KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 46 hospital berusia lebih 50 tahun di seluruh negara dikenal pasti sebagai daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berlaku kejadian tidak diingini terutama kebakaran.
Perkara itu turut disahkan oleh dua bekas menteri, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan mengakui isu itu mendapat perhatian serius mereka semasa menerajui Kementerian Kesihatan.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, hospital-hospital terbabit yang menempatkan kira-kira 30,000 katil pesakit memiliki sistem pendawaian elektrik berbahaya.
“Kebanyakan hospital terbabit berusia lebih lima dekad dan ada yang beroperasi lebih 100 tahun. Implikasinya jika berlaku kebakaran akibat litar pintas atau punca lain, risikonya bukan sedikit.
“Keadaan pendawaian yang berselirat, lama dan kurang efisien menyebabkan sukar untuk mendapat kelulusan bomba.
“Bekalan kuasa (power supply) di hospital-hospital berkenaan dipercayai tidak mampu lagi menampung peralatan moden yang ditempatkan di hospital, akibatnya banyak mesin yang rosak,” kata sumber semalam.
Antara hospital lama yang terlibat termasuk berusia lebih 100 tahun ialah Hospital Kajang yang beroperasi pada 1910 dari bangunan asal dibina pada 1889; Hospital Kuala Lumpur (1870), Hospital Pulau Pinang (1882), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor (1882); Hospital Batu Gajah, Perak (1880); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak (1896) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (1920-an).
Pada 28 Jun lalu, Wad Per-ubatan Perempuan HSA terbakar tetapi tiada kecederaan dan kematian dilaporkan dalam kejadian pukul 3 petang itu.
Ketika kejadian, 52 pesakit berada dalam Kompleks Wad Perubatan Perempuan. Daripada jumlah itu, 24 pesakit berada dalam wad yang terbakar diselamatkan oleh Pasukan Tindakan Pantas (Emergency Respon Team).
Difahamkan, kos untuk membaikpulih dan menaiktaraf kesemua hospital daif tersebut menelan belanja antara RM3 bilion hingga RM5 bilion.
Ia termasuk kos mengosongkan hospital dengan ribuan pesakit dipindahkan ke hospital-hospital kerajaan yang lain dan hospital swasta.
“Jika kerja-kerja menaiktaraf tidak disegerakan, apa yang terdaya dibuat oleh pihak berkuasa hanyalah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa berwaspada memantau kemalangan atau kebakaran dari berlaku,” katanya.
Kedua-dua Dzulkefly Ahmad dan Subramaniam yang dihubungi berkata, proses penambahbaikan hospital-hospital daif itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana masalah kewangan dan operasi hospital yang tidak boleh dihentikan sewenang-wenang-nya.
Kata Dzulkefly: “Isu keselamatan dan (risiko) kebakaran memang wujud dan lebih dikesalkan lagi kerana apabila melibatkan hospital swasta, kita sangat tegas dan ketat pula.
“Bagi saya, apa ketetapan yang diberikan kepada hospital swasta melalui Akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998) perlu juga dikuatkuasakan kepada hospital kerajaan.”
Cuma isu hospital-hospital ‘uzur’ berkenaan jika kerja-kerja menaik taraf atau baik pulih hendak dipercepatkan, adakah kaedah konvensional dengan cara tender dibuka harus terus digunapakai?
Atau urusan memulihkan hospital-hospital daif berkenaan boleh dibuat secara serentak melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs) termasuk Khazanah Nasional Berhad dan kemudian kerajaan membayar kosnya secara tahunan? – UTUSAN