) tepung ubi pada setiap hari.

“Bahan-bahan utama lain yang digunakan untuk menghasilkan kuih bakar itu ialah santan segar, telur, gula dan garam,” katanya lagi.

Menurutnya, dia akan memasak kuih bakar tu secara berperingkat menggunakan 20kg tepung ubi pada satu-satu masa.

Katanya, pada mulanya, tepung ubi itu akan digoreng terlebih dahulu selama 90 minit untuk mewangikan tepung tersebut dan ditapis serta dibiarkan sejuk.

Tambahnya, pada masa sama, telur dan gula dipukul selama 40 minit hingga kembang sebelum dimasukkan ke dalam tepung tersebut.

“Kemudian dimasukkan santan segar dan diadun sampai sebati dalam masa 20 minit. Selepas itu diperap lebih lima jam dan diuli sekali lagi sebelum dimasukkan ke dalam mesin acuan.

“Kuih bakar yang telah siap dibentuk menggunakan acuan tersebut kemudian dimasukkan ke dalam ke dalam ketuhar selama kira-kira 10 minit pada suhu 230 darjah Celcius,” katanya.

Rosnani memberitahu, sebanyak 30,000 biji kuih bakar itu boleh dimuatkan dalam 600 bekas dan setiap bekas tersebut pula diisi 50 biji kuih tersebut.

Tambahnya, pada masa ini, dia juga menggunakan seramai enam pekerja untuk melancarkan kerja-kerja memasak kuih bakar.

“Pada musim raya Aidilfitri tahun ini, saya menerima tempahan sebanyak 12,000 bekas daripada ejen seluruh negara.

“Harga borong yang saya jual kepada ejen ialah RM11 bagi satu bekas,” jelasnya.

Pekerja melakukan kerja pembungkusan kuih bakar sebelum dipasarkan.

Sementara itu, katanya, pada hari-hari biasa pula dia membuat kuih bakar sebanyak 80kg sehari.

Mengimbau kenangan ketika memula perniagaan kuih bakar ini, beliau berkata, dia hanya memasak kuih bakar di rumah dan diusahakan secara menjual iaitu menggunakan tangan sahaja untuk proses menyiapkan kuih tersebut.

“Kuih bakar itu Kak Ani jual kepada jiran-jiran serta kenalan sebelum dijual di kedai-kedai sekitar Tunjang dan pekan Jitra.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan tempahan yang diterima semakin meningkat,” katanya

Rosnani memberitahu, dia pada waktu itu hanya menggunakan tepung ubi kira-kira dua kilogram sahaja sehari untuk membuat kuih bakar.

“Hasil jualan kuih bakar itu dapatlah membantu keluarga saya menambah pendapatan sampingan,” katanya.

Malah, tambahnya, suaminya, Zainon Ahmad, 59, juga turut membantunya mengusahakan perniagaan kuih bakar tersebut.

“Kak Ani sekarang mempunyai tiga anak berusia antara 21 tahun hingga 35 tahun selepas seorang anak meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 21 tahun.

“Salah seorang anak Kak Ani itu juga membantu menguruskan perniagaan kuih bakar manakala dua lagi anak lagi bekerja sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rosnani berkata, dia berbangga dapat mempertahankan kuih bakar yang merupakan kuih tradisional di negeri ini.

“Kak Ani juga mahu mengembangkan lagi perniagaan kuih bakar dengan menghasilkan lebih banyak kuih tradisional itu pada masa hadapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya