Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus komited memperkukuh jalinan bersama komuniti desa menerusi penganjuran Program Santunan Pekebun Kecil di sekitar daerah Tapah dan Kampar, Perak selama dua hari yang berakhir semalam.
Program berkonsepkan ‘walkabout’ atau ziarah secara langsung ini diketuai oleh Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib yang meluangkan masa bertemu lebih 150 pekebun kecil dan keluarga mereka daripada pelbagai latar belakang termasuk anak yatim.
Turut bersama-sama dalam program ini, Pengarah RISDA Negeri Perak, Ahmad Zaki Abdullah.
Melalui program itu, usaha menyampaikan maklumat secara terus dapat dilakukan dan RISDA dapat mendengar sendiri suara serta harapan masyarakat desa.
Manndzri berkata, pelaksanaan program seumpama ini bukan sekadar simbolik lawatan rasmi, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan khususnya di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dalam mendekati komuniti pekebun kecil secara lebih berkesan.
“Pendekatan turun padang ini diyakini mampu memperkukuh kepercayaan terhadap peranan dan fungsi RISDA di peringkat akar umbi,” katanya.

Antara kampung yang dilawati termasuklah Kampung Pelawan, Kampung Tanjong Keramat, Kampung Haji Dahlan, Kampung Sungai Dadeh, Kampung Tengah dan Kampung Haji Salleh, dengan sambutan hangat daripada masyarakat setempat.
Dalam setiap kunjungan, pemimpin dan warga kerja RISDA menyampaikan maklumat berkaitan insentif penanaman semula, program peningkatan hasil getah, khidmat bimbingan teknikal serta pelbagai bentuk bantuan sedia ada di bawah inisiatif RISDA.
Program ini turut diserikan dengan lawatan ke Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darulaitam di Kampung Haji Salleh, Temoh. Seramai 28 orang anak yatim menerima sumbangan keperluan harian daripada RISDA sebagai tanda keprihatinan agensi terhadap kelestarian sosial komuniti desa secara keseluruhan.
“Walaupun fokus utama RISDA adalah terhadap pembangunan pekebun kecil, kita juga amat menghargai sumbangan golongan lain di desa dalam melengkapkan ekosistem sosioekonomi yang sejahtera. Anak-anak yatim ini juga merupakan sebahagian daripada jaringan penting masyarakat yang perlu disantuni,” ujar Manndzri.
Tambah beliau, RISDA menyasarkan perluasan program seumpama ini ke kawasan lain di seluruh negara sebagai strategi berterusan memperkasa pekebun kecil dan menjayakan Aspirasi Desa Madani yang digariskan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Dengan pelaksanaan Program Santunan Pekebun Kecil ini, RISDA sekali lagi memperteguh peranannya dalam membimbing lebih 500,000 pekebun kecil ke arah kehidupan yang lebih mampan melalui seluruh pusat tanggungjawabnya di seluruh negara.
Ia juga sejajar dengan usaha untuk mengangkat semula Malaysia sebagai antara pengeluar utama getah asli dunia melalui pemerkasaan komuniti desa. – UTUSAN