Pertaruh figura UMNO - Utusan Malaysia

Pertaruh figura UMNO

ASYRAF Wajdi Dusuki (kanan) dan Shahril Suffian Hamdan perlu diberi kepercayaan penuh untuk mengemudi UMNO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENOLAKAN majoriti perwakilan terhadap suara-suara yang mahukan kerjasama politik di antara UMNO dan Bersatu sangat jelas berkumandang di dewan keramat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Sabtu dan Ahad lalu.

Ia ibarat bom jangka yang sudah lama berdetik sehinggalah terletup ketika Perhimpunan Agung parti 2020 itu.

Hal gunting dalam lipatan atau api dalam sekam ini sudah bukan menjadi rahsia dalaman dalam UMNO itu sendiri. Beberapa individu yang bergerak secara terang-terangan mahupun menyusup secara subversif sudah dapat dihidu dan kini menjadi musuh bahaya bagi sebuah institusi besar UMNO itu sendiri.

Dalam hal ini, setidak-tidaknya tindakan jantan langkah politik wajar diberikan kredit kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin. Situasi hampir sama berlaku kepada mereka dalam kancah politik ketika bersama parti terdahulu. Mereka telah lama bergelut dari dalam sehingga dituduh dan dikecam oleh ahli-ahli parti mereka sendiri.

Namun, kerana mereka percaya akan kehendak dan kepercayaan prinsip politik masing-masing, mereka berdua tidak mahu berterusan dilabel sebagai Jebat yang derhaka. Mereka membuktikan keberanian dengan pendirian politik mereka walaupun ketika itu berjawatan menteri dan berjawatan tinggi dalam parti politik mereka.

Keberanian mereka berdua menunjukkan belang dan keluar dari parti yang mempunyai nilai sentimental tinggi melayakkan mereka antara figura ahli politik yang berani dan berpencak silat di pentas terbuka. Bukan mudah untuk bertindak berani.

CERDIK

Sikap sebegini, barangkali amat wajar menjadi contoh kepada beberapa pemimpin UMNO seperti yang disebut oleh pembahas-pembahas. Disusuli dengan cabaran Timbalan Presiden dan Presiden itu sendiri, agar andai antara mereka merasakan UMNO tidak lagi bersehaluan dengan mereka, keluarlah dari parti dan teruskanlah perjuangan.

Ramai pemimpin dan figura UMNO yang menarik untuk ditonjolkan sebagai barisan hadapan dalam menghela nafas baharu UMNO untuk menjadi tawaran baharu kepada rakyat Malaysia. Kita harus akur dengan peredaran pantas zaman dan perkembangan laju dinamika politik negara. Dengan desakan Undi18, kebanjiran pengundi baharu yang semakin celik dan cerdik tidak boleh lagi dipandang enteng.

Figura-figura UMNO yang boleh dipertaruhkan ini wajar diberi pentas seluas-luasnya. Jangan lagi berfikiran jumud dengan masih terbelenggu sifat senioriti dan kaedah tradisional dalam mengetengahkan pertaruhan dalam pilihan raya umum akan datang. Rakyat dan pengundi melihat kepada kredibiliti calon dan bakal pemimpin mereka.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani, nama yang cukup disegani kawan dan lawan. Bukan kerana mampu bersilat dalam politik, tetapi keupayaannya dalam hal-ehwal ekonomi dan kewangan wajar diangkat. Mengikuti perbahasan beliau tempoh hari, memperlihatkan kebolehannya dalam merangka dan menstruktur ekonomi negara agar dapat dipulihkan dalam masa terdekat.
Demikianlah juga dengan beberapa nama yang cukup sinonim dalam kalangan ahli UMNO dan rakyat. Khairy Jamaluddin, Shahril Suffian Hamdan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Mereka perlu diberi kepercayaan penuh untuk mengemudi dan mengangkat nama UMNO mendepani arus deras ledakan dahsyat politik zaman ini.

Ismail Sabri diperlihatkan sebagai menteri yang cukup halus seni pengendalian politik dan pentadbiran kerajaan beliau. Keupayaan dan ketenangan beliau dekat di hati rakyat sehingga kesannya dalam mengendali urus soal keselamatan sepanjang pandemik Covid-19 ini wajar diberikan penghargaan.

RANJAU

Begitu juga dengan Khairy. Khairy dihormati dalam mengendali urus hal berkaitan portfolio beliau di arena antarabangsa. Walaupun perjalanan politiknya penuh ranjau dalam UMNO, sewajarnya beliau diketengahkan sebagai taruhan baharu yang membolehkan rakyat dekat dengan UMNO sebagai parti yang membawa individu berketrampilan sebagai taruhan pentadbiran negara.

Sama jugalah halnya dengan Shahril dan Asyraf. Kedua-dua pemimpin parti ini membawa dua imej yang sangat berbeza. Shahril merupakan pakar ekonomi muda dan membawa suara baharu yang segar dan cergas dalam meremajakan UMNO. Beliau melalui banyak ujian luar dan dalam UMNO bila berhadapan situasi kritikal seperti debat mahupun forum-forum yang berimpak tinggi.

Begitu juga halnya dengan Asyraf, lulusan dan pakar kewangan Islam. Pernah membentangkan kertas Islamic Finance di pentas antarabangsa dan membawa dimensi politik baharu yang agak berbeza dari sifat dan tradisi UMNO.

Inilah antara wajah yang bukan kerana sifat individu mereka dan kebolehan kemandiri sahaja yang mereka ada, tetapi sikap taat dan setia mereka kepada UMNO wajar menjadi tauladan kepada beberapa pemimpin yang menjadi gunting dalam lipatan UMNO. Inilah antara wajah di samping beberapa ahli politik senior UMNO untuk diganding dan ditawarkan demi berkhidmat.

Suara dan pendirian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO tempoh hari wajar diangkat. Setelah sekian lama beliau diasak di kiri, kanan, atas dan bawah, akhirnya suara vokal beliau menyuarakan kepentingan parti cukup dihargai.

Bukan mudah menjadi Presiden kepada sebuah parti politik terbesar dengan tidak berjawatan kerajaan. Sudah tentu nilai hormatnya dalam kalangan pemimpin parti dan ahli agak meleset jika dibandingkan presiden-presiden terdahulu. Tetapi beliau hadapinya satu persatu dengan sabar.

Banyak mesej tersirat yang dikutip dari Perhimpunan Agung UMNO 2020. Namun yang utama adalah tawaran baharu yang perlu dipersembahkan kepada rakyat dan pengundi.

Janganlah hanya menang sorak, tetapi menyembunyikan dendam kesumat yang bersifat peribadi. Janganlah rumah UMNO itu terbina tetapi pasaknya dipegang oleh orang lain. Janganlah rumah agam UMNO terbina megah tetapi dihuni dan dinikmati oleh orang luar yang lahir atas sifat dendam dan kesumat.

Kekuatan dan tiang seri UMNO adalah kerana kuatnya seni politik diplomasi. Dan andai ditanya kepada rakyat saat ini, mereka mahukan kestabilan ekonomi, kestabilan politik dan kerukunan hidup di dalam masyarakat yang berbilang kaum.

Pilihan di tangan UMNO.

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya