KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melanjutkan tempoh moratorium pembayaran hutang sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan lagi ketika kebimbangan peningkatan jumlah pengangguran dijangka mencecah lebih 1.9 juta orang, kesan dari pandemik Covid-19.Penangguhan pembayaran balik hutang selama enam bulan yang dilaksanakan kerajaan pada Mac lalu akan berakhir September ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan termasuk moratorium menyelamatkan lebih 2.75 juta pekerjaan dan 800,000 perniagaan termasuk perniagaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagaimanapun, persatuan yang mewakili pengeluar menjangka pengangguran akan terus meningkat pada kadar 1.1 peratus setiap bulan sehingga akhir tahun ini walaupun semua sektor ekonomi sudah dibuka semula sejak penguatkuasaan pergerakan terhad 18 Mac lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Sekretariat Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Datuk Zainal Abidin Abd. Majid menjangkakan 1.5 juta usahawan PKS bakal gulung tikar jika tiada sebarang keputusan konkrit dibuat oleh kerajaan.
“Kira-kira 70 peratus usahawan termasuk 500,000 ahlinya di seluruh negara baru sahaja menjalankan operasi perniagaan dan mengumpul modal sejak Jun lalu selepas perniagaan ditutup susulan krisis Covid-19.
“Jumlah itu terdiri daripada penjaja yang membuka gerai termasuk di tepi jalan dan kawasan yang tidak memerlukan sewaan premis. Selain perlu membayar hutang, mereka perlu keluarkan belanja untuk isi rumah walaupun tiada keuntungan atau wang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebab itu moratorium perlu dilanjutkan,” katanya.
Moratorium yang membabitkan pinjaman berjumlah RM90 bilion telah membantu meringankan beban peminjam ketika kadar pengangguran meningkat sehingga lima peratus atau 700,000 orang April lalu. Pada Mei, kadar pengangguran terus meningkat kepada 5.3 peratus membabitkan 826,100 orang.
Dalam pada itu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menjangkakan kadar pengangguran mencecah sehingga 12 peratus dengan 1.9 juta pekerja akan hilang pekerjaan menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, ia disebabkan kesukaran majikan membayar hutang dan akhirnya membuat keputusan membuang pekerja bagi mengurangkan beban syarikat.
Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM55.2 bilion setakat 13 Julai lalu.
Dari jumlah itu, sebanyak RM19.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM35.9 bilion.
Semua langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.
Penangguhan bayaran itu akan berakhir 30 September 2020.
Jun lalu, Menteri Kewa-ngan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan sedang berbincang dengan institusi kewangan mengenai moratorium berkenaan tetapi terpulang kepada pihak bank sama ada untuk melanjutkannya atau tidak.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, bank berkenaan menjangka kesan penangguhan bayaran balik pinjaman membabitkan nilai sekitar RM1 bilion hanya akan dapat dilihat pada suku kedua tahun ini.
Berdasarkan jumlah aset tersebut, bank terbesar di Malaysia dan keempat terbesar itu tidak bercadang melanjutkan maratorium berkenaan.
Sektor perbankan di negara ini berhadapan peningkatan hutang tidak berbayar berikutan peningkatan pengangguran dan kelengkapan ekonomi negara. Ekonomi Malaysia dijangka mengalami penguncupan sehingga empat peratus, kemelesetan ekonomi pertama negara sejak krisis kewangan global pada 2008. p- UTUSAN