KUALA LUMPUR: Pahang bersedia untuk menjadi pintu kepada Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur atau East Gateway dan menjadi lokasi tumpuan pelabur dari seluruh dunia.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang dilengkapi dengan sumber asli yang luas dan mempunyai infrastruktur dan kemudahan awam yang baik serta kawasan tanah Perindustrian yang besar dan mampu menarik pelaburan.
Kata beliau, Pahang bersedia untuk menggantikan Singapura sebagai Pusat Sehenti Industri dan Perkhidmatan kerana pelabur boleh terus mengimport dan mengeksport ke negara seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat tanpa melalui Selat Melaka.
“Sebab itu apabila kita mempunyai Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Maritime Hub yang moden akan menyebabkan lebih banyak pelabur akan datang ke Pahang kerana sekiranya mereka mahu pergi ke Singapura atau Pelabuhan Klang dari Thailand akan memakan masa.
“Jadi dengan Pahang menjadi East Gateway bukan sahaja akan membantu pelabur menjimatkan masa tetapi turut menjimatkan kos. Sebab ini saya sangat optimis bahawa Pahang akan menjadi satu tempat tumpuan oleh pelabur-pelabur di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Pahang terbukti sebagai negeri terbaik di Malaysia dari segi penawaran fasiliti dan pemudahcara kepada pelabur-pelabur yang hadir.
“Ia dibuktikan melalui Ease of Doing Business Index yang menyatakan kelebihan Pahang kepada Pelabur. Pencapaian ini membawa banyak kesan domino yang positif seperti kewujudan peluang pekerjaan yang merupakan kesan spill over secara langsung kepada industri sampingan.
“Bagaimanapun, mengurangkan karenah birokrasi yang membebankan tidak bermakna Pahang mengetepikan undang-undang demi memudahkan pelabur datang ke negeri ini,” jelasnya.
Wan Rosdy berkata, Pahang sudah mewujudkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dan mempunyai Taman Perindustrian Kuantan Malaysia – China yang membantu negeri terus berkembang.
Malah, jelasnya, projek ECRL yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027 menjadi pemangkin pembangunan baharu di Pahang.
“Dengan mempunyai tujuh stesen dari stesen Cherating sehingga ke stesen Bentong, kerajaan sudah merangka pelbagai bentuk pembangunan seperti Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), Pembangunan Beroretansikan Hub Logistik atau Kargo dan Projek Pemacu Ekonomi.
“Malah, pembinaan pangsapuri Pahangku berhampiran stesen ECRL Bentong misalnya merupakan antara pembangunan dalam kawasan TOD,” jelasnya.
Tambahnya, Pahang juga sedang giat membangunkan industri halal bagi membolehkan produk-produk halal tempatan dapat dipasarkan di seluruh dunia.
“Pembangunan Industri Halal Pahang di Gambang, Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sebagai lokasi strategik untuk menghasilkan serta mengeksport produk halal ke negara-negara rantau Timur seperti China, Jepun, Vietnam dan Taiwan.
“Ini secara langsung menjadikan Pahang sebagai East Gateway terutama selepas laluan ECRL siap beroperasi sepenuhnya.
“Ini kerana laluan ECRL dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuantan memendekkan masa perjalanan kapal untuk ke rantau Timur kira-kira tiga ke empat hari tanpa melalui Selat Melaka mahupun Singapura,” katanya. – UTUSAN