Darurat bukan seperti difikirkan - Utusan Malaysia

Darurat bukan seperti difikirkan

PENGUSAHA tanaman hiasan, Mohd. Riban Zainon, 48, (tengah) dan pekerja-pekerjanya menonton Perutusan Khas Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Nerang, Kedah, semalam. Perintah darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin mengancam nyawa rakyat negara ini. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYED AZIMAL

DARURAT bermaksud satu pengisytiharan oleh kerajaan yang biasanya menggantung fungsi-fungsi biasa di dalam kerajaan. Dalam konteks Malaysia, pengisytiharan darurat ini terkandung di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 yang memberikan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkannya.

Selalunya darurat diisytiharkan bila mana di dalam pentadbiran kerajaan biasa ia agak sukar dikendalikan dan memerlukan tindakan drastik.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 terdapat tiga keadaan yang mana darurat boleh diisytihar.

Keselamatan negara tercabar

Ini dapat dilihat yang mana semasa penentangan komunis pada 1948 sehingga 1960 oleh pihak British. Antara tindakan diambil menghalang penubuhan parti politik bersifat radikal, sesiapa yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis akan ditangkap dan dibuang negeri serta hukuman mati pada yang bersubahat dengan komunis. Pada 1962 juga darurat diisytihar apabila berlaku konfrontasi dengan Indonesia.

Ketenteraman awam digugat

Pada 1969 berlaku rusuhan antara kaum yang mengganggu ketenteraman awam. Maka pada 16 Mei 1969 darurat diisytiharkan agar keadaan boleh dikawal dan undang-undang tentera telah digunakan dan diketuai Yang di-Pertuan Agong serta sebuah majlis dibentuk Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Parlimen juga digantung malah Tunku Abdul Rahman tidak mengetuai majlis itu dan diganti oleh Tun Abdul Razak.

Ekonomi negara terganggu

Pada 2005 darurat juga diisytihar di Pelabuhan Klang apabila terdapat pencemaran udara. Begitu juga pada 2013 bila terdapat pencemaran udara di Muar dan Ledang apabila berlaku pencemaran udara di kawasan tersebut.
Pada 12 Januari 2021, sekali lagi darurat diisytihar apabila berlaku penularan pandemik Covid-19 dengan kes yang tinggi. Yang di-Pertuan Agong mengambil langkah untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen namun tiada apa- apa tindakan ketenteraan diambil sebagaimana semasa menentang komunis atau semasa tragedi 13 Mei 1969.

Boleh dilaksanakan di daerah atau seluruh negara?

Darurat boleh dijalankan di daerah atau di seluruh negara bergantung pada keadaan dan tiada sekatan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana darurat di Klang, Muar dan Ledang sebelum ini.

Kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong?

Kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong boleh dilihat di bawah ini:
Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”. Dan Yang di-Pertuan Agong adalah individu mempunyai budi bicara membuat keputusan.

Ini juga diputuskan dalam kes Stephen kalong Ningkan (No.2) (1968) menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati. Namun perkara ini dicabar di dalam kes Teh Cheng Poh dan menyatakan budi bicara Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat berdasarkan nasihat Jemaah Menteri.

Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong juga pernah dicabar di dalam kes Teh Cheng Poh dan mahkamah bersetuju kuasa budi bicara boleh di persoalkan namun selepas keputusan mahkamah itu Perlembagaan Persekutuan dipinda agar kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar oleh mana mana mahkamah.

Pindaan seperti berikut:
Perkara 150(8) yang menyatakan:
Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini:–
(a) Hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoal dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan
(b) Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan
(i) Sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1):
(ii) Kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) Mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(iv) Penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.
Adakah semestinya pengisytiharan darurat akan menyebabkan rakyat diperintah di bawah undang undang tentera dan berlaku sekatan pergerakan semasa di zaman darurat melawan komunis?
Pengisytiharan darurat tidak semestinya berlaku pemerintahan tentera dan berlaku sekatan pergerakan sebagaimana di zaman penentangan komunis. Ia bergantung kepada keadaan sebagaimana yang pernah berlaku yang mana darurat diisytihar di Klang ramai tidak sedar bahawa daerah itu berada di dalam darurat dan tiada apa-apa tindakan ketenteraan terhadap penduduk di sana.
Darurat bagi isu pencemaran udara dan pandemik adalah lebih kepada mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih buruk serta melindung rakyat daripada musibah.

Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya