IPOH: Pelaksanaan sistem penyuraian trafik laluan sehala di Tapah yang menjejaskan penjaja di pekan itu akan ditambah baik dengan peruntukan RM19.2 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasil sesi libat urus berterusan termasuk bersama Kementerian Kerja Raya (JKR) serta agensi yang berkenaan, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan di laluan itu menerusi Fasa 1 dan 2.
Katanya, Fasa 1 melibatkan penambaikan laluan sehala sedia ada yang akan bermula 7 hingga 30 April ini dengan kos RM2.2 juta.

Menurutnya, ia melibatkan menukarkan laluan sementara kepada laluan kekal, turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, papan tanda dan garisan baharu, membuka laluan ke masjid melalui Jalan Tapah Road dan penambahbaikan di simpang Sekolah Kebangsaan Satu.
Bagi Fasa 2 katanya, pembinaan Jalan Baharu (2025-2027) akan dimulakan tahun ini juga melibatkan kos RM17 juta menerusi Peruntukan Pembangunan Negeri.
“Ia menghubungkan FT001 Seksyen 539.0 ke FT059 Seksyen 2.0 yang akan menjadi laluan alternatif bagi pengguna Cameron Highlands-Kampar–Bidor tanpa perlu melalui pekan Tapah. Panjang laluan baharu 300 meter, standard R5 dengan dua persimpangan baharu dan lampu jalan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri yakin apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, bukan sahaja aliran trafik menjadi lebih lancar, malah urusan perniagaan, pergerakan pelancong, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat menjadi lebih efisien dan selamat.
“Menyedari kesesakan trafik yang dijangka berlaku menjelang Aidilfitri dan Pilihan Raya Kecil DUN Air Kuning bermula 12 hingga 26 April ini, kerajaan negeri akan menggerakkan sepenuhnya keupayaan agensi penguatkuasaan dan keselamatan bagi melancarkan aliran trafik serta memudahkan pergerakan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan negeri mengambil maklum sejak pelaksanaan sistem jalan sehala itu pelbagai pandangan telah disuarakan oleh masyarakat, ada yang menyokong, ada yang menyatakan kebimbangan malah ada yang menzahirkan cadangan penambahbaikan.
Katanya, segala usaha itu dibuat berdasarkan kajian menyeluruh sebagai perancangan jangka panjang demi keselesaan rakyat.
Lokasi atau Jajaran Penyuraian Trafik_Rev.1 (1)
“Hakikatnya, wujud keperluan yang sangat mendesak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tapah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit. Pembangunan memerlukan pengorbanan dan kita perlu berani membuat perubahan demi kebaikan bersama,” ujarnya.
Katanya, berikutan itu lawatan teknikal, penghantaran memorandum, penyediaan laporan keselamatan dan pertemuan dengan NGO diadakan bagi memastikan suara rakyat diberi perhatian berikutan pelaksanaan sistem jalan sehala itu. – UTUSAN