Berbeza boleh, jangan bercerai - Utusan Malaysia

Berbeza boleh, jangan bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Telah berlaku perselisihan antara Baginda Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah r.ha, lalu Baginda bersabda: “Adakah kamu bersetuju jika Umar – Ibnu Al-Khattab – menjadi orang tengah antara aku dengan kamu? Siti Aisyah menjawab: “Aku tidak bersetuju, Umar terlalu keras”. “Kalau begitu adakah kamu bersetuju jika orang tengah itu ayahmu sendiri?”

Siti Aisyah menjawab: “Ya”. Maka Baginda segera menghantar seseorang untuk memanggil Saidina Abu Bakar. Ketika Saidina Abu Bakar tiba, Baginda Nabi berkata kepada Siti Aisyah: “Engkau yang akan berbicara dahulu atau aku?” Siti Aisyah berkata: “Engkau dahulu yang berbicara dan jangan berkata melainkan yang benar”.

Lalu Saidina Abu Bakar mengangkat tangannya dan menampar hidung Siti Aisyah. Maka Siti Aisyah mengelak dan berlindung di belakang Rasulullah SAW dan Baginda menegur Saidina Abu Bakar dengan sabda Baginda: “Aku bersumpah bahawa aku memanggilmu bukan untuk berbuat begini!” (untuk memukul Siti Aisyah).

Lalu Saidina Abu Bakar keluar meninggalkan Rasulullah dan Siti Aisyah. Siti Aisyah pun berdiri meninggalkan Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Mendekatlah kamu kepadaku – seperti tadi ketika kamu mengelak daripada ayahmu?” Namun Siti Aisyah enggan dan Nabi pun tersenyum, lalu bersabda: “Sebentar tadi kamu sangat dekat denganku – saat mengelak daripada pukulan Saidina Abu Bakar. (Kitab Sirah: Subulul Huda war Rasyad).

Setelah beberapa waktu berlalu, Saidina Abu Bakar datang kembali dan mendapati kedua-duanya – Rasulullah dan Siti Aisyah – sudahpun berdamai dan saling ketawa. Saidina Abu Bakar berkata:

“Masukkan aku dalam perdamaianmu sepertimana kamu telah libatkan aku dalam perselisihanmu tadi.”

Pasang surut dan liku-liku dalam kehidupan rumah tangga adalah satu perkara yang wajar. Tiada rumah sesiapa pun melainkan akan melalui situasi yang berbeza. Kadang-kadang berbeza pandangan atau pun berselisih.

Namun bukan setiap perselisihan akan berakhir dengan perceraian. Dalam Islam perceraian dibenarkan hanya sebagai jalan terakhir ke atas permasalahan yang tidak dapat diselesaikan.

Kisah di atas memberi gambaran bagaimana kehidupan rumah tangga Rasulullah yang juga terkadang dilanda permasalahan dan juga sikap bijaksana Baginda dalam menghadapinya. Pengajaran dari kisah tersebut ialah:

Pertama: Boleh berasa benar tetapi bukan yang paling benar. Permasalahan rumah tangga biasanya akan meruncing apabila masing-masing merasa dialah yang paling benar sehingga enggan mahu mendengar apatah lagi menerima pandangan yang lain. Di sinilah permasalahan tidak akan selesai.

Pengajaran daripada kisah di atas, Rasulullah menghargai sikap yang dianggap benar oleh Siti Aisyah dan menawarkan kepadanya untuk melantik pihak ketiga sebagai orang tengah untuk menyesaikan permasalahan mereka. Siapa pun pihak ketiga itu pastinya dia tidak akan lebih baik daripada Rasulullah SAW.

Siapa pun dia, pasti Rasulullah yang paling benar. Namun begitu, Baginda ingin mengajar umatnya apabila berselisih untuk tidak melihat diri sendiri yang paling benar. Oleh sebab itu, baginda bersetuju untuk melantik pihak ketiga sebagaimana kehendaknya Siti Aisyah.

Kedua: Lebih memberi tumpuan mencari penyelesaian bukan mengungkit-ungkit masalah. Ini kerana, apabila masalah yang dikehadapankan maka penyelasaiannya akan diketepikan. Oleh sebab itu, apabila timbul masalah maka hendaklah masing-masing menangkan fikiran terlebih dahulu.

Apabila salah seorang daripada kedua-duanya tidak dapat mengawal emosi maka yang lain menahan diri walaupun yakin kebenaran berada di pihaknya.

Firman Allah yang bermaksud: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua (suami dan isteri) itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak berdamai, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya. (an-Nisa’: 35).

Dalam ayat ini Allah SWT menekankan untuk mencari jalan perdamaian dalam firman-Nya: “Jika kedua-dua ( suami dan isteri) itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak berdamai”.

Ayat ini juga menerangkan agar pasangan yang berselisih, jika tidak dapat menyelesaikan masalah mereka, perlu merujuk kepada pihak ketiga atau orang tengah yang mewakili kedua belah pihak agar berunding untuk mencari solusi terbaik untuk keduanya.

Peranan orang tengah sangat penting dan menjadi penentu akan nasib perkahwinan kedua pasangan suami isteri. Oleh sebab itu, hendaklah orang tengah itu orang yang amanah dan bijaksana agar dapat memberi solusi yang terbaik. Oleh yang demikian, Baginda menawarkan dua orang yang hebat iaitu Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar sebagai orang tengah.

Ketiga: Bertolak ansur dan mengetepikan ego. Dalam kisah di atas, saat baginda menawarkan agar Saidina Umar menjadi orang tengah. Namun, Siti Aisyah menolak lalu Baginda menawarkan kepadanya Saidina Abu Bakar. Di sini Baginda mengambil pendekatan bertolak ansur selagi mana ia boleh diterima. Sifat bertolak ansur memberi impak ketelusan dalam menyelesaikan masalah.

Keempat: Sabar dan mengalah. Kesabaran adalah kunci kepada setiap permasalahan dan sikap mengalah adalah semata-mata untuk menjaga hubungan lebih berpanjangan dan masa depan keluarga lebih terpelihara.

Firman Allah: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (an-Nisa’: 19).

Mengalah bukan bererti kalah tetapi menjaga maslahah.

 

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya