PROMAK sedia makanan seimbang

PROMAK sedia makanan seimbang

WAN Rosdy Wan Ismail (dua kanan) bersama Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Datuk Seri Rohani Abdul Karim (tiga kanan) pada gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Makanan Kesihatan (Promak) Peringkat Negeri Pahang di SK Kuala Koyan, Kuala Lipis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pengusaha kantin menyifatkan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) terbukti memberikan kesan besar kepada perkembangan tumbesaran murid-murid sekolah terlibat.

Pengusaha kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan, Rohana Daud berkata, sejak dilaksanakan pada Oktober tahun lalu, murid sekolah itu lebih ceria, sihat dan cergas berbanding sebelum program tersebut yang menyediakan pemakanan seimbang dan akses makanan berkhasiat.

“PROMAK merupakan inisiatif yang cukup baik dilaksanakan BERNAS dalam memastikan murid mendapat makanan berkhasiat terutama bagi masyarakat Orang Asli di luar bandar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran PROMAK Peringkat Negeri Pahang di SK Kuala Koyan di sini.

Beliau yang mengusahakan kantin sekolah itu sejak lima tahun lalu berkata, penyediaan menu harian di bawah program berkenaan dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh BERNAS dan Kementerian Kesihatan.

“Saya berharap PROMAK diteruskan lagi pada tahun akan datang kerana memberikan manfaat besar kepada kesihatan murid yang dapat memenuhi keperluan malnutrisi sekali gus mengatasi kekurangan zat makanan,” ujarnya.

Bagi Guru Besar SK Kuala Koyan, Azhar Teh, program ini merupakan inisiatif terbaik yang dapat menarik minat murid Orang Asli di sekolah ini untuk hadir ke sekolah setiap hari.

“Langkah proaktif BERNAS melalui program ini juga mampu meningkatkan kesedaran ibu bapa dan murid-murid tentang pentingnya pemakanan yang seimbang sebelum berlaku kesan yang lebih buruk akibat masalah malnutrisi,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada murid Orang Asli SK Kuala Koyan daripada suku kaum Semai, Milah Abu, 34, berkata, program tersebut memberi manfaat besar kepada keluarganya kerana dua anak yang belajar di Tahun 1 dan 5 dapat menikmati makanan seimbang setiap hari.

“Dengan adanya PROMAK ini setiap hari anak-anak dapat makanan sihat dan lengkap. Mereka sering bercerita tentang hidangan yang enak disediakan seperti nasi, ayam, ikan dan buah-buahan.

“Suami yang bekerja kampung tidak mampu menyediakan makanan berzat setiap hari kerana kosnya tinggi. Di rumah, kami makan seadanya mengikut pendapatan harian,” katanya.

Murid SK Kuala Koyan, Aselni Samad, 11, berkata, program itu mendorong dia lebih suka ke sekolah pada setiap hari berbanding sebelum ini.

“Makanan yang diberikan mengenyangkan. Setiap hari makan makanan sedap, paling sedap apabila makan nasi ayam yang dimasak oleh mak cik kantin yang peramah,” katanya.

Vioeliza Jas Billy Qesa Ros Billy Jojo, 12, pula berkata, dia gembira kerana terpilih menjadi penerima PROMAK kerana sejak mendapat makanan seimbang dia lebih ceria dan bersemangat untuk belajar.

“Prestasi pelajaran saya cikgu kata lebih baik manakala berat badan dan ketinggian turut meningkat secara normal,” katanya yang bercita-cita menjadi jururawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN