ALOR SETAR: Ketika tauke emas dan pengeluar sarung tangan getah mendapat laba besar ekoran kenaikan harga mineral dan komoditi itu di pasaran, nasib berbeza dialami puluhan ribu penoreh getah di seluruh negara.
Harga emas dilaporkan bakal mencecah RM300 segram manakala pasaran sarung tangan getah pula terus mengukuh di peringkat global berikutan pandemik Covid-19.
Permintaan tinggi terhadap sarung tangan getah itu melonjakkan saham-saham syarikat berkaitan di bursa Malaysia.
Ironinya, penoreh getah yang mengerah kudrat bagi menghasilkan bahan mentah utama penghasilan produk itu dikatakan hanya mampu meraih pendapatan antara RM150 hingga RM350 sebulan.
Keadaan itu menyebabkan rata-rata mereka berada di bawah paras kemiskinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, seramai 26,000 ahlinya memperoleh pendapatan antara RM150 hingga RM350 sebulan selepas kejatuhan harga komoditi itu di pasaran tahun ini.
Katanya, penoreh terbabit berada dalam kategori miskin tegar kerana mereka hanya menoreh getah dua hari seminggu disebabkan faktor cuaca.
Menurutnya, harga getah di pasaran sejak awal tahun ini dianggarkan kira-kira RM1.80 sekilogram dan paling rendah, RM1.60 sekilogram.
Golongan penoreh getah yang mengambil upah menjalankan kerja-kerja tersebut paling terkesan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.
“Kebanyakan ahli Pergetah yang tinggal di daerah Baling, Sik dan Padang Terap terbeban untuk menyara keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Taufik berkata, ahli-ahli Pergetah boleh meraih pendapat lebih baik sekiranya harga getah stabil antara RM5 hingga RM6 sekilogram.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan jawatankuasa pemantau dan kawalan harga di setiap negeri dan daerah bagi memastikan harga getah stabil di pasaran.
Jelasnya, antara faktor harga getah murah di pasaran dipercayai berpunca daripada peraih dan pengilang yang mahu mengaut keuntungan tinggi.
“Menerusi jawatankuasa itu, mereka boleh melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan peraih dan pengilang yang membeli harga getah dengan harga murah,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan sumber ekonomi tambahan dengan menggalakkan penoreh getah terlibat dalam sektor lain yang bersesuaian di kawasan masing-masing.
“Penoreh getah boleh menjalankan kerja sampingan lain seperti pertanian, penternakan dan kraf tangan untuk menambah pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN