Tiada jati diri punca lagu rakyat pupus - Utusan Malaysia

Tiada jati diri punca lagu rakyat pupus

NORANIZA IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kurang pendedahan selain kehilangan sifat jati diri dilihat sebagai antara faktor lagu rakyat kini kian pupus ditelan zaman.

Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris berkata, ini bukan masa yang sesuai untuk menuding jadi mencari kesalahan mana-mana pihak sebaliknya apa yang berlaku sepatutnya menjadi tanggungjawab setiap individu untuk membendungnya.

“Pupus kerana sikap kita sendiri yang mudah terhakis sifat jati diri budaya yang sedia ada dalam diri. Apatah lagi masyarakat kita yang kurang mendapat pendedahan mengenai ilmu seni dan budaya terus hanyut kerana beberapa faktor.

“Penggerak seni budaya yang kurang arif dengan penggunaan media sosial turut menyumbang kepada keadaan ini. Tidak dinafikan juga sikap penggiat seni yang sentiasa meletakkan seni itu terlalu berharga untuk dikongsi sebagai ilmu rujukan.

“Kita perlu meletakkan satu tanggungjawab dalam diri kita untuk menggerakkan ilmu seni dan budaya melalui pelbagai cara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas lagu rakyat lebih dihargai dan diangkat di luar negara berban­ding masyarakat negara ini sendiri.

Perkara itu ditegaskan Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said mengenai nasib cerita dan lagu-lagu rakyat Melayu yang semakin lenyap ditelan zaman berikutan ramai ‘sang penglipur lara’ sudah tiada untuk memperjuangkan khazanah seni bangsa.

Namun di sebalik kerisauan itu, lagu-lagu dan cerita rakyat Melayu tidak mungkin mati di peringkat antarabangsa kerana sebuah universiti di Jerman menjadikan lagu rakyat negara ini sebagai kajian ilmiah budaya orang Melayu.

Menurut Noraniza, aktiviti budaya perlu diusahakan untuk kanak-kanak seawal usia empat tahun dan pendedahan awal tersebut juga sebagai cara memastikan masa depan lagu-lagu budaya kita terus terjamin.

“Pendekatan pertama adalah dekati anak-anak seawal usia empat tahun yang menjadi penentu masa depan lagu-lagu budaya ini te­rus kekal.

“Dekati mereka untuk kenali identiti dari aktiviti seni budaya Malaysia yang ada susur galur dan beri ilmu pendedahan awal agar mereka dapat mengenal sejarah,” katanya.

 

Ditanya mengapa lagu-lagu itu mendapat tempat di hati peminat muzik di negara luar, beliau tidak menolak sikap menghargai nilai budaya ini terlebih dahulu diterap masyarakat antarabangsa.

“Menjadi kebiasaan, perkara unik yang ada dalam diri kita dilihat dan dinilai oleh orang lain. Sama dengan irama kita. Apresiasi seni mereka jauh lebih baik daripada kita kerana tanpa kita sedari kita punyai satu sikap acuh tak acuh kepada keunikan yang kita ada.

“Selama ini kita hanya berpegang kepada sekadar menjadikan seni dan budaya atau adab sebagai pengetahuan am tapi tidak dijadikan sebagai amalan. Inilah membezakan kita dengan mereka yang jauh terdidik menghargai sesuatu yang luar dari kelebihan yang mereka ada,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya