RM5j indahkan Stesen LRT Masjid Jamek demi keselesaan pengguna - Utusan Malaysia

RM5j indahkan Stesen LRT Masjid Jamek demi keselesaan pengguna

Anthony Loke Siew Fook (tengah) bersama Datuk Bandar, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud (dua dari kiri) dan Prodyut Dutt (dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek, hari ini. – utusan/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 46,000 pengguna yang menggunakan Stesen LRT Masjid Jamek setiap hari bakal menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa, selamat dan mesra pengguna menerusi projek transformasi bernilai RM5 juta.

Projek pengindahan yang dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu bukan sekadar memberi wajah baharu kepada stesen berkenaan, malah memberi tumpuan kepada penambahbaikan persekitaran, kemudahan awam dan akses pengguna di salah satu hab pengangkutan awam utama ibu negara.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dr. Prodyut Dutt berkata, projek pengindahan berkenaan mengambil masa tiga tahun dan merangkumi empat skop utama.

Memuatkan artikel berkaitan…
Anthony Loke Siew Fook (empat dari kiri) sambil diiringi Datuk Bandar, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud (tiga dari kiri) dan Prodyut Dutt (tiga dari kanan) melihat pelan naik taraf Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek, semalam.

Ujarnya, projek berkenaan dilaksanakan secara berfasa sejak 2025 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2027.

“Apabila siap kelak, Stesen LRT Masjid Jamek bakal tampil dengan persekitaran lebih moden, hijau dan mesra pengguna selain dilengkapi ruang niaga yang selesa.

“Prasarana komited mentransformasikan stesen transit daripada sekadar hab pengangkutan awam kepada pusat tumpuan komuniti, aktiviti komersial dan pelancongan yang dinamik,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di sini semalam.

Menurutnya, skop pertama projek itu melibatkan penaiktarafan kawasan Jalan Benteng termasuk laluan pejalan kaki, dataran awam serta pembangunan kiosk dan ruang niaga baharu.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan menghidupkan semula kawasan berkenaan sebagai koridor komersial dan ruang interaksi sosial yang menarik, dengan berlatarbelakangkan pemandangan ikonik Masjid Jamek.

“Skop kedua pula memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem pencahayaan di Jalan Tun Perak khususnya di sekitar pintu masuk stesen.

“Pemasangan lampu tambahan akan meningkatkan keterlihatan dan keselamatan pengguna pada waktu malam sekali gus mewujudkan persekitaran lebih terang, selesa dan kondusif,” katanya.

Bagi skop ketiga, beliau berkata, ia melibatkan penghijauan kawasan stesen melalui penambahan elemen landskap dan tumbuhan hijau bagi mewujudkan suasana transit yang lebih nyaman, segar dan menarik.

Ujarnya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan kualiti persekitaran bandar.

“Skop keempat merangkumi penambahbaikan sistem papan tanda dan pandu arah (wayfinding) yang lebih jelas, seragam dan mesra pengguna.

“Penambahbaikan itu bertujuan melancarkan pergerakan penumpang serta memudahkan akses ke destinasi warisan dan tarikan pelancongan di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek,” katanya.

Anthony Loke ketika meninjau persekitaran Stesen LRT Masjid Jamek yang akan dinaik taraf.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek itu merupakan langkah positif dalam usaha meningkatkan kualiti kemudahan pengangkutan awam selain memberikan nafas baharu kepada salah satu stesen transit utama di ibu negara.

Menurutnya, tanggungjawab menyediakan pengangkutan awam tidak terhenti kepada perkhidmatan tren dan bas semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kemudahan stesen serta persekitarannya.

Beliau berkata, Stesen LRT Masjid Jamek di Laluan Kelana Jaya yang terhubung dengan Laluan Ampang/Sri Petaling turut memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan harian rakyat tempatan dan pelancong luar.

“Projek itu juga selari dengan aspirasi Warisan Kuala Lumpur atau Warisan KL yang dilancarkan Perdana Menteri pada April 2025.

“Stesen LRT Masjid Jamek berada di tengah-tengah kawasan bersejarah dan menjadi pintu masuk penting ke pelbagai destinasi warisan seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

“Ini kerana pengalaman pengguna bukan sahaja bergantung pada perjalanan di dalam tren, tetapi juga melibatkan keseluruhan perjalanan mereka sehingga tiba di destinasi akhir,” katanya.

Tambahnya, penambahbaikan itu bukan sekadar menjadikan stesen lebih cantik, sebaliknya perlu meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan penambahbaikan sistem papan tanda di Stesen LRT Masjid Jamek berjaya dan mendapat penerimaan yang baik, reka bentuk papan tanda berkenaan akan diperluaskan ke semua stesen lain.

Menurutnya, Stesen LRT Masjid Jamek kini digunakan kira-kira 46,000 penumpang setiap hari, manakala jumlah pengguna mencecah kira-kira 1.5 juta penumpang sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini