JOE Biden atau nama penuhnya, Joseph Robinette Biden Jr., akhirnya diisytiharkan sebagai Presiden-Dipilih Amerika Syarikat (AS) ke-46. Namun pasukan Donald Trump masih belum mahu menerima kekalahan dengan melakukan beberapa siri petisyen mahkamah atas alasan wujudnya penipuan pengiraan undian di beberapa negeri.
Dengan bukti yang agak samar, penganalisis melihat harapan Trump mencabar keputusan itu agak tipis. Tindakan pasukan Trump juga dilihat mencacatkan proses transisi pentadbiran secara aman yang secara rasminya diadakan pada 20 Januari nanti.
Tindakan Trump ini juga berkait rapat dengan kebimbangannya kemungkinan didakwa dalam beberapa kes rasuah, penipuan cukai, pelanggaran kewangan kempen, dan halangan keadilan terutamanya dalam skandal bantuan Rusia dalam kempen pilihan raya presiden 2016.
Secara amalan undang-undang di AS, presiden yang sedang berkhidmat mempunyai kekebalan politik daripada didakwa tetapi imuniti itu hilang sebaik sahaja menjadi rakyat biasa.
Secara umumnya perubahan kepada pentadbiran di AS akan memberi kesan kepada politik dunia. Mungkin kita juga mengharapkan perubahan kepada dasar luar dan pertahanan AS yang sebelum ini dibawa oleh Trump yang dilihat agresif, berkonfrontasi, biadab dengan tidak mengikuti norma diplomasi antarabangsa.
Malangnya, kemenangan Biden tidak menjanjikan perubahan drastik dasar luar dan pertahanan AS. Mungkin ada perbezaan dari segi keutamaan isu dunia, gaya kepimpinan dan pendekatan, tetapi AS di bawah Biden akan terus mempertahankan kepentingan Washington di seluruh dunia.
Malah AS mungkin akan menggunakan pendekatan kekerasan di dalam mempromosikan dasarnya.
Dua agenda utama mana-mana presiden AS dari parti Demokrat akan perjuangkan di dalam dasar luar mereka– isu kemanusiaan dan demokrasi serta alam-sekitar. Kedua-dua isu ini adalah salah satu daripada fokus utama kempen kepresidenan Biden. Kesinambungan dasar yang ditinggalkan Obama sebelum ini akan disemak semula.
Perubahan keutamaan isu ini akan memberi isyarat pelbagai kepada masyarakat antarabangsa. Ada negara mengalu-alukan kehadiran Biden seperti negara-negara di Kesatuan Eropah, bagaimanapun ada yang agak bimbang dengan kehadiran beliau seperti China, Rusia, dan Israel.
Walaupun bukan semua negara Eropah ‘sedih’ dengan kekalahan Trump, Jerman, Perancis dan Britain adalah antara negara di Eropah terawal menghantar ucapan tahniah kepada Biden. Jerman, sebagai peneraju utama Kesatuan Eropah, sudah tentu amat mengalu-alukan kehadiran Biden.
Trump dilihat meninggalkan sekutu lamanya di Eropah dalam limbo, dan lebih menumpukan hubungannya dengan Rusia. Ini mungkin balasan kepada Rusia di atas `bantuan’ nya memenangi pilihan raya sebelum ini.
Trump juga berhasrat mengeluarkan AS dari pakatan North Atlantik Treaty Organisation (NATO) dan meletakkan tanggungjawab strategi pertahanan dan keselamatan Eropah di bahu negara-negara benua tersebut. Ini adalah tamparan hebat kepada Eropah terutamanya Jerman kerana Berlin secara tidak langsung akan memikul tanggungjawab tersebut sebagai ekonomi terbesar di Eropah.
AS di bawah Biden akan merubah strategi ini dengan bekerjasama dengan EU dan NATO. Moscow bukan lagi sahabat Washington dan Biden memerlukan kerjasama strategik anggota NATO bagi mengengkang pengembangan kuasa Rusia.
Di Asia Barat, beberapa negara sekutu dan lawan akan berhadapan beberapa tekanan Washington terutamanya berkaitan isu hak asasi manusia. Israel antara negara yang terpaksa mengadakan pelarasan strategi dan pendekatan.
Walaupun pentadbiran Trump berjaya menjadi broker kepada perjanjian diplomatik antara Israel dengan beberapa negara teluk seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, Tel Aviv akan berhadapan dengan tekanan terbaharu AS. Sungguh pun Washington tidak akan merubah dasarnya terhadap Israel, dalam beberapa hal Tel Aviv akan menjadi tidak selesa.
Biden kemungkinan akan meneruskan beberapa dasar Asia Barat Obama sebelum ini dari segi isu kemanusiaan di wilayah yang diduduki Israel dan pembekukan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat sebagai antara syarat untuk Washington terus menjadi broker kepada proses rundingan damai dengan negara Arab.
Bagaimanapun, perubahan kepimpinan di Rumah Putih tidak akan banyak merubah dasar Washington terhadap Asia terutamanya di dalam mengimbangi perluasan pengaruh dan kuasa China.
Membendung dan mengawal kekuasaan China akan terus menjadi fokus Biden.
Secara umumnya dasar Trump sebelum ini melemahkan kedudukan AS di Asia Timur. Ucapan beliau yang meletakkan Asia kembali di era perang Dingin – dengan memberi tekanan kepada negara rantau sama ada berada dalam kem Washington atau Beijing- merupakan liabiliti kepada AS.
Negara-negara rantau Asia Timur termasuk di Asia Tenggara tidak boleh meninggalkan China begitu sahaja atas alasan kedudukannya sebagai jiran terdekat, kepesatan ekonomi dan perdagangan, dan kemunculan Beijing sebagai kuasa ketenteraan baharu.
Walaupun berhadapan kemungkinan ancaman China dalam konflik tuntutan bertindih di Laut China Selatan dan Laut China Timur, negara serantau tidak mempunyai pilihan tetapi meneruskan hubungan engagement dengan Beijing. Walhal, sewaktu pentadbiran Trump, Asia Timur, terutamanya Asia Tenggara bukanlah keutamaan jelas dalam dasar Washington.
Oleh itu, Biden harus memperbetulkan kedudukan dan pengaruhnya di Asia Timur vi-a-vis pengembangan pengaruh China. Dua strategi yang digunakan sebelum ini Pivot-to-Asia dan Indo-Pacific Pacific boleh menjadi landasan asas AS mendapatkan semula pengaruhnya yang semakin lemah di Asia Timur.
Persoalannya, adakah pentadbiran Biden nanti dapat memahami dan membaca pemikiran strategi negara rantau Asia Timur di dalam membendung China?
Kamarulnizam Abdullah ialah Profesor Keselamatan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok.