IKMa bantu koperasi luar bandar, kurang aktif melalui Jom@COOP

IKMa bantu koperasi luar bandar, kurang aktif melalui Jom@COOP

MOHD. ALI MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Koperasi-koperasi luar bandar di negara ini terutama yang kurang aktif bakal mendapat ‘nafas’ baharu melalui pelaksanaan program Jom@COOP kerana dijangka dapat meningkatkan daya saing mereka.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, Jom@COOP merupakan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) yang dilengkapi dengan elemen dan penambahbaikan baharu.

Menurut beliau, Jom@COOP mempunyai 50 lokasi sasaran iaitu meningkat sebanyak 30 tempat dari tahun sebelumnya dan memberi fokus pada koperasi yang terletak di kawasan-kawasan luar bandar.

Jelasnya, program tersebut turut menawarkan lebih banyak sesi interaktif seperti bicara ilmu, forum dan perkongsian kejayaan koperasi.

“Matlamat IKMa adalah untuk melakukan transformasi terhadap koperasi luar bandar, jadi kita akan turun ke bandar-bandar kecil ini supaya mereka boleh datang, supaya kita dapat maklumkan program yang dilaksanakan sepanjang tahun.
Menteri.

“Kita mahu mempromosikan pendidikan koperasi, di samping mendedahkan mereka kepada badan-badan atau agensi yang berkaitan terutama di bawah Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) untuk membantu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Ali berkata, IKMa berhasrat untuk meningkatkan jumlah koperasi yang aktif kepada 70 peratus melalui Jom@COOP memandangkan pada ketika ini hanya 60 peratus sahaja koperasi di seluruh negara yang aktif.

Jelasnya, banyak koperasi menjadi tidak aktif kerana mempunyai matlamat yang kurang jelas semasa penubuhan di peringkat awal.

“Pihak IKMa dapati bahawa koperasi berkenaan tidak mempunyai pelan perniagaan yang baik dan turut tidak mempunyai modal. Jadi kita mahu turun ke bawah untuk mengaktifkan mana-mana koperasi yang mempunyai kemampuan untuk bergerak.

“Kita akan beri mereka arah tuju baharu melalui pelan pembangunan ini untuk memastikan koperasi menjadi lebih aktif dan bergerak lebih ke hadapan atau menjadi lebih besar, sekali gus membantu proses pembangunan ekonomi desa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, IKMa sedang giat melebarkan ‘sayap’ ke empat cawangan baharu iaitu di Miri (Sarawak), Tawau (Sabah), Ipoh (Perak) dan Terengganu bagi memastikan pihak koperasi di kawasan luar bandar mudah untuk berhubung dengan pihaknya.

“Pegawai-pegawai IKMa kini berada di 10 tempat dan sentiasa berkomunikasi dengan koperasi-koperasi luar bandar serta memberikan bantuan yang diperlukan.

“Kita juga bekerjasama dengan kerajaan negeri, supaya mereka boleh turut sama membantu koperasi di negeri mereka untuk berkembang,” jelasnya.

Beliau berkata, IKMa menerusi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) turut menyediakan program hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) yang boleh disertai oleh mana-mana ahli serta lembaga koperasi.

Katanya, IKMa mahu melatih generasi baharu memandangkan industri koperasi kini hanya dipenuhi dengan golongan yang berusia iaitu 50 tahun ke atas.

“Ini kerana generasi muda lebih berminat untuk menyertai sektor awam dan swasta, kalau mereka meniaga pun melalui syarikat dan bukannya koperasi. IKMa lihat kita boleh jadikan ia sebagai peluang kerjaya baharu kepada anak-anak muda.

“Malah, koperasi-koperasi yang bermasalah ini kita dapati bahawa mereka tidak mempunyai pengurusan dari tenaga muda. Jadi jika kita dapat perbetulkan masalah dan menyuntik golongan muda ke dalam sektor maka ia akan memastikan koperasi lebih berkembang,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan memberi ruang perniagaan lebih besar kepada IKMa supaya bukan sahaja meningkatkan kuantiti koperasi di negara ini tetapi turut melahirkan koperasi yang berkualiti.

“Ia merupakan sumber kekayaan baharu negara, dalam soal sekuriti makanan dan sebagainya. Beri peluang kepada koperasi yang kita sudah bimbing ini untuk bergerak lebih cepat supaya boleh membantu kerajaan serta menjadi sektor yang penting untuk ekonomi Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN