MWC2025: Malaysia serlah inovasi teknologi tempatan

MWC2025: Malaysia serlah inovasi teknologi tempatan

SELAIN WAKIL Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat tempatan seperti CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, Yes, Edotco dan MEASAT turut serta dalam Mobile World Congress (MWC 2025) .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran Malaysia di Mobile World Congress (MWC 2025) di Barcelona, Sepanyol, kali ini bukan sekadar menumpang dan melihat perkembangan dunia telekomunikasi dan teknologi yang akan dibawakan oleh negara-negara maju lain.

Sebaliknya, kehadiran Malaysia pada acara paling berprestij yang mengumpulkan gergasi telekomunikasi dan teknologi dunia di bawah satu bumbung kali ini adalah untuk mempamerkan inovasi terkini keterhubungan, perkhidmatan untuk rakyat dan perkhidmatan untuk industri yang dicapai syarikat-syarikat tempatan.

Pada acara yang bermula esok hingga 6 Mac itu, delegasi Malaysia bakal disertai oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, wakil-wakil kerajaan, wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB).

Tidak ketinggalan adalah gergasi telekomunikasi tempatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, Yes, Edotco dan MEASAT.

Mengorak langkah selaku Pengerusi ASEAN 2025, wakil negara ke MWC akan membawakan tema ‘Malaysia, Gerbang Inovasi ASEAN’ sebagai strategi menjalin perkongsian, memacu kerjasama dan mencipta peluang mampan yang bakal mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab inovasi utama di dalam sektor ekonomi digital dunia.

Bagi merealisasikan hasrat ‘Malaysia Gerbang Inovasi ASEAN’, tiga fokus utama dirangka sebelum menyertai MWC iaitu memperkukuh infrastruktur dan keterhubungan, transformasi sektor utama melalui 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) serta memacu ekonomi digital dan inovasi ASEAN.

Dalam fokus pertama yang dirangka, MCMC membangunkan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) untuk meningkatkan kolaborasi antara industri dengan kerajaan negeri.

Pembangunan MOCN itu bukan sahaja menjimatkan kos syarikat telekomunikasi tempatan dengan berkongsi biaya pembangunan, penyelenggaraan dan menaik taraf menara bahkan mengurangkan perbelanjaan modal (Capex) dan operasi (Opex).

Dari perspektif perkhidmatan pula, perkongsian MOCN membawa kepada rangkaian lebih kukuh dan terjamin selain meningkatkan kualiti panggilan, kelajuan data serta meminimumkan gangguan sambungan.

Hasilnya boleh dilihat daripada pencapaian inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menunjukkan setakat 31 Disember lalu, 9.03 juta premis telah diliputi dengan gentian optik melepasi sasaran sembilan juta yang ditetapkan.

Selain itu, kelajuan jalur lebar mudah alih juga mencapai median 105.36 Mbps melepasi sasaran 100 Mbps manakala liputan Internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 98.66 peratus pada suku keempat 2024.

Selain itu, MCMC juga bakal memperkenalkan MCMC Nexus, sebuah inovasi yang dijadikan alat pemantau prestasi rangkaian menggunakan AI dan data crowdsource bagi memastikan pengalaman digital yang lebih baik kepada rakyat.

Terangkum di dalam fokus kedua, transformasi sektor utama melalui 5G dan AI, tiga tonggak diketengahkan negara iaitu keterhubungan, perkhidmatan untuk rakyat dan perkhidmatan untuk industri yang dicapai syarikat tempatan.

Daripada tiga tonggak itu, ia terbahagi kepada lima asas penting iaitu infrastruktur yang digalas oleh MCMC, Edotco dan MEASAT; penjagaan kesihatan yang dipelopori CelcomDigi dengan menampilkan diagnostik perubatan AI dan Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) untuk latihan perubatan.

Selain itu, di bawah asas pendidikan pula, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile turut memanfaatkan teknologi 5G untuk pembelajaran imersif melalui AR dan VR; industri minyak dan gas menggunakan teknologi 5G – AI bagi meningkatkan pemantauan masa nyata dan penyelenggaraan ramalan.

Asas penyiaran dan bandar pintar pula akan dibawakan oleh U Mobile dan DNB, MCMC, MDEC dan Maxis bagi menumpukan kepada penyiaran tanpa wayar serta penyelesaian Internet Kebendaan (IoT).

Terakhir, dalam fokus ketiga iaitu memacu ekonomi digital dan inovasi ASEAN, MDEC akan menyokong dasar Industri 4.0 untuk meningkatkan produktiviti negara sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

MEASAT pula dipertanggungjawabkan dengan memfokuskan kepada keterhubungan luar bandar, memastikan akses lebih luas kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan manakala Edotco membangunkan infrastruktur digital mampan, termasuk pembinaan menara hijau untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan.

Penglibatan strategik Malaysia di MWC 2025 juga akan merangkumi perbincangan yang menggabungkan panel yang dinamik, pameran kerjasama pertingkat tertinggi dan perkongsian ilmu.

Pavilion Malaysia di MWC 2025 juga akan menjadi hab inovasi dengan menampilkan teknologi termaju, solusi dipacu oleh AI dan infrastruktur pintar.

Ia dijangka membuka jalan untuk kerjasama dengan pelbagai Memorendum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani dan medium menerokai peluang pelaburan baharu selain mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku pemain utama dalam ekonomi digital global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN