KUANTAN: Kerajaan wajar memikirkan untuk mengadakan model pengkomersialan terkawal ketum di negara ini.
Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan yang sejak 2010 aktif melakukan penyelidikan tentang ketum berkata, seperti mana dilakukan oleh negara jiran, Malaysia juga wajar ke arah itu.
“Bagaimanapun, pengkomersialan perlu dilaksanakan dalam keadaan terkawal dari segi penanaman dan penghasilan produk.
“UiTM Pahang sendiri dalam proses melakukan kajian penanaman ketum secara terkawal kerana kita memperoleh kebenaran dari Kementerian Kesihatan untuk melakukan penyelidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Dr. Mohd. Ilham berkata, kajian bersama pasukan penyelidikannya pada 2013 menunjukkan bahan kimia ‘mitrgaynine’ dalam ketum berupaya menurunkan ketagihan morfin dalam sel neuroblastoma manusia.
Jelasnya, kajian yang kemudiannya diterbitkan dalam Journal Of Ethnopharmacology itu mengaitkan potensi daun ketum untuk digunakan sebagai rawatan alternatif ketagihan morfin dalam kepekatan rendah.
Menurutnya, kajian juga mendapati ketum mempunyai kesan antiradang yang juga diterbitkan dalam jurnal saintifik yang sama pada 2011.
“Harus diingatkan bahawa kesan positif penggunaan ketum adalah pada kepekatan yang rendah dan ia juga tidak boleh dicampurkan dengan bahan-bahan tambahan lain.
“Kajian sampingan lain juga menunjukkan ketum mempunyai kesan pemberi tenaga jika digunakan pada kepekatan yang rendah yang mengaitkan penggunaan ketum sebagai ramuan untuk menghilangkan keletihan,” katanya. – UTUSAN ONLINE