Kesan ‘misteri’ jalan raya kita

Kesan ‘misteri’ jalan raya kita

MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terbit matahari di awal pagi, jalan di Malaysia dibanjiri dengan ribuan pekerja yang memulakan perjalanan harian.

Sesetengahnya menunggang motosikal, menyelit antara kenderaan dan mengharungi cuaca tidak menentu. Yang lain pula menaiki kereta, bergerak seperti mengesot dalam deretan yang lain sambil memikirkan perihal tuntutan kerja untuk diuruskan.

Mereka keluar dari rumah dengan satu harapan paling asas iaitu untuk kembali dengan selamat.

Tetapi buat 18 rakyat Malaysia saban hari, kepulangan itu tidak pernah terjadi. Pada 2023 saja, angka kemalangan jiwa kerana nahas jalan raya mencecah 6,643 kes.

Derita ini ditanggung berbelas malah puluhan ribu waris keluarga yang tidak lagi berpeluang mendengar sahutan “saya dah balik” di pintu rumah mereka atau berkongsi cerita ketika menikmati hidangan bersama.

Melangkaui sudut pandang tragedi dari sisi kehidupan manusia, kesan kewangan akibat korban nahas jalan raya amat parah.

Statistik Kementerian Pengangkutan merekodkan lebih RM25 bilion hangus berikutan angka korban jalan raya sepanjang 2023, bersamaan 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dua dekad lalu, angka itu sekadar RM18 bilion, namun bukannya bertambah baik, sebaliknya situasi kini semakin meruncing sebanyak 39 peratus.

Untuk perspektif, setiap nyawa yang melayang menyebabkan negara kerugian RM3.12 juta, berdasarkan penilaian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Tetapi, bagaimana anda menilai harga kehilangan kelibat bapa, ibu dan impian anak yang hancur berkecai?

Meskipun mencatatkan kadar kerugian sebegini, kita kekal tidak acuh dengan bahaya yang menanti. Ramai menyangkakan bahawa kematian di tempat kerja melibatkan industri berisiko tinggi, walhal hakikat sebenar jauh meleset.

Kini, tempat paling bahaya untuk pekerja bukan di kilang atau tapak pembinaan, tetapi jalan raya.

Tahun lalu, 70 peratus kematian pekerja yang direkodkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berlaku ketika dalam perjalanan. Mereka ini bukan pekerja dalam persekitaran berbahaya, mengendalikan jentera berat atau di tempat ekstrem.

Sebaliknya, mereka sekadar dalam perjalanan untuk mencari sesuap nasi, cuma pergi tidak kembali.

Sejumlah 86,529 bencana kerja direkodkan tahun lalu, dengan 44,264 daripadanya berlaku di tempat kerja manakala 42,265 lagi ketika perjalanan.

Kini, muncul pula ancaman baharu yang sepatutnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan ia bukan lagi memandu laju secara melulu atau melanggar lampu merah.

Orang ramai kini bersiaran langsung, merakam diri sendiri untuk kandungan TikTok dan Instagram tatkala memandu di atas jalan raya dengan kelajuan 90 hingga 110 kilometer sejam.
Hanya sejenak, nyawa boleh melayang dan segalanya bertukar tragedi. Kajian menunjukkan dalam dua saat hilang fokus, risiko kemalangan meningkat dua kali ganda.

Tetapi, apa terjadi sekiranya gangguan melarat sehingga 30 minit atau lebih lama? Setiap hari, kita lihat video tular mengenai pemandu bertukar lorong bagai ular dipalu, penunggang motosikal menyelit di celah ruang tidak masuk akal antara kenderaan dan sekarang, mata yang sepatutnya melihat jalan sudah terpaku di skrin telefon.

Setiap kali memberi alasan “ala, satu mesej je” atau “nak tengok kejap je”, kita adalah sebahagian daripada masalah.

Ada kalanya, kita harus bertanya pada diri sendiri, sanggupkah menggadai nyawa demi likes sehingga keselamatan jalan raya diperlekeh. Bagaimana jika kita boleh tangani tragedi sebelum ia berlaku? Inilah asas mengapa PERKESO melancarkan Ops Cegah sejak 2022 untuk mengalih pendekatan daripada pampasan kepada pembendungan.

Pada 2023, PERKESO bekerjasama dengan 1,030 majikan untuk membimbing ke arah pengukuhan langkah keselamatan dan hasilnya amat signifikan apabila 937 majikan merekodkan penyusutan kadar kemalangan menjangkau 91 peratus pada tahun lalu.

Tahun ini, usaha diperluas mencakupi 7,000 majikan yang dikenal pasti merekodkan kadar kemalangan tertinggi kerana pencegahan lebih baik daripada penyesalan.

Bagaimanapun, seutuh mana langkah pencegahan, bukan semua tragedi dalam kawalan kita. Ada kalanya, anda sekadar berada di lokasi dan waktu yang salah.

Orang tersayang berhenti di persimpangan lampu merah, sebelum tiba-tiba disodok lori.

Kita menunggang dengan selamat, tetapi pemandu dibuai mimpi melelong ke laluan anda.

Setiap undang-undang dipatuhi, namun kecuaian orang lain menyebabkan hidup anda berubah sekelip mata. Bagi yang terkorban, khususnya melibatkan tulang belakang keluarga, tempias kewangan kepada waris bakal merencatkan keseluruhan rantaian hidup mereka.

Inilah sebabnya mengapa pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) wajar disegerakan demi menjamin tiada individu tersisih daripada mendapat sokongan apabila terbabit dalam nahas jalan raya yang berpunca daripada perjalanan bukan untuk tujuan kerja.

Skim ini menyediakan perlindungan kewangan, faedah perubatan dan keilatan, sekali gus dapat menjadi penampan terbaik jika perkara tidak diingini berlaku.

Dalam tempoh berbaki kurang seminggu, jutaan pengguna akan memenuhi jalan raya dan teruja untuk bersua dengan keluarga serta sanak saudara sempena Aidilfitri.

Justeru, setiap rakyat Malaysia harus bertanya kepada diri sendiri. Apakah harga nyawa anda? Tangguhkan teks pesanan, waima panggilan telefon sekali pun kerana dikebumikan semata-mata bersiaran langsung ketika memandu adalah langsung tidak berbaloi.

Kembara pulang ke rumah tidak seharusnya menjadi perjalanan sehala. Ayuh pastikan setiap daripada kita tiba dengan selamat di destinasi masing-masing.

Jika anda merupakan seorang majikan, laksanakan langkah pencegahan lebih berkesan di tempat kerja. Andai anda pengguna jalan raya, sila berhati-hati, jangan sibuk dengan telefon, jaga had laju dan kekal fokus.

Menerusi langkah pencegahan sedia ada, pelengkap terakhir ke arah keterangkuman keselamatan sosial di Malaysia kini terletak pada pelaksanaan SKBBK yang bakal berperanan sebagai penampan dengan menyediakan perlindungan menyeluruh.

Meskipun takdir di jalan raya adalah sesuatu yang berada di luar kawalan, kita sebenarnya mampu merangka langkah persediaan, perlindungan dan tindak balas sewajarnya.

Keselamatan bukan hanya diukur dengan statistik kerana setiap satu angka terdiri daripada nyawa seorang ibu, bapa dan anak yang bakal menerima kesan di luar kemampuan.

Sebaliknya, setiap jiwa di Malaysia harus tiba dengan selamat di kampung halaman, bukan hanya menjelang raya tetapi saban hari.

Jangan diucap ‘Selamat’ Hari Raya jika kita biarkan tragedi menghantui diri atau lebih teruk, kita adalah puncanya.

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN