LANDSKAP perundangan negara melibatkan institusi kehakiman kembali mendapat perhatian masyarakat terutamanya selepas pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan beberapa individu bertaraf bekas pemimpin negara didakwa atas pelbagai pertuduhan.
Tindakan Jabatan Peguam Negara menarik balik beberapa kes berprofil tinggi turut menjadi buah mulut masyarakat yang rata-rata memberikan pelbagai pandangan berdasarkan fahaman politik masing-masing sehingga ada yang menganggap undang-undang negara telah pincang.
Bagaimanapun, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, SUWARNI MOKHTAR, HADI AB. MANAP dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI menyatakan undang-undang negara adalah sempurna namun sikap individu yang melaksanakannya menyebabkan pandangan negatif terhadap sistem perundangan negara.
Dikenali sebagai seorang Peguam Negara yang penuh kontroversi sepanjang khidmatnya di antara 1980 hingga 1993, Abu Talib menyatakan, mereka yang mempunyai kuasa hendaklah bertindak berlandaskan undang-undang, bukannya memuaskan hati orang atasan mahupun menganiaya mana-mana individu yang tidak disukai orang kerajaan yang memerintah.
MINGGUAN: Boleh terangkan rule of law (kedaulatan undang-undang) secara ringkas?
ABU TALIB: Rule of law adalah menghormati undang-undang dan apa-apa keputusan mahkamah berasaskan kepada undang-undang. Itulah rule of law.
Merujuk kepada situasi semasa, apabila mahkamah membuat sesuatu keputusan pasti akan ada pihak mempertikaikannya. Kenapa ini terjadi?
Kita mesti faham sistem di negara ini menghormati kebebasan bersuara dan mengeluarkan pandangan kecuali dengan niat untuk menghina atau menghasut, itu ada batasannya. Itu sebab kita ada undang-undang defamation yakni berkaitan kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara tidak bermakna ia tidak ada batasan. Boleh untuk pertikai sesuatu keputusan namun tidak wajar menggunakan kebebasan untuk menghina, mencaci, memfitnah atau menjatuhkan maruah seseorang. Itu salah dari segi undang-undang dan boleh diambil tindakan.
Adakah kedaulatan undang-undang masih wujud di negara ini?
Inilah yang dipertikaikan orang ramai. Adakah undang-undang terpakai hanya bagi pihak lawan dan bukan bagi kerajaan. Daripada segi undang-undang semua status sama. Terpulanglah kepada kewibawaan dan keadilan pihak yang berkuasa mentadbirkan undang-undang contohnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kuasa mendakwa pula terletak sepenuhnya kepada pendakwa raya yang mana adalah Peguam Negara. Terpulanglah kepada kebijaksanaan dan keadilan pendakwa raya menentukan sama ada seseorang itu perlu didakwa ataupun tidak.
Pendakwaan hendaklah dilakukan bukan mengikut kesukaan seseorang ataupun kerajaan yang memerintah tetapi berasaskan kepada cukupnya bukti-bukti yang menyalahi undang-undang berkaitan. Jika salah tetapi tidak cukup bukti, saya fikir ia tidak adil untuk mendakwa seseorang.
Masyarakat berpandangan seseorang itu sudah bersalah apabila didakwa di mahkamah. Di mana silapnya?
Semasa menjadi pendakwa raya, saya membuat satu polisi yang mana seseorang itu tidak boleh didakwa kecuali andai pihak yang menyiasat berpuas hati terdapat bukti mencukupi untuk didakwa. Asasnya mesti peluang untuk menang adalah 90 peratus berjaya. Jadi yang didakwa tidak boleh mengatakan dirinya dianiaya ataupun tuduhan yang disabit tidak berasaskan kepada bukti yang ada. Apabila perkara ini tidak dilaksanakan maka timbul anggapan-anggapan yang memburukkan sistem kehakiman. Contohnya, pemimpin kerajaan dilepaskan dan sebaliknya. Hal ini jelas turut mencalarkan kewibawaan Peguam Negara.
Jika disabitkan bersalah atau tidak, kes itu tidak akan terhenti kerana masih ada peringkat rayuan. Ketika proses ini berlangsung, adakah beliau masih layak untuk bertanding pada pilihan raya umum?
Berkenaan orang yang didapati bersalah dan membuat rayuan, keputusan mahkamah sebelum ini tidak muktamad. Maknanya dia masih layak untuk bertanding kecuali keputusan bersalah itu sudah muktamad. Tetapi, di negara kita ini ada sistem kuasa Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja setiap negeri untuk memberikan pengampunan. Contohnya paling dekat, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah didapati bersalah dan dipenjarakan namun diampunkan oleh Agong ketika itu. Beliau kemudian boleh bertanding di Port Dickson.
Kalau Najib didapati bersalah di Mahkamah Persekutuan sekalipun ia bukan pengakhiran kerana beliau masih boleh memohon pengampunan diraja. Jika Jemaah Pengampunan Diraja memberikan pengampunan, dia (Najib) tidak ubah seperti bayi baru lahir, bersih. Kesalahan digugurkan, tidak ada lagi sebarang kesalahan.
Ada apa-apa yang Tan Sri ingin tambah mengenai rule of law?
Pada saya, tiada sebarang kontroversi terhadap prinsip
undang-undang tetapi persoalan utamanyanya adalah sikap pihak berkuasa.
Dari situlah permulaan menghormati rule of law (kedaulatan undang-undang). Penggubalan undang-undang memang baik dan sesuatu undang-undang itu digubal semata-mata untuk kebaikan dan ketenangan dalam negara.
Bagaimanapun, untuk sesuatu undang-undang itu dianggap baik atau tidak bergantung kepada sikap orang yang menguatkuasakan undang-undang. Undang-undang tak salah, orang yang mentadbirkannya yang salah.
Pandangan orang berbeza mengikut sudut pandangan masing-masing. Orang dari sudut itu, memang nampak lain, orang dari sudut ini akan nampak lain tetapi janganlah ia dianggap sebagai percanggahan. Pihak pendakwaan kena baca setiap keterangan dan bukti yang diterima dan cuba mencari titik tengah antara A dan B. Kena jadi praktikal dan bukannya menjadi seorang yang idealist.
Sesuatu mestilah atas percanggahan yang ketara dan bukannya berdasarkan anggapan. Sebab itulah sistem kehakiman negara berubah dari satu hakim atau majistret kepada tiga hakim kepada sembilan hakim supaya keadilan betul-betul ditadbirkan dengan baik.
Jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuktikan tidak bersalah, mungkinkah berlaku perubahan angin politik negara?
Politik berubah mengikut keadaan. Jadi kita tidak tahu siapa yang akan berkuasa pada masa itu. Apa yang penting Najib tidak boleh bertanding sekiranya beliau didapati bersalah. Itu asasnya.
Kalau dia didapati tidak bersalah, dia dah bebas. Najib boleh menawarkan diri untuk bertanding pada mana-mana pilihan raya dan kalau orang ramai terima dia, siapa boleh halang? Keputusan di tangan rakyat.
Merujuk kes bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dibebaskan daripada semua 46 pertuduhan, bagaimana Tan Sri melihat kes ini?
Itu yang saya kata sesuatu keputusan mendakwa atau pun tidak, pihak pendakwa mesti berpuas hati dan cukup bukti-bukti untuk mendakwa seseorang itu dan bukan semata-mata atas sebab-sebab lain.
Itu sebab orang sekarang pertikaikan dan sekiranya benar dan tidak ada bukti dan tidak ada saksi yang menunjukkan Musa tidak melakukan kesalahan itu, dia boleh buat tuntutan terhadap pihak pendakwa bahawa dia telah dianiaya, malicious prosecution. Dia telah di persecute (dianiaya) dan bukan prosecute (didakwa).
Macam mana dakwa orang kalau tidak cukup saksi, tidak cukup bukti dan tidak ada bukti? Itu menganiaya orang.
Adakah Tan Sri bersetuju Malaysia masih mengamalkan rule of law dan bukannya rule by man?
Saya setuju, kerana sekarang ini mahkamah bersidang secara terbuka dan setiap keputusan mahkamah berserta dengan penerangan sama ada seseorang itu didapati bersalah daripada segi undang-undang atau tidak. Tidak ada sesuatu kes yang mana seseorang itu tidak diberi peluang untuk mengemukakan kesnya. Justeru, tidak boleh mengatakan negara ini ditadbir tidak mengikut undang-undang.
Pada masa sama, ada momokan menyalahkan kerajaan sedia ada selepas satu demi satu kes ditarik, apa pandangan Tan Sri?
Itu anggapan orang ramai tetapi apabila sesuatu kes ditarik balik, pihak pendakwaan akan memberi alasan sebab penarikan itu dibuat.