Minyak bawa manfaat ekonomi melimpah namun dikekang subsidi

Minyak bawa manfaat ekonomi melimpah namun dikekang subsidi

KERAJAAN menyasarkan penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun dengan pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepentingan sumber minyak dalam pembangunan ekonomi tidak boleh dipandang remeh bagi negara pengeluar minyak seperti Norway, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia.

Hasil minyak membiayai projek-projek prasarana dan sosial berskala besar dan kecil di banyak negara, termasuk Malaysia.

Sektor Minyak dan gas (O&G)  menjana pendapatan sebanyak USD4.3 trilion (RM19.8 trilion) di seluruh dunia pada 2023, menurut penyedia perkhidmatan penyelidikan pasaran, IBISWorld. 

Selain itu, berdasarkan Tinjauan Industri Minyak dan Gas 2025 Deloitte, menunjukkan industri minyak dan gas secara global telah mengagihkan hampir USD213 bilion (RM946 billion) dalam bentuk dividen dan USD136 bilion (RM604 billion) untuk pembelian semula saham antara Januari 2024 hingga pertengahan November 2024.

Dalam tempoh empat tahun terakhir, perbelanjaan modal industri ini telah meningkat sebanyak 53 peratus. 

Minyak dan gas antara penjana pendapatan terbesar di Malaysia, menyumbang pendapatan sehingga RM300 bilion setiap tahun untuk negara.

Kerajaan menggunakan hasil cukai yang diperoleh daripada minyak dan gas untuk melabur dalam pelbagai projek, antaranya pendidikan, penjagaan kesihatan, prasarana, dan program kebajikan.

Syarikat minyak negara, Petronas, secara langsung membuat sumbangan kepada banyak projek sosial, menurut Yugendran Sivakumaran, seorang penganalisis di Bait Al Amanah, sebuah institut penyelidikan.

“Sebagai contoh, ia melabur berjuta-juta dalam sistem pendidikan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Kesan limpahan

Penemuan minyak juga membawa kepada pembangunan industri huluan dan hiliran.

Di peringkat hiliran, banyak syarikat terlibat dalam segmen jualan dan pengedaran.

Antaranya Gas Malaysia, yang mengedarkan gas asli kepada pelanggan kediaman, komersial, dan perindustrian.

Syarikat lain menyediakan logistik serta perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, dan pembinaan.

Sebagai contoh MISC Bhd. yang mengendalikan kapal-kapal gas asli cecair, petroleum dan produk, mengkhusus dalam pengangkutan tenaga.

Kebanyakan industri ini tidak akan dibangunkan jika bukan kerana sektor O&G, kata Yugendran.

Negeri bukan pengeluar minyak seperti Johor juga mendapat manfaat. 

Ahli ekonomi, Niaz Asadullah berkata, Johor Bahru yang muncul sebagai pusat ekonomi kedua negara, kini boleh memanfaatkan sektor O&G untuk menjadi hab penyimpanan dan perdagangan serantau.

Beliau memberitahu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)  juga akan mewujudkan peluang baharu untuk negeri itu. 

“Kerjasama dengan Singapura, peneraju global dalam pematuhan kriteria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus, juga boleh membantu membangunkan kluster petrokimia yang mesra alam dan ekonomi hijau,” katanya.

Niaz Asadullah, yang merupakan felo bersekutu di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial di Universiti Malaya (UM) berkata, hasil daripada sektor O&G juga telah dilaburkan untuk membina modal insan.

“Ini telah menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Penyasaran subsidi

Hasil minyak bukan sahaja membolehkan kerajaan mengekalkan cukai peribadi dan lain-lain antara yang terendah di Asia Tenggara tetapi juga telah membantu mengekalkan harga barang keperluan melalui subsidi.

Bagaimanapun, kenaikan kos, inflasi, dan faktor-faktor lain kini menyebabkan dasar tersebut perlu difikirkan semula.

Kerajaan membelanjakan RM14.3 bilion untuk subsidi bahan api pada 2023, meningkat 10 kali ganda daripada RM1.4 bilion pada 2019.

Tetapi Malaysia kini mengikut langkah-langkah negara pengeluar minyak lain untuk menyasar semula subsidi.

Pengeluar minyak utama di Afrika, seperti Nigeria, Ghana, dan Kenya telah menghapuskan subsidi minyak.

Di Nigeria, harga pam meningkat hampir tiga kali ganda kepada USD1.52 (RM7.43), di Ghana USD1.03 (RM3.86), dan di Kenya USD1.40 (RM5.24).

Di Norway, pengeluar minyak utama di Eropah, harga purata petrol ialah €1.92 (RM7.67) seliter, termasuk cukai jalan, karbon, dan jualan.

Di Malaysia, subsidi diesel untuk pemilik kenderaan persendirian ditarik pada 10 Jun, sehingga kini harga pam adalah RM 3.13 seliter untuk semenanjung dan RM2.15 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan. 

Rasional

Keputusan untuk mengamalkan mekanisme subsidi bersasar mendapat sokongan meluas.

Antara kumpulan yang menyuarakan sokongan kepada penyasaran subsidi ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader seperti dilaporkan Bernama pada 12 Jun memberitahu, subsidi mestilah bagi mereka yang memerlukan.

“Bukan beri semua orang tanpa mengira status ekonomi mereka,” katanya.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pula berkata, dasar untuk mengurangkan atau menarik balik subsidi akan mengurangkan perbezaan harga di kawasan-kawasan sempadan.

Harga bahan api yang rendah di Malaysia telah menggalakkan penyeludupan komoditi itu ke negara-negara jiran di mana harganya jauh lebih tinggi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menyasarkan penjimatan kira-kira RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun dengan pelaksanaan subsidi bersasar diesel yang dilaksanakan sejak tahun lalu. 

“Apabila kita laksanakan, kita menjangkakan akan memperoleh kira-kira RM4 bilion setahun penjimatan. Namun, pada masa ini, kita mencatatkan (penjimatan) kira-kira RM600 juta sebulan.

Amir berkata, penjimatan akan digunakan untuk menyediakan prasarana awam yang berkualiti dan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN