Perit lembu korban dicuri menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

Perit lembu korban dicuri menjelang Aidiladha

AWANG Yamat terpaksa berjaga di kandang lembu pada waktu malam kerana bimbang ternakannya dicuri. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hari Raya Aidiladha amat dinanti-nantikan umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban. Namun bagi sesetengah penternak penantian itu berakhir dengan air mata apabila beberapa ekor lembu yang ditempah pelanggan dicuri walaupun dalam tempoh satu malam.

Awang Yamat, seorang petani di Kampung Paloh, Wakaf Bharu, di sini terpaksa berputih mata selepas tujuh ekor lembu miliknya yang dianggarkan bernilai RM33,000, dicuri serentak dalam
satu malam, dua minggu lalu.

Bagi warga emas berusia 63 tahun itu, insiden yang disedari pagi Isnin itu memberi tamparan besar kepadanya kerana nilai kerugiannya amat besar.

Dia yang mengusahakan tanaman jagung secara kecil-kecilan mengakui menangis sendirian mengenangkan pahit-jerih dilalui selama bertahun-tahun membesarkan haiwan ternakannnya itu
dengan harapan dapat menuai hasil pada tahun ini, akhirnya tidak kesampaian.

“Lebih perit lagi apabila kesemua lembu yang hilang sudah ditempah dan hanya menunggu masa untuk dihantar kepada pembeli. Mujurlah saya belum kutip wang deposit daripada mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, Awang memberitahu, dia hanya menyedari kehilangan ternakannya itu apabila pergi ke kandang yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Kira-kira pukul 8 pagi, saya tiba di kandang seperti biasa dan terkejut mendapati tujuh ekor lembu hilang. Saya cari merata tempat dan terjumpa picagari, sepasang selipar serta kesan tayar
kenderaan seperti van atau lori,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu.

Awang bagaimanapun bersyukur kerana pencuri tidak sempat melarikan sembilan ekor lagi lembunya yang ditempah pembeli untuk ibadah korban tahun ini.

Seorang lagi penernak, Zulkifli Md Zain, yang memiliki 30 ekor lembu di Aring, Gua Musang pula mengakui bingung memikirkan masalah kehilangan lembu setiap tahun.

Katanya, dia pernah hilang 10 ekor lembu dianggarkan bernilai RM50,000, hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha beberapa tahun lalu.

“Ada yang angkut lembu naik kenderaan selepas suntik pelali, ada yang tembak dan lapah di situ,” katanya.

Wan Haslina Wan Mahmud, 36, yang membela lembu di Kampung Lembah, Pasir Puteh pula trauma apabila dua tahun berturut-turut haiwan ternakannya pernah dibunuh dan dilapah
pencuri menjelang Aidilfitri dan Aidiladha.

“Kejadian ini berlaku dua tahun berturut-turut, dua minggu sebelum raya. Kejadian pertama pada 2018, seekor lembu saya dilapah dan hanya tinggal bahagian perutnya sahaja di kandang. Pada
bulan puasa 2019, insiden sama berulang terhadap seekor lagi lembu.

“Secara kebetulan, kedua-dua lembu betina itu bunting. Bayangkan perasaan saya tengok janin lembu yang ditinggalkan pencuri tak berhati perut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN