LBS biaya RM5 juta bangun Surau Al-Amin di Cameron Highlands

LBS biaya RM5 juta bangun Surau Al-Amin di Cameron Highlands

SURAU Al-Amin di IPD Cameron Highlands bukan sekadar rumah ibadah, tetapi juga simbol perpaduan dan kesejahteraan masyarakat, mencerminkan komitmen tinggi LBS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS) terus menunjukan komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan membina Surau Al-Amin di IPD Brinchang, Cameron Highlands. 

Surau yang terletak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Centrum, Cameron Highlands itu mampu menampung sehingga 200 jemaah dan dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 97,000 penduduk dan pengunjung dengan kemudahan sebuah rumah ibadat yang selesa dan serba lengkap.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Seri Ir Dr Lim Hock San berkata, penyempurnaan ini mencerminkan komitmen teguh LBS dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat serta tanggungjawab sosial korporat. 

“Pembinaan surau ini dibiayai menerusi dana terbitan ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah oleh LBS. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kumpulan dalam menyumbang impak positif kepada masyarakat. 

“ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah merupakan sebuah instrumen kewangan patuh syariah yang bertujuan menyokong inisiatif berorientasikan manfaat sosial, sejajar dengan matlamat LBS untuk pembangunan yang bertanggungjawab dan inklusif,” katanya

Hock San berkata, bermula dari majlis pecah tanah pada 4 Mac 2023, surau yang menelan belanja lebih kurang RM5 juta itu telah berjaya disiapkan dalam tempoh dua tahun. 

“LBS turut bermurah hati menaja majlis perasmian yang menelan belanja sebanyak RM100,000 membuktikan komitmen kukuh yang menyokong inisiatif kemasyarakatan.

Majlis perasmian itu telah diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang, yang turut berkenan merasmikan majlis dengan diiringi Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Mahkota Pahang.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim.

Tambah Hock San, LBS amat berbesar hati atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Tengku Mahkota Pahang dalam majlis yang bersejarah itu. 

“Penyempurnaan Surau Al-Amin bukan sekadar pembangunan infrastruktur, tetapi simbol perpaduan dan pemerkasaan kerohanian dalam komuniti. Surau ini bukan hanya tempat beribadat, tetapi juga pusat refleksi, hubungan silaturahim, dan kebersamaan. 

“Kami berharap surau ini akan menjadi mercu tanda keteguhan dan kesejahteraan yang berpanjangan, memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang.

“Sebagai pemaju hartanah yang komited kepada pembangunan yang bermatlamat, LBS terus menerajui inisiatif yang mempromosikan inklusiviti, kemampanan, dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN