KUALA LUMPUR: Pahang di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpotensi untuk menjadi salah satu negeri di Malaysia yang menjadi tumpuan pelabur dari seluruh negara.
Ini kerana beberapa siri rekod kejayaan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pahang, antaranya adalah kutipan hasil pada 2024 berjumlah RM1.22 bilion iaitu melebihi dari sasaran RM1.137 bilion dengan 107.25 peratus.
Pahang turut berjaya mencatat kejayaan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setinggi 5.2 peratus mengatasi KDNK Nasional 3.6 peratus pada 2023 dengan nilai KDNK sebanyak RM64.9 bilion.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Pahang merupakan ‘gergasi yang sedang tidur’ dan mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin ekonomi negara.
Menurut beliau, pimpinan Wan Rosdy bukan sahaja berjaya menaikkan taraf hidup rakyat Pahang dari sudut ekonomi dan peluang kerjaya tetapi juga mampu memberikan bantuan-bantuan yang dituntut oleh agama Islam dari pemimpin kepada rakyat.
“Pahang adalah negeri yang tradisionalnya merupakan penyumbang terbesar pada negara dahulu tetapi apabila berlaku dinamika seperti pengangkutan dan sebagainya, Pahang agak tercicir kerana negeri itu terletak disebalik banjaran. Jadi limpahan itu banyak dinikmati oleh negeri-negeri di Pantai Barat.
“Perkembangan terbaharu seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebagainya maka ini memudahcarakan Pahang untuk kembali sebagai kuasa besar. Saya berani untuk katakan berdasarkan data pertumbuhan ekonomi antara negeri di Malaysia yang diperoleh Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Baharom berkata, potensi Pahang lebih kukuh apabila Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini dan sudah menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), selain dari kedudukannya di Laut China Selatan.
“Jadi ini bukan sahaja membantu pelabur menjimatkan masa tetapi turut wang dan kos. Nikmat yang bakal diperoleh Pahang bukan sahaja sebagai sebuah negeri tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya.
“Sebab itu Pahang sesuai untuk dijadikan sebagai Gerbang Pelaburan ke Rantau Timur atau East Gateway kerana negeri itu akan memacu pertumbuhan bukan sahaja untuk mereka tetapi Pantai Timur dan Malaysia seluruhnya,” jelasnya.
Tambahnya, Pahang mempunyai sumber asli yang banyak dan kapasiti untuk penyediaan tenaga kerja Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Jika kita lihat seperti Ipoh, Johor Bharu dan Lembah Klang ia agak sesak, sudah tidak mampu untuk menampung pembangunan tetapi Pahang kita boleh katakana ia masih boleh melalui pembangunan yang pesat demi menguntungkan rakyatnya.
“Malah, Sarawak yang sekarang semakin maju kedepan dan Pahang juga sama, di mana satu negeri di Timur dan satu lagi di Barat Laut China Selatan, ini memberikan potensi yang amat baik untuk negara,” katanya. – UTUSAN