Pastikan perjanjian gas Sarawak lindungi Melayu, kata DPMM

Pastikan perjanjian gas Sarawak lindungi Melayu, kata DPMM

petronas
.peranan pengagregat gas daripada Petronas kepada Petros disifatkan strategik yang berpotensi membawa manfaat ekonomi besar kepada Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia menyatakan banyak peluang baharu Petros sebagai pengagregat gas Sarawak

namun menggesa tindakan tertentu diambil untuk memanfaatkan Melayu dan bumiputera

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan Persekutuan memastikan penyelesaian pertikaian antara Petronas dan Petros mengambil kira kepentingan nasional, hak Sarawak serta melindungi Melayu dan Bumiputera keseluruhannya.

Setiausaha Agungnya Halim Husin berkata, pemindahan peranan pengagregat gas daripada Petronas kepada Petros disifatkan strategik yang berpotensi membawa manfaat ekonomi besar kepada Sarawak.

Namun beliau menekankan perjanjian akhir mesti dirangka dengan teliti bagi memberi kesan terhadap ekonomi bumiputera khususnya Melayu di Sarawak sekali gus melindungi kepentingannya.

“Kerajaan Persekutuan perlu menjadi orang tengah dalam rundingan antara Petronas serta Petros. Penyelesaian pertikaian ini harus mempertimbangkan kepentingan Sarawak sebagai negeri pengeluar minyak dan gas (O&G) dan masa sama tidak mengabaikan kepentingan Melayu di Malaysia.

“Pendekatan holistik diperlukan bagi memastikan Melayu-bumiputera bukan sekadar bekerja dalam industri minyak dan gas, tetapi turut berperanan sebagai pemilik dan pemain utama,” katanya.

Halim mengakui pelantikan Petros berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas, khususnya kepada rakyat Sarawak.

Bagaimanapun beliau menyuarakan kebimbangan sama ada masyarakat Melayu akan turut menikmati peluang itu.

“Berdasarkan rekod semasa, banyak syarikat berkaitan kerajaan Sarawak lebih cenderung mengambil pekerja bukan Melayu untuk jawatan teknikal dan pengurusan,” ujarnya.

Halim turut menegaskan bahawa sebagai pengagregat, Petros kini mempunyai kawalan lebih besar terhadap rantaian bekalan, kontrak serta perolehan minyak dan gas di Sarawak.

“Sebelum ini, banyak syarikat Melayu-Bumiputera dari Semenanjung Malaysia terlibat dalam kontrak minyak dan gas di Sarawak melalui Petronas. Dengan pemindahan kuasa kepada Petros, syarikat tempatan Sarawak mungkin diutamakan.

“Persoalannya, adakah kontrak baharu ini akan mengutamakan syarikat Melayu atau lebih memberi manfaat kepada syarikat bukan Melayu di Sarawak? Atau hanya menguntungkan kroni tertentu?,” katanya merujuk kemungkinan berlakunya ketirisan kewangan seperti terjadi sebelum ini.

Sehubungan itu, Halim berkata, DPMM mencadangkan dasar perolehan Petros menetapkan sekurang-kurangnya 60% penyertaan syarikat Melayu dan 50% tenaga kerja Melayu.

Dewan itu menggesa kerajaan Sarawak memastikan penyertaan Melayu dalam projek utama Petros sama ada melalui pemilikan ekuiti atau kerjasama strategik dengan syarikat lain.

“DPMM turut menyeru kerajaan Sarawak memastikan dasar ekonomi dalam industri tenaga benar-benar inklusif bagi masyarakat Melayu. Jika tidak, kekayaan sumber asli Sarawak tidak akan dinikmati secara adil semua kumpulan bumiputera,” tambahnya.

Bagi syarikat Melayu dari Semenanjung yang bakal terkesan dengan perubahan ini, Halim menggalakkan mereka lebih proaktif dalam merebut peluang yang ada.

“Pelantikan Petros mungkin menyukarkan syarikat bumiputera dari Semenanjung untuk terus bersaing dalam industri O&G di Sarawak. Namun, ini juga boleh menjadi satu peluang.

“Jika syarikat-syarikat ini dapat menyesuaikan strategi mereka untuk bekerjasama dengan syarikat Sarawak atau meneroka pasaran alternatif di luar Sarawak, mereka masih boleh meraih manfaat daripada perubahan ini,” jelasnya.

Mengurangkan risiko dalam industri O&G Malaysia

Halim turut menegaskan bahawa kuasa nasional Petronas tidak seharusnya dilemahkan dalam proses ini.

“Kami menerima keperluan untuk bekerjasama dengan Petros sebagai pengagregat gas di Sarawak, katanya sambil menambah penyelesaian pertikaian antara Petronas dan Petros perlu mengambil kira kepentingan Sarawak sebagai negeri pengeluar gas.

“Pemindahan hak pengagregat gas daripada Petronas kepada syarikat sub nasional seperti Petros mungkin memberikan kelebihan jangka pendek, tetapi kesan lebih besar terhadap kestabilan geopolitik Malaysia, hubungan antarabangsa dan struktur ekonomi.

Beliau juga memberi amaran pelabur asing mempunyai kontrak sedia ada dengan Petronas mungkin melihat perubahan ini sebagai petanda ketidakstabilan dasar, yang boleh menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur.

“Langkah terbaik meningkatkan perkongsian hasil dengan negeri-negeri tanpa menjejaskan kuasa nasional ke atas sumber asli negara,” katanya yang bagaimanapun menyokong pembabitan aktif Sarawak dalam industri minyak dan gas tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN