Dadah murah, telefon tokan tunggu tepi jalan - Utusan Malaysia

Dadah murah, telefon tokan tunggu tepi jalan

seluduh dadah
SURINA Saad menunjukkan ketulan mampat berisi daun kering disyaki ganja yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Perlis, Kangar, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kebelakangan ini, banyak kes jenayah melibatkan individu di bawah pengaruh dadah dilaporkan di negeri ini.

Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, kita dikejutkan dengan kes seperti seorang ayah sanggup menyembur bayinya dengan racun serangga, anak memukul ibu dan terbaharu penyeludup ketum melanggar kenderaan pengiring polis.

Kes terbabit mempunyai satu persamaan iaitu suspek masing-masing berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Perkara itu, turut mendapat perhatian Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad yang melihat faktor dadah mudah diperolehi dan harganya yang murah mendorong kepada masalah penyalahgunaan barangan terlarang itu.

Beliau memberitahu, para penagih didapati hanya berurusan dengan tokan-tokan dadah ini melalui panggilan telefon seterusnya menunggu di tepi jalan untuk proses serahan dadah.

Manakala harga dadah pula menurut Surina, adalah serendah RM10 iaitu masing-masing bagi 0.1 gram dadah jenis methamphetamine, sebungkus heroin dengan berat 0.5 gram selain sebiji pil erimin 5 dan pil kuda.

“Murah dan mudah, itu antara sebab penagih ini mudah mendapat bekalan. Dan faktor penagihan ini juga menjadi antara punca berlakunya kes-kes jenayah seperti ini (anak pukul ibu, bapa sembur racun kepada anak).

“Bagi negeri ini, kita tidak mempunyai sindiket atau makmal dadah yang dikenal pasti. Yang ada cuma tokan-tokan kecil yang menjual melalui panggilan telefon,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Surina berkata, bagi membanteras masalah dadah tersebut, pihaknya telah bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk turut serta dalam operasi yang dijalankan.

Tambahnya lagi, satu pasukan khas juga ditubuhkan bagi mengumpulkan kesemua pakar-pakar risikan supaya serbuan dapat dilakukan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di negeri ini.

“Arahan saya adalah mengempur kawasan-kawasan panas yang menjadi sarang penyalahgunaan dadah seperti di Kuala Perlis, Kuala Sanglang, Panggas dan Padang Besar. Apabila maklumat risikan diperoleh, kami akan menggempur.

“Malah dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak Jun lalu hingga kini, banyak tangkapan dibuat melibatkan dadah dan juga ketum,” ujarnya.

Untuk rekod, antara kes jenayah akibat pengaruh dadah adalah kejadian seorang bayi lelaki berusia dua bulan disembur racun serangga oleh bapanya supaya mangsa berhenti menangis di Taman Pauh Indah pada 19 Jun lalu.

Kemudian pada 4 Julai, polis menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah berusia 28 tahun di Jalan Kaki Bukit selepas bertindak menampar dan memukul ibu kandungnya selepas permintaannya untuk dibelikan motosikal baharu tidak dipenuhi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya