Dari kawasan pedalaman melalui jalan sempit dihiasi lambakan pokok sawit sehinggalah meredah lautan bergelora, hanya satu matlamat dipegang Muslim Care Malaysia (MCM), iaitu memastikan bantuan bekalan makanan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.
Memilih dua lokasi di Pantai Timur Sabah iaitu Tawau dan Semporna, ternyata pilihan MCM tidak salah apabila mereka menjejakkan kaki ke Negeri Di Bawah Bayu itu.
Berat mata MCM memandang, berat lagi bahu yang memikul. Harapan penduduk begitu besar kerana di tengah-tengah proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tiada yang tersisa di dapur mereka. Malah, mereka tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli barangan keperluan.
Kehadiran MCM selama lima hari empat malam untuk mengagihkan bantuan menerima maklum balas yang amat baik. Walaupun bantuan hanyalah bersifat jangka pendek, namun sudah cukup bagi mereka yang tahu menghargai nilai rezeki. Bantuan ini turut memberi sedikit keceriaan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.
Dalam program di Sabah baru-baru ini, MCM bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin, KLCC.
MCM menyasarkan beberapa lokasi pedalaman di Tawau iaitu Indrasabah, Pengkalan Arang, Sungai Buaya, Batu Tiga manakala di Semporna meliputi Pulau Mabul, Kampung Hidayat, Pulau Tiga, Pulau Bodgaya dan Pulau Selakan.
Kehidupan masyarakat di sana khususnya penduduk yang tinggal di pesisir pantai dan pondohan ternyata menjentik hati 16 petugas misi kemanusiaan. Nikmat mana lagi hendak didustakan bagi mereka yang hidup serba sempurna berbanding penduduk kampung di situ?
“Alhamdulillah, terima kasih MCM. Dapat bekalan makanan sudah memadai,” Itulah kata-kata yang kebanyakannya diberikan oleh penduduk kampung yang juga golongan asnaf kepada Utusan Malaysia sepanjang bersama menjalani misi kemanusiaan bersama MCM.
MCM bergerak sebagai organisasi dengan fokus utama iaitu dakwah, perubatan, kebajikan dan pendidikan sejak 2006 dan mempunyai rangkaian di seluruh dunia seperti di Turki, United Kingdom, Poland, Austria, Palestin, Syria, Yaman, Bangladesh, Nigeria, Chad, Myanmar, Mesir, Indonesia dan Kemboja.
Setiap asnaf menerima barangan bernilai RM100 yang terdiri daripada beras 10 kilogram (kg), teh, kopi, mi kuning, susu pekat, telur, telekung, satu kilogram gula, minyak masak dan tepung.
CABARAN
Ternyata apa yang diduga MCM sejak awal menjadi kenyataan. Keadaan ombak bergelora, berangin dan masuknya waktu Maghrib menambahkan sedikit gusar dalam pasukan misi.
Salah satu daripada dua bot yang dinaiki petugas MCM mengalami kerosakan enjin sehingga menuntut pasukan berhenti lebih 10 kali di tengah laut
Ini menyebabkan perjalanan yang hanya mengambil masa selama 45 minit menjadi lebih dua jam. Hubungan komunikasi antara petugas misi dengan tanah besar Semporna terbatas apabila rangkaian telefon tidak memuaskan. Mujur ketika itu, situasi terkawal dan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
PROGRAM DANA MULA NIAGA IBU-IBU
Ekoran penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP, rata-rata penduduk kampung yang dahulunya bekerja dalam sektor pelancongan seperti pemandu bot dan tukang kemas di inap desa kini menganggur dan tiada sumber pendapatan.
Melalui program dinamakan Dana Mula Niaga Ibu-Ibu, dua bulan lalu, MCM membantu penduduk di situ dengan memberikan modal bagi membolehkan penduduk kampung memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
Bermodalkan RM250, maka terhasillah tiga gerai yang menjual barangan keperluan asas dan makanan ringan.
“Sekurang-kurangnya, dalam keadaan yang genting ini, penduduk sudah tidak berasa terbeban. Cukup dengan MCM memberikan sebilangan kecil dana untuk membangunkan perniagaan, selepas ini, merekalah yang akan menguruskan dan melaksana perniagaan.
“Alhamdulillah, penduduk yang menguruskan gerai ini pun sudah tahu untuk mengitar semula modal yang diberikan. Pendapatan mereka hasil daripada jualan agak lumayan malah setiap minggu mereka akan membeli barangan untuk dijual,” kata Presiden MCM, Zulkifli Wahijan.
MADRASAH TERAPUNG
MCM tidak hanya menyumbangkan bekalan makanan semata-mata, sebaliknya pada masa pasukan ini turut menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam khususnya komuniti Bajau Laut.
Bajau Laut atau dikenali sebagai Pala’u merupakan satu-satunya kumpulan manusia di rantau ini yang tidak bernegara. Mereka tinggal di dalam bot jongkong atau di pondohan yang dibina di atas air dan sering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia.
Meskipun komuniti itu dilahirkan secara Islam, Bajau Laut tidak mempunyai pendidikan asas agama, tersasar dari garis panduan Islam malah tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. Justeru,
Zulkifli merancang membina Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terapung untuk kegunaan masyarakat Bajau Laut di sekitar Pulau Mabul.
“MCM prihatin dengan keadaan masyarakat ini kerana dalam lima individu yang saya dekati dan fahami, semuanya tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. Lidah mereka kaku. Ini satu kejahilan yang perlu diatasi. Ia melibatkan akidah sedangkan mereka dilahirkan sebagai Islam, namun tidak mengamalkan (ajaran Islam),” katanya.
Rentetan cadangan itu, MCM mendapat maklum balas yang baik apabila Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersetuju mendirikan madrasah terapung di daerah itu yang dijangka bermula Julai ini.