TAPAH: Penjaja yang mendakwa pendapatan mereka terjejas kerana pelaksanaan sistem penyuraian baharu aliran trafik satu hala di laluan utama bandar Tapah di sini berharap mereka dapat ditempatkan di tapak baharu yang bersifat statik dan tetap.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Batang Padang, Abdul Rasid Osman berkata, ahli-ahli persatuan itu berdepan dengan kesulitan iaitu pelanggan sukar meletakkan kenderaan sebentar bagi membeli produk jualan mereka.
“Ia sukar kerana ruang parkir yang semakin terhad selain pertambahan bilangan kenderaan menyebabkan jualan kami terjejas dan merosot dengan teruk.
“Kami sedia berpindah dan berharap tapak baharu itu luas dan lengkap dengan tempat
meletakkan kenderaan selain kemudahan air, elektrik dan surau untuk kemudahan pelanggan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, peniaga-peniaga di sepanjang laluan sehala itu yang terjejas berikutan pelaksanaan sistem penyuraian baharu aliran trafik satu hala di laluan utama bandar Tapah di sini berharap penambahbaikan projek itu oleh kerajaan negeri dapat membantu mereka menambah kembali pendapatan seperti sebelum ini.
Seorang pemilik kedai runcit, C. Thanabalan, 53, yang sudah lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, beliau tidak pernah meragui atau menolak sebarang projek yang bermanfaat untuk rakyat.
“Masalah saya, apabila laluan empat lorong itu dijadikan dua lorong termasuk hanya dibenarkan pusingan U, kebanyakan pelanggan tidak dapat akses ke kedai.
“Saya dengar masalah itu akan diatasi dengan segera dengan adanya bulatan jalan (roundabout) atau adanya laluan alternatif lain. Saya berterima kasih dan berharap perniagaan akan menjadi rancak seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pemilik sebuah bengkel servis kenderaan dan tayar, A. Nadarajan, 63, mula boleh menarik nafas lega dengan maklumat yang diterima, pelaksanaan sistem penyuraian baharu aliran trafik satu hala itu akan siap sepenuhnya pada 30 April nanti.
“Laluan sehala ini ada kebaikannya. Pengguna jalan raya tidak perlu menunggu lebih lama di lampu isyarat lagi yang dapat memendekkan masa perjalanan.
“Selain itu, aliran trafik lebih lancar berbanding sebelum ini yang ternyata memudahkan pengguna yang terjejas pada waktu puncak, cuti persekolahan dan cuti umum. Saya hanya berniaga dan memang anak jati Tapah, hidup dan mati mungkin di sini, jadi hanya harapkan yang terbaik untuk kami mencari rezeki dengan sebaiknya,” katanya.
Bagi pemilik sebuah kedai basikal di Bukit Baldwin, Chik Kwai Choy, 59, beliau memuji keprihatinan kerajaan negeri dan agensi bertanggungjawab membantu peniaga dan penjaja yang terjejas.
“Biasa benda baharu, ada pro dan kontranya dan kelebihan dan kekurangannya. Saya berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan isu-isu yang kritikal ini demi kebaikan semua pihak.
“Rakan-rakan penjaja yang terjejas juga telah dijanjikan tapak baharu di kawasan yang lebih luas dan selesa berbanding sebelum ini jadi ini bersifat win-win situation,” katanya.
Pembantu farmasi di sebuah kedai farmasi di Bukit Baldwin, Razana Hanim Abdul Razak, 34, dan Ruzana Osman, 45, mengakui sistem laluan sehala itu mengurangkan kesesakan jalan raya berbanding sebelum ini.
“Perjalanan menjadi semakin lancar cuma saya berharap dapat ditambah kawasan meletak kenderaan berbanding sebelum ini supaya ramai pengguna boleh singgah lebih lama.
“Sekiranya pelanggan boleh singgah lebih lama ia akan dapat menambah lebih pendapatan kami,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan orang ramai memberi pelbagai reaksi berhubung sistem laluan sehala yang dilaksanakan di bandar Tapah bermula 23 Ogos tahun lalu.
Difahamkan, langkah penyuraian trafik di laluan sepanjang 1.2 kilometer (km) tanpa penggunaan lampu isyarat itu sebagai usaha mengatasi kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.-UTUSAN