SEMAKIN ditanya, nada suara Jayzuan beransur tinggi. Ada bunyi-bunyi jengkel dan muak. Saya faham kerana soalan-soalan yang ditanya itu sebenarnya sudah basi. Namun, ia perlu dibangkitkan kerana saya percaya proses pendidikan perlu bermula daripada asas. Jadi, inilah asasnya. Soalan-soalan sebal tentang apa itu indie, di mana titik pembeza indie dengan arus perdana dan kenapa awak kedengaran purist?
Saya diceramah Jayzuan yang sudah lebih 20 tahun berada dalam scene indie sejak hari pertama tiba di Ipoh lagi.
Saya akui, pengetahuan tentang indie juga sangat cetek. Tak sampai paras buku lali, nak berendam pun tak boleh. Jadi sepanjang waktu bersama Jayzuan di Ipoh adalah crash course singkat saya tentang indie. Ini adalah sedikit sedutan apa yang kami bualkan di sana.
Indie itu apa?
Indie ada dua. Satu, independen, bebas, unsigned. Satu lagi indie sebagai genre muzik. Apa yang meletup sekarang ini lebih kepada indie yang unsigned.
Ada orang tak faham dua makna yang berbeza ini. Apa kesannya?
Kesannya mungkin dari segi penghargaan kepada muzik. Contohnya, kalau kita tanya apa kugiran yang indie rock? Mungkin ada yang sebut kugiran modern rock sebab tak jelas tentang indie sebagai genre. Indie rock ada karakternya, bunyinya yang tersendiri. Biasanya muzik indie ini bunyinya berbeza daripada apa yang kita boleh dapat dari arus perdana, itu salah satu cirinya.
Bukan nak cakap kugiran lain itu salah, cuma perlu difahami, kalau hang nak cakap tentang indie sebagai muzik, dia ada karakter yang buatkan dia lain dari bunyi radio tu.
Apa yang meletup sekarang, aku lebih sesuai beranggapan itu adalah indie dari segi kugiran yang tiada label. Indie yang ini ada macam-macam – hardcore, hard rock, alternative rock, elektronik.
Adakah Jayzuan seorang purist?
Aku tak purist. Aku sentiasa meneroka benda baharu tapi hang kena faham, dari mana akar itu. Itu saja. Macam punk, ia berevolusi, bukan lagi tentang tiga kord. Macam independen, makna literalnya bebas. Jadi kena bebas daripada apa-apa elemen yang merantai hang, contohnya korporat yang sign hang. Melainkan kalau korporat sign hang, tapi korporat yang kena ikut cakap hang.
Kalau hang nak pergi mana-mana, suka hatilah, cuma lebih bagus kalau hang boleh faham sebab itu ilmu. Aku takkan halang sesiapa. Tak beri kesan pada aku. Aku bukan nak doktrin orang, kalau tak setuju aku okay. Cuma apa yang aku cakap ini, itulah kenyataannya. Aku akan cakap bila ada orang datang tanya tapi aku takkan paksa pendapat itu pada orang lain.
Bagaimana dengan budaya indie?
Budaya indie dekat dengan do it yourself (DIY). Apa yang Hujan buat DIY sebab krew dia sendiri, label sendiri. Itu ada etika daripada budaya indie. Hujan sampai sekarang masih indie sebab dia tak pernah sign dengan label arus perdana walaupun banyak keluar dalam media arus perdana. Bunyi dia mungkin lebih rock alternatif tapi dari segi praktis, dia kugiran yang bebas. Coco tak bebas sebab sign dengan label major. Nastia dan kugiran lain yang di bawah Kamar Seni Studios itu masih bebas sebab sign dengan label indie. Praktis Kamar Seni Studios itu masih DIY. Kalau kugiran komersial yang ada bunyi indie rock dan indie pop, Iqbal M, Monoloque dan Satwo.
Gaduh-gaduh dan kutuk-kutuk dalam scene itu sihat?
Kalau hang nak cari salah kugiran lain, lebih baik buat kritikan yang matang. Kalau setakat nak kutuk, peminat biasa pun boleh. Aku tak setuju terhadap pergaduhan tapi setuju dengan perdebatan idea. Debat perlu sentiasa terjadi tapi tak semestinya bergaduh. Aku cakap ini pun mungkin ada yang akan anggap aku nak hentam orang tapi aku cuba beri idea. Kalau tak setuju, datang dan kita berbincang secara matang. Ini boleh jadi punca kenapa scene tak berkembang. Kritikan kurang dan masih tak matang.
Bagaimana kugiran Malaysia nak tembus pasaran antarabangsa?
Perlu cari suara Malaysia. Tapi macam mana nak cari suara Malaysia itu tanpa meninggalkan rock n roll? Itu yang ramai tak dapat.
Antara yang dapat adalah Monoloque, dia jumpa suara Malaysia dan dalam masa sama dia masih rugged, rock n roll dan ada bunyi kotor. Macam Space Gambus Experiment juga menarik, ada potensi untuk ke pasaran luar.
Dalam mencari suara, aku pun dulu mula dengan bahasa Inggeris, tapi pada satu titik dalam hidup, aku dah nampak yang mat saleh nak tengok hang sebagai orang Malaysia. Dia nak tengok aku sebagai orang Simpang Pulai. Kalau pergi Copenhagen, dia nak tengok apa benda Simpang Pulai yang aku nak letak dekat sana.
Hang dengar bunyi Melayu pada Loque tapi dia tak tinggalkan bunyi-bunyi eksperimen pada gitar, bunyi jahat dia masih ada. Kalau hang sepenuhnya jadi Melayu macam kugiran lama, hang akan jadi macam Kembara, Kopratasa. Bukan aku kata itu salah tapi di mana suara zaman ini?
Kalau hang nak jadi artis sebenar, tak kira indie atau arus perdana, hang kena cari suara hang. Itu saja. – Rondivu, Mingguan Malaysia.