"Saya dan Fotograf tiada keserasian" - Afee - Utusan Malaysia

“Saya dan Fotograf tiada keserasian” – Afee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA awalnya pemuda ini sekadar menyanyi di tembok berhampiran simpang jalan kawasan perumahannya. Tujuannya sekadar suka-suka. Mengisi masa lapang sambil melepak bersama rakan-rakan, maklumlah ketika itu baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi masih dalam mood honeymoon lagi.
Zaman itu, penghujung 80-an adalah era kebangkitan muzik rock. Kumpulan-kumpulan dari Barat serta tempatan masing-masing berlumba melebarkan pengaruh muzik mereka menerusi lagu-lagu yang dekat dengan jiwa anak muda. Lelaki ini turut terkena tempiasnya.
Salah seorang anggota kumpulan Bubbles, Yusno yang juga teman rapatnya menyarankan agar pemuda ini bersama kumpulannya, Satria menyertai Pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia 87 yang diadakan di Hollywood East Bistro, Ampang Park.
Hendak dijadikan rezeki, kumpulannya berjaya menduduki tempat ketiga di belakang kumpulan Desire (tempat pertama) dan Figures (tempat kedua).
“Di situlah titik permulaan bergelar anak seni apabila selepas itu saya ditawarkan sebagai penyanyi untuk kumpulan Fotograf. Namun disebabkan kurang keserasian saya akhirnya mengundurkan diri dan tidak sempat merakamkan album.
“Saya dapat rasakan jika bersama Fotograf mungkin tidak kekal lama. Kami berbeza dari segi imej dan selepas itu barulah Shamrin masuk menggantikan saya,” katanya memulakan perbualan.
Bersama Mingguan Malaysia, Afee atau nama sebenarnya, Mohamad Safee Soefjan, 56, berkongsi cerita perjalanan karier seninya sejak mula bergelar artis sehinggalah ke hari ini.
“Sebaik sahaja keluar dari Fotograf, seorang teman, Rano menawarkan saya menganggotai kumpulannya ketika itu. Setelah berkenalan saya dapat rasakan kami ada keserasian apatah lagi melalui citarasa muzik dan imej yang ditonjolkan,” ceritanya.
Syarikat Karya Muzik yang ketika itu dimiliki oleh Man Toba dan Ruslan Mamat, katanya, bersetuju mengambil mereka sebagai artis naungannya.
Bersama komposer terkenal, M. Nasir dan penulis lirik hebat, Loloq, mereka mula mengumpul material terbaik untuk mengisi album pertama. Aris Ariwatan pula diberi tanggungjawab sebagai penerbit album.
“Ketika semuanya hampir siap, Loloq menyuarakan rasa kurang berkenannya dengan nama kumpulan kami, Kelkatu. Setelah berbincang dan bertukar pendapat akhirnya kami bersetuju menukar nama kepada U-topia yang membawa maksud ‘mencari kesempurnaan,” jelasnya panjang lebar.
Album pertama berjudul U-topia yang diterbitkan pada penghujung 1989 mendapat sambutan luar biasa daripada peminat muzik rock tempatan. Mithali Cintaku dan Di sini Pasti menjadi lagu ‘berhantu’ yang menjadi siulan dan kegilaan rockers ketika itu.
Tuah U-topia dalam industri semakin cerah susulan album pertama berjaya mencatat jualan sehingga 50,000 unit, sekali gus melayakkan mereka untuk mendapat Anugerah Gold Disc.
“Tidak dinafikan kami memang terpalit dengan kejutan budaya. Siapa sangka kumpulan yang berusia setahun jagung mampu melakar nama seiring kumpulan-kumpulan besar seperti Wings, Search danLefthanded.
“Waktu itu show kami di merata tempat memang sentiasa penuh dengan peminat. Setakat 20,000 atau 30,000 penonton adalah perkara biasa,” katanya.
Pembikinan album kedua U-topia pada 1991, jelasnya, dirakam sepenuhnya di Singapura. Ketika itu lagu Maya Percintaan dan lagu 60-an berjudul La O Be berjaya mencuri perhatian peminat.
“Mungkin ramai tidak sangka lagu 60-an yang biasa didengar sebelum ini mampu diberi nafas baru melalui versi rock,” jelasnya.
Afee memberitahu, U-topia adalah kumpulan pertama di Malaysia yang menukar lagu 60-an kepada versi rock sebelum diikuti oleh kumpulan-kumpulan lain.
“Ketika nama sudah di puncak, muncul pula masalah ketika selesai pembikinan album ketiga pada 1994. Album yang bakal diterbitkan oleh Luncai Emas, akhirnya tertangguh atas sebab-sebab teknikal walaupun kesemua 10 lagu siap dirakam.
“ Waktu itu kami sudah berasa putus asa dan pada tahun berikutnya, 1995 kami sebulat suara ambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing,” ujarnya.
Menurut Afee, hampir 10 tahun juga dia menyepikan diri dari radar industri hiburan kerana fokus kepada keluarga dan perniagaan.
Bagaimanapun, sebagai anak seni yang pernah mengecapi zaman kegemilangan pastinya sedikit sebanyak ada rindu yang masih berbekas.
Akhirnya pada 2004, dia dan U-topia kembali mencipta nama di pentas apabila menyertai Pertandingan Rentak Juara yang dianjurkan oleh RTM.
Nama U-topia kembali menjadi sebutan dan merupakan antara kumpulan yang mempunyai pengikut paling ramai ketika itu.
“Saya ada berbincang dengan ahli kumpulan untuk melakukan reunion dan mengadakan konsert pada waktu yang sesuai namun ia tidak dapat dilakukan kerana tidak lama selepas itu pemain drum, Rano meninggal dunia apabila bot dinaikinya karam ketika memancing di Bagan Datuk, Perak.
“Jiwa saya terasa luluh, kerana Rano ialah insan yang bertanggungjawab membawa saya hingga ke tahap hari ini,” katanya sebak.
Pada 2006, kata Afee, dia dipanggil oleh Music Valley untuk merakamkan semula lagu U-topia, dan kesempatan itu digunakan sebaiknya untuk memberitahu peminat yang dia masih wujud dalam industri itu.
“Saya terus bergerak secara solo dan menerbitkan single terbaharu hampir setiap tahun, dan rasanya sehingga kini saya sudah ada hampir 15 single selepas tidak lagi bersama U-topia,” ceritanya.

Berniaga bazar

Ketika pandemik Covid-19 yang masih belum bernokhtah, Afee mengakui dia turut terkesan apabila ruang untuk anak seni berkarya semakin terhad.
Berbekalkan pengalaman silam, dia akhirnya membuat keputusan untuk kembali menceburi bidang perniagaan bersama rakan-rakannya.
Menurutnya, sekarang adalah masa yang mana anak seni perlu keluar dari kepompong zon selesa berbanding sebelum ini.
“Sekarang sudah tidak boleh buat persembahan. Jadi kena ada pelan B. Sekarang ini saya bersama rakan-rakan artis menjalankan perniagaan bazar larut malam di Santai Selebriti, Cabin 8, Padang Awam, Batu Caves.
“Ramai kawan rockers 80-an dan 90-an yang berniaga di situ antaranya, Shafie kumpulan RIO, Shidee (Data), Wom (UG14) dan ramai lagi. Saya berniaga seminggu hanya tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 3 petang hinggalah 12 tengah malam,” jelasnya.
Antara makanan yang saya jual termasuklah ubi rebus dengan sambal dan kelapa parut di samping chee cheong fun, kerepek dan ikan bilis Sabah.
Selain itu, Afee juga ada menjual produk kecantikan jenama sendiri iaitu sabun Lfiz yang bertujuan awet muda.
“Jadi kepada peminat yang ingin mencuba, sila datang dan jangan malu-malu.” katanya mengakhiri perbualan. – Khabar Legenda, Pancaindera

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya