KUALA LUMPUR: POP MART International Group (POP MART), mencatatkan rekod baharu bagi pendapatannya mencecah 13.04 bilion renminbi (RMB) kira-kira RM7.93 bilion bagi kewangan penuh 2024.
Keuntungan bersih terlaras turut melonjak drastik kepada RMB3.4 bilion (RM2.21 bilion) naik 185.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
POP MART menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, pasaran China menyumbang RMB7.97 bilion (RM4.75 bilion) dengan pertumbuhan 52.3 peratus tahun ke tahun, manakala pasaran luar China termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan merekodkan peningkatan luar biasa 375.2 peratus kepada RMB5.07 bilion (RM3.09 bilion).
Katanya, prestasi operasi kumpulan ini jauh melebihi jangkaan, mencipta rekod baharu bagi syarikat.
“Sistem operasi hak intelek (IP) POP MART mencapai kematangan dengan empat IP utama, The Monsters, Molly, SkullPanda dan CryBaby dengan menjana lebih RMB1 bilion (RM0.61 bilion) buat kali pertama.
“Selain itu, 13 IP lain termasuk Dimoo World, Hirono, Zsiga dan Hacipupu turut menyumbang lebih RMB3 bilion (RM1.83 bilion) kepada pendapatan syarikat,” katanya.
Syarikat itu berkata, POP MART menambah 38 kedai baharu di China, menjadikan jumlah keseluruhan 401 kedai serta 110 Roboshop baharu ditambah, menjadikan jumlahnya 2,300.
Ia berkata, pendapatan daripada kedai fizikal meningkat 43.9 peratus kepada RMB3.83 bilion (RM2.34 bilion) manakala Rohoshop menyumbang RMB700 juta (RM427 juta), naik 26.4 peratus dan syarikat ini menunjukkan pertumbuhan organik yang kukuh tanpa perlu membuka terlalu banyak kedai baharu, sementara segmen dalam talian turut mengalami pertumbuhan pesat.
Selain itu, pendapatan daripada mesin layan diri kotak misteri meningkat 52.7 peratus kepada RMB1.11 bilion (RM0.677 bilion), di mana operasi e-dagang terus berkembang dengan kedai rasmi di Tmall merekodkan peningkatan pendapatan 95 peratus kepada RMB630 juta (RM384.35 juta).
Syarikat juga merombak strategi penstriman langsung dengan membuka beberapa studio khas, menjana pendapatan RMB600 juta (RM366.07 juta) naik 112.2 peratus tahun ke tahun.
Sehingga 31 Disember 2024, jumlah ahli berdaftar POP MART di China mencecah 46.08 juta, dengan 11.73 juta ahli baharu ditambah sepanjang tahun.
Sementara itu, pasaran luar China mencatat pertumbuhan 375.2 peratus kepada RMB5.07 bilion (RM3.09 bilion) menyumbang 38.9 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan.
“Bilangan kedai fizikal meningkat kepada 130 (termasuk usaha sama), sementara Roboshop berkembang kepada 192 unit.
“Pada 2024, POP MART membuka kedai pertama di Vietnam, Indonesia, Filipina, Itali dan Sepanyol, selain memperkukuh kehadiran di lokasi ikonik seperti Louvre di Paris, Oxford Street di London dan Sun World Ba Na Hills di Vietnam,” katanya.
Sejak memulakan pelan globalisasi pada 2018, jenama ini sudah berkembang ke hampir 100 negara dan wilayah.
Plush toys turut mencatat pertumbuhan luar biasa 1,289 peratus kepada RMB2.83 bilion (RM1.73 bilion), kini merangkumi 21.7 peratus daripada pendapatan keseluruhan.
Selain itu, jenama Mega Collection memasuki fasa matang dengan pendapatan meningkat 146.1 peratus kepada RMB1.68 bilion (RM1.03 bilion) dan produk derivatif dan lain-lain turut melonjak kepada RMB1.59 bilion (RM0.97 bilion) meningkat 156.2 peratus.
POP MART terus mengembangkan strategi IP dengan memanfaatkan kategori baharu seperti plush toys dan blok binaan, memperluaskan potensi monetarisme IP mereka.
Dengan pertumbuhan pesat dalam semua segmen, POP MART terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri mainan koleksi dan budaya pop global. – UTUSAN