LIPIS: Kerajaan Pahang menghargai inisiatif Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai rakan strategik memperkenalkan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) bagi memastikan kanak-kanak mendapat makanan seimbang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PROMAK memberi impak positif terhadap semua keperluan nutrisi di peringkat awal usia awal tumbesaran kanak-kanak agar mereka berada dalam keadaan sihat, cerdas dan berdaya saing.
Katanya, program itu secara langsung merangsang kehadiran murid ke sekolah terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli kerana mereka sudah berjaya mengatasi masalah malnutrisi melalui program murni tersebut.
“Kadar kehadiran murid ke sekolah menunjukkan peningkatan ketara sejak program ini dilaksanakan Oktober tahun lalu kerana adanya faktor penarik seperti penyediaan makanan sihat secara percuma setiap hari,” katanya ketika berucap melancarkan PROMAK Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan di sini.
BERNAS sudah menjalankan PROMAK di empat buah sekolah di Pahang termasuk SK Kuala Koyan yang merupakan sekolah Orang Asli pertama di negeri ini menikmati makanan tengah hari secara percuma sejak Oktober tahun lalu.
Wan Rosdy menyeru syarikat swasta lain mencontohi usaha BERNAS sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sedemikian.
Menurutnya, program makanan tengah hari percuma itu cukup baik bagi membantu dari segi penambahan makanan berzat yang dapat menyumbang kepada kecerdasan otak dan prestasi akademik anak-anak.
“Walaupun sumbangan kewangan adalah penting, sumbangan dalam bentuk seperti makanan berzat ini lebih memberi kesan secara langsung kepada murid-murid sekolah yang mempunyai pelbagai latar belakang keluarga,” ujarnya.
Wan Rosdy berkata, adalah diharapkan agar BERNAS dapat memperluaskan lagi PROMAK ke sekolah lain di kawasan luar bandar sekali gus membantu mengurangkan beban keluarga bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, lebih 20,000 murid sekolah rendah membabitkan 97 sekolah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan sembilan juta hidangan berzat menikmati makanan tengah hari percuma menerusi program tersebut sejak Januari 2022.
Katanya, menerusi program ini juga dapat memastikan tiada murid daripada keluarga B40 yang tercicir, malah ia turut diperluas kepada masyarakat Orang Asli bagi membantu menangani masalah malnutrisi dalam kalangan mereka.
“Alhamdulillah, PROMAK sudah diperluas dengan tercapainya hasrat BERNAS untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dan memastikan anak-anak ini mendapat akses kepada sumber pemakanan yang seimbang di sekolah,” katanya. – UTUSAN