PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih baik sebanyak 5.1 peratus tahun lalu (2023: 3.6 peratus), disokong permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan eksport, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Pertumbuhan ini disebabkan perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi di sebalik pertumbuhan berterusan dalam pekerjaan dan upah, perbelanjaan modal yang lebih tinggi, dan pemulihan eksport.
Kebanyakan ramalan menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik pada 2024 berbanding 2023.
Dalam analisis yang diterbitkan pada 27 Feb, oleh Ratings Agency Malaysia, dianjurkan kadar pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.5% pada 2024, meningkat daripada 3.7% yang dicatatkan pada 2023.
Negara berkembang maju berikutan peningkatan produktiviti dalam empat sektor penting ekonomi, iaitu minyak sawit, pembuatan, perkhidmatan, serta minyak dan gas (O&G).
Minyak sawit
Minyak sawit merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan.
Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada KDNK setiap tahun.
Minyak sawit merupakan keluaran utama pertanian Malaysia serta perdagangan globalnya, menjadikan negara ini pengeluar kedua terbesar komoditi itu di dunia.
Pembuatan
Sektor pembuatan, yang merangkumi subsektor kimia, automotif serta elektrik dan elektronik (E&E), antara penyumbang terbesar kepada ekonomi, iaitu menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mencerminkan asas perindustrian negara yang besar.
Dengan hampir 30 pengeluar dan lebih 600 pengeluar komponen, industri automotif Malaysia antara yang terbesar di Asia.
Setiap tahun, ia menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada KDNK. Jenama tempatan Proton dan Perodua pemain utama dalam pasaran tempatan.
Subsektor kimia dijangka menyumbang RM40 bilion kepada KDNK menjelang akhir dekad ini melalui integrasi industri yang dipertingkatkan, daya saing global yang lebih baik, dan pengeluaran mampan, kata Menteri Perdagangan dan Pelaburan Tengku Zafrul Aziz pada Ogos lepas.
Industri E&E merupakan tulang belakang sektor pembuatan, iaitu menyumbang 5.8% daripada KDNK pada 2023, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Sasaran negara bagi sektor ini adalah ia harus menyumbang RM120 bilion kepada KDNK serta pendapatan eksport mencecah RM495 bilion menjelang 2025.
Malaysia merupakan pemain utama dalam pasaran E&E di Asia Tenggara, selaku pemangkin untuk pembangunan industri lain selain meningkatkan rantaian nilai bekalan, menurut Mida dalam laporan pada 27 Feb.
Perkhidmatan
Sektor perkhidmatan, yang terdiri daripada pelancongan, kewangan dan ICT, merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi dari segi peratusan, iaitu menyumbang hampir 55% daripada pertumbuhan KDNK setiap tahun.
Subsektor pelancongan penyumbang utama kepada input ekonomi. Pada 2023, pendapatan daripada pelancongan berjumlah RM71.3 bilion.
Subsektor kewangan Malaysia antara yang paling stabil di rantau ini.
Rangka tindakan lima tahun BNM, yang menetapkan keutamaan pembangunan negara bagi subsektor itu, berpaksi pada usaha memupuk dinamisme pasaran dengan tumpuan berterusan pada kestabilan monetari dan kewangan.
Subsektor ICT merupakan satu lagi pemain penting. Pasaran bagi perkhidmatan ICT bernilai USD25.92 bilion (RM121.72 bilion), menurut pelbagai pangkalan data global, sekaligus menekankan peralihan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Minyak dan gas
Malaysia mempunyai banyak sumber asli dan bergantung pada mengekstrak sumber-sumber ini untuk menjana ekonomi, sejak sebelum merdeka lagi.
Bijih timah, yang pertama kali ditemui di Larut, Perak pada 1848, merupakan pemacu utama ekonomi selama lebih satu abad.
Minyak dan gas kini menjadi sumber asli utama.
Petronas pemacu utama sektor O&G di Malaysia hari ini, namun syarikat minyak global Shell yang awal sekali membuka peluang perniagaan itu kepada negara.
Minyak pertama kali ditemui pada 1910 di Bukit Kanada, Miri oleh Marcus Samuel and Company, yang kemudian menukar nama kepada Shell.
Telaga minyak pertama yang digali oleh Shell mengepam 83 tong sehari.
Beberapa syarikat minyak utama lain yang melabur dalam segmen huluan sektor O&G di Malaysia, antaranya menerusi kerjasama dengan Petronas, adalah Exxon-Mobil dan Hess Corporation dari Amerika Syarikat, PTT Exploration and Production Public Co Ltd dari Thailand, dan EnQuest dari UK.
Hari ini sektor O&G menyumbang kira-kira RM300 bilion kepada ekonomi.
Ia telah mengharungi ketidaktentuan pasaran global selama bertahun-tahun untuk kekal sebagai sumber pendapatan dan pekerjaan utama bagi rakyat, sekali gus mengukuhkan status sebagai tonggak ekonomi yang kritikal.
Sektor O&G banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional dan negeri.
Di Sarawak, Sabah, Terengganu, dan Johor, Petronas terlibat dalam melatih vendor tempatan dan kehadirannya membawa manfaat ekonomi yang besar kepada masyarakat setempat.
Bersama kita berusaha
Pertumbuhan ekonomi yang pesat di Malaysia didorong oleh kerjasama yang erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, dengan dasar-dasar kukuh yang digariskan di peringkat nasional untuk memastikan setiap negeri mendapat manfaat daripada pelbagai sumber yang dihasilkan.
Minyak sebahagian besarnya diekstrak di dalam atau di luar pantai beberapa negeri, namun negeri yang bukan pengeluar komoditi itu turut merasai faedahnya.
Setiap negeri, termasuk yang tiada sumber semula jadi, menyumbang sama rata kepada ekonomi.
Sebagai contoh, Pulau Pinang dan Selangor peneraju sektor pembuatan, manakala Sabah, Sarawak, dan Johor pengeluar terbesar minyak sawit.
Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang kepada kekuatan dan kestabilan ekonomi.
Sebagai sebuah negara, semua rakyat memainkan peranan dalam pertumbuhannya dan berkongsi manfaatnya. – UTUSAN