Ringgo bongkar! Derita di penjara el-rodeo ii Venezuela - Utusan Malaysia

Ringgo bongkar! Derita di penjara el-rodeo ii Venezuela

Ringgo Fotograf ketika menceritakan pengalamannya di Venezuela. - MINGGUAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akibat terlalu percayakan individu yang baru dikenali, Sham Ahmad atau Ringgo, 55, menerima padah apabila terpaksa meringkuk di penjara El-Rodeo II, Venezuela selama tiga tahun dan lima tahun parol.
Ringgo anggota kumpulan Fotograf menyatakan dia dianiayai oleh seorang lelaki yang merupakan kenalan baharunya apabila diminta membawa sebuah beg dari Venezuela ke Sepanyol ketika dia ingin pulang ke sana. Kejadian yang berlaku pada 2007 itu bukan sahaja jadi mimpi ngeri buat pemain drum terkenal ini malah menggemparkan peminat industri muzik tanah air.
Bersama Mingguan Malaysia, Ringgo secara eksklusif mendedahkan kisah sebenar tentang apa yang berlaku di sana.
“Pada awalnya, saya dan kumpulan yang menghimpunkan beberapa orang anak seni berada di Sepanyol selama seminggu untuk melawat tempat bersejarah dan muzium di sana. Selepas itu barulah kami bertolak ke Venezuela untuk meneruskan misi lawatan seterusnya di Amerika Selatan. Perjalanan kami dibiayai sepenuhnya syarikat yang menaja program tersebut,” katanya.
Ikut jadual selepas seminggu di Venezuela, katanya, mereka akan kembali semula ke Sepanyol sebelum pulang ke tanah air. Dan ketika itulah bermulanya episod malang buat dirinya apabila individu yang baru dikenali meminta pertolongan membawa sebuah beg kepunyaannya ke Sepanyol.
“Ketika mendaftar masuk di lapangan terbang Venezuela untuk menuju ke Sepanyol, saya ditahan anggota keselamatan di sana. Mereka ini unit khas narkotik Venezuela. Beg saya diperiksa, lalu terjumpalah kokain seberat hampir satu kilogram yang disorokkan di bahagian bawah pelapik beg.
“Saya amat terkejut kerana tidak tahu menahu tentang kokain tersebut, apatah lagi tujuan saya ke Venezuela selama seminggu adalah semata-mata untuk melancong,” jelasnya.
Ketika ditahan Ringgo memberitahu, ada seorang peguam di sana datang berjumpanya untuk membantu, namun dia tetap menegaskan yang beg tersebut bukan kepunyaannya, malah dia sendiri menunjukkan bukti-bukti kedatangannya ke Venezuela adalah untuk melancong.
Menurutnya lagi, pihak kedutaan Malaysia di Venezuela juga datang berjumpa dengannya namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa selain membantunya untuk menguruskan beberapa hal berkaitan keluarga dan kebajikannya ketika di sana.
“Kes dadah di Venezuela ini adalah perkara serius. Kau bawa sekilo ke, 10 kilo ke satu kontena ke hukumannya tetap sama.
“Saya akhirnya ditahan di lokap balai polis. Lokapnya seperti dorm besar yang boleh memuatkan hampir 20 orang pesalah. Saya ditempatkan bersama sekumpulan pesalah dari pelbagai negara seperti Amerika dan Estonia,” jelasnya.
Semuanya boleh dikatakan ‘kantoi ‘pasal dadah juga, katanya.

Makan sardin dan puasa 
“Kami saling menghormati, maklumlah sama-sama orang asing. Tapi polis di sana seringkali meminta wang daripada kami dan mengugut jika tak bayar, kami akan diletakkan di dorm yang lebih teruk,” dakwanya.
Ringgo memberitahu, hampir setiap minggu dia diminta menyerahkan wang, namun dia tetap bertegas mengatakan tiada wang untuk diberikan sehinggalah akhirnya dia dipindahkan ke penjara El-Rodeo II setelah hampir dua bulan meringkuk di situ.
Bermulalah episodnya melangkah ke penjara yang cukup terkenal di Venezuela. Memandangkan dia adalah penghuni baharu, maka dia sama sekali tidak layak untuk mendapat sel sendiri.
Jadi dia hanya tidur di ‘hallaway’ yang merupakan laluan terbuka di hadapan sel bersama banduan-banduan baharu.
Hampir dua minggu selepas itu, katanya, barulah dia dimasukkan ke sel oleh salah seorang banduan senior di situ.
“Sementara menunggu panggilan perbicaraan saya kuatkan semangat. Makan minum di penjara memang cukup azab.
“Saya hanya makan sardin yang dibekalkan pihak kedutaan, tapi bila habis saya terpaksa ambil langkah darurat. Daging kuda pun saya makan, namun kalau menunya daging babi saya akan berpuasa. Sarapan pula hanya roti dan telur.”
“Dalam penjara, ada tiga bangunan yang menempatkan banduan. Bangunan saya adalah banduan kategori biasa yang tidak terlalu jahat dan ganas, bangunan kedua banduan gred B yang boleh dikatakan ganas dan jahat, tapi bangunan ketiga adalah banduan gred A yang paling ganas sekali. Di situlah tempatnya ketua mafia, gangster dan penjenayah-penjenayah kejam.
“Kami dijaga oleh banduan yang digelar ‘Luzero’. mereka ini ibarat pengawal kami. Semuanya ada 20 orang. Mereka ini dilantik oleh ketua-ketua mafia yang ada di situ. Luzero menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh banduan di situ,” katanya.
Hobi utama banduan di penjara adalah bergaduh kerana itu sudah seperti hiburan buat mereka namun ia tidak berlarutan. Biasanya selepas berlaku pergaduhan mereka akan berbaik semula.
Banduan di sana memanggilnya dengan nama El-Chino yang bermaksud orang Cina. Bagi mereka orang Asia itu adalah orang Cina.
Menurut Ringgo, dia amat dihormati memandangkan bakatnya yang boleh bermain alat muzik dan melukis.
Wang juga tiada masalah buatnya kerana dia mendapat bantuan kewangan daripada keluarga di Malaysia melalui duit royalitinya.
Di penjara dengan nilai RM500 boleh bertahan selama tiga bulan dan dia mampu mengupah banduan-banduan di situ membasuh pakaiannya.
Keluarga banduan juga dibenarkan datang melawat seminggu tiga kali iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad. Setiap kali hari lawatan mereka bersama-sama bergotong royong mengemas dan mencantkikan sel.
Ketika inilah Luzero akan mengutip wang daripada setiap banduan untuk membeli perhiasan dan kelengkapan untuk mencantikkan sel.
“Kami pasang belon, mengecat dan bersihkan setiap sel kerana kami perlu tunjukkan kepada pelawat yang datang di mana banduan di sini bukanlah tinggal dalam keadaan tidak terurus dan menyedihkan,” katanya.
Sebulan sekali pula, kata Ringgo, para isteri dibenarkan untuk berjumpa suami dan melakukan hubungan intim. Ketika itulah biasanya mereka yang solo ini menyumpah seranah kerana terpaksa tidur di luar!

Lagu Hotel California

“Hampir tiga tahun berada di sana, salah seorang banduan yang merupakan kenalan saya telah memperkenalkan saya dengan ahli keluarganya.
“Dia memberitahu saya agar menerima mereka sebagai keluarga angkat kerana itulah salah satu cara supaya saya boleh bebas dari penjara tersebut kerana untuk memohon parol seseorang banduan luar perlu mempunyai keluarga angkat di Venezuela selain mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal.” jelasnya.
Ringgo bersetuju dengan tawaran tersebut dan ketika namanya berada dalam senarai untuk hadir ke mahkamah dia telah bersedia. Akhirnya permohonannya untuk mendapatkan parol berjaya.
Ketika ingin meninggalkan penjara rakan-rakan semuanya menyanyikan lagu Hotel California sebagai tanda selamat jalan kepadanya.
Katanya, itulah lagu yang sering dimainkan bersama mereka ketika berada di sana.
Menurutnya lagi, perasaan sedih itu tetap ada apatah lagi setelah hampir tiga tahun hidup bersama mereka. Setelah keluar Ringgo tinggal di hostel yang disediakan oleh kerajaan Venezuela.
Dia mula membina kehidupan baharu dengan melukis, menjual lukisan serta bekerja sebagai penghantar barang untuk kedai-kedai runcit kepunyaan Arab di sana.
Selepas tiga tahun akhirnya dia mendapat tawaran bekerja sebagai pembantu peribadi kepada seorang ahli perniagaan Pakistan yang terkenal di sana. Kali ini tugasnya banyak menguruskan hal-hal berkaitan peruncitan dan pemasaran produk.
Kata Ringgo, lima tahun untuk menghabiskan tempoh parol itu adalah satu tekanan buat dirinya. Walaupun sudah bebas dari penjara, namun hatinya pula meronta-ronta ingin pulang ke tanah air, namun dia tetap sabar dan bertahan kerana sebulan sekali dia terpaksa pergi ke mahkamah untuk melapor diri.
Jika tidak berbuat demikian, jelasnya, dia akan dihumban semula ke penjara.
“Setahun lagi sebelum tempoh parol berakhir, saya mendapat berita tentang kematian ayah di Kuala Lumpur. Waktu itu saya memang down sebab tidak dapat menatap wajahnya di saat-saat akhir.
“Saya memang ralat sangat, apatah lagi bila terkenangkan tempoh bebas saya hanya setahun sahaja lagi. Namun saya kuatkan semangat dan percaya pada takdir qada dan qadar. Walaupun sedih namun saya tetap reda atas pemergiannya,” katanya menutup perbualan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya