Menjayakan agenda perniagaan dan pemerkasaan bumiputera
PETALING JAYA: Bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), usaha perlu sentiasa dilakukan untuk mencari keseimbangan bagi memenuhi pelbagai agendanya.
Seperti semua perusahaan, ada agenda perniagaan yang perlu dipenuhi seperti memastikan keuntungan mencapai jangkaan pemegang saham.
Pada masa sama, GLC dan GLIC masih perlu memenuhi syarat-syarat berkait prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk memenuhi agenda tenaga hijau dan lebih penting, pemerkasaan bumiputera.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyeru ketua GLIC dan GLC menyahut cabaran dalam memainkan peranan utama untuk mengemukakan cadangan bernas bagi memperkasa pembangunan ekonomi bumiputera.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan ini bukan sekadar retorik, tetapi perlu diterjemahkan dalam tindakan yang memberi impak nyata kepada pembangunan itu.
Ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 1 Tahun pada 7 Januari lalu, Anwar berkata, pemimpin syarikat terlibat juga perlu berperanan dalam mengerakkan prakarsa atau usaha berkaitan pembangunan ekonomi golongan bumiputera.
Dalam mesyuarat itu, MEB membincangkan kertas-kertas berkaitan pemerkasaan syarikat bumiputera dalam pemerolehan kerajaan melalui Program mySTI dan hala tuju pelaksanaan Wakaf MARA MADANI.
“Sebagai platform tertinggi yang mengangkat agenda bumiputera sebagai agenda nasional, MEB berperanan sebagai platform utama dalam memastikan segala perancangan yang direncanakan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dipantau keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Namun bagi Pengarah Penyelidikan Kanan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf, objektif itu tidak dapat dicapai serentak.
“Hakikatnya, GLC ditubuhkan untuk menyokong agenda pemerkasaan bumiputera tetapi dalam persekitaran semasa, lebih banyak lagi yang diharapkan daripada mereka.
“Kita tidak seharusnya melihat agenda baharu ini sebagai bercanggah dengan keperluan memperkasakan bumiputera,” katanya.
Malah, katanya, kedua-dua agenda itu mesti disepadukan secara berkesan demi manfaat kedua-dua GLC dan bumiputera.
Agenda korporat
Dari segi mencapai objektif perniagaan, GLC dan GLIC telah menunjukkan prestasi yang agak baik.
GLC ialah institusi yang besar di Malaysia. Sebagai contoh Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini mempunyai permodalan pasaran lebih RM81 bilion, menjadikannya salah satu entiti terbesar di Bursa Malaysia.
Secara kolektif, permodalan pasaran 30 GLC teratas dalam Bursa Malaysia bernilai lebih RM952 bilion keseluruhannya.
Malah, banyak GLC telah melebarkan sayap ke luar Malaysia dan bertapak di seluruh dunia.
Malayan Banking Bhd (Maybank), institusi kewangan terbesar negara yang merupakan salah satu daripada lima bank teratas di Asia Tenggara, mempunyai rangkaian global 2,200 cawangan dan 20 pejabat.
Dalam kalangan GLIC, Permodalan Nasional Bhd (PNB) merupakan salah satu syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia, yang mempunyai kepentingan dalam sektor telekomunikasi melalui pelaburannya dalam CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd; dalam sektor tenaga melalui TNB dan Petronas Gas Bhd; serta perbankan melalui CIMB Group Holdings Bhd dan Bank Islam Malaysia Bhd, antara lainnya.
Menjamin kemampanan
Kebanyakan GLIC dan GLC di Malaysia telah mempunyai dasar bagi menangani isu ESG sebagai antara dasar pelaburan bertanggungjawabnya. Ini termasuk libat urus dalam hal ehwal alam sekitar dan sosial.
Tiga GLIC Malaysia sudah pun menjadi pihak menandatangani Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI), rangkaian institusi kewangan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bekerjasama dalam mencapai kemampanan.
Banyak GLIC lain seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sedang giat berusaha memenuhi agenda tenaga hijau mereka sendiri.
Sebagai contoh, Petronas merancang mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada operasinya di Malaysia kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida tahun ini, daripada 54.03 juta tan pada 2022.
Pada 2021, TNB mengumumkan akan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 bawah pelan peralihan tenaganya.
Sementara itu, sektor minyak dan gas (O&G) mendahului dalam bidang inovasi teknologi.
Anak syarikat Petronas, Malaysian Refining Company Sdn Bhd, sedang merintis program melibatkan penggunaan bahan kimia mesra alam untuk merawat enap cemar bagi memperoleh semula minyak dan pada masa sama, mengurangkan jumlah sisa pepejal.
Sokongan terhadap perniagaan Bumiputera
Selain agenda kemampanan, GLC dan GLIC di Malaysia mempunyai satu lagi tanggungjawab, iaitu menyokong pertumbuhan perniagaan bumiputera dan salah satu komponen utamanya adalah membangunkan pembekal di bawah program pembangunan vendor, yang diharapkan dapat menyokong agenda hijau dan usaha teknologi GLC.
Apabila matlamat-matlamat ini tercapai, kedua-dua pihak – GLC dan pembekal – akan mendapat manfaat, kata Sri Murniati.
Tegasnya, usaha menjamin tadbir urus korporat dan memperkasakan perniagaan bumiputera juga tidak seharusnya saling eksklusif.
“Jika program-program itu direka bentuk dengan ketelusan dan pendedahan yang mencukupi, agenda bumiputera boleh menjadi asas tadbir urus korporat untuk GLC juga,” tambahnya.
Bagi pakar ekonomi, Rajah Rasiah, GLC ditubuhkan untuk membantu negara mencapai matlamat-matlamat pembangunannya, termasuk agenda bumiputera.
Namun begitu, katanya, persekitaran yang kompetitif yang membolehkan perniagaan bumiputera disepadukan dalam masyarakat yang lebih luas adalah penting.
“GLC mesti melaksanakan tadbir urus korporat yang teguh termasuk pemantauan dan penguatkuasaan agar ia dapat memenuhi kewajipan ekonominya dan agenda pemerkasaan bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, walaupun suatu tahap kejayaan telah dicapai melalui agenda bumiputera, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Tambahnya, kajian kritis mesti dijalankan dan memandangkan GLC beroperasi dalam persekitaran perniagaan terbuka, piagam perniagaan seperti yang diamalkan oleh syarikat bertaraf dunia perlu diwujudkan untuk menjamin kejayaan. – UTUSAN