Henti pertikai hak O&G Petronas, bekas pegawai Perbendaharaan beritahu Sarawak

Henti pertikai hak O&G Petronas, bekas pegawai Perbendaharaan beritahu Sarawak

SARAWAK menegaskan semua pengguna domestik perlu membeli gas mereka daripada Petros, satu aturan dibimbangi mengganggu perjanjian komersial sedia ada dimiliki Petronas dengan pengguna akhir di negeri itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai kanan Perbendaharaan menggesa hak Petronas ke atas sumber minyak dan gas (O&G) di Sarawak tidak dipertikai, ketika wujud laporan bahawa rundingan antara syarikat itu dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menghadapi kebuntuan.

Nik Azmi Nik Daud berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) sebagai rangka kerja utama dalam tadbir urus minyak dan gas.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pada 17 Februari lalu, Anwar dilaporkan berkata, kontrak antarabangsa dan domestik sedia ada Petronas tidak akan terjejas walaupun Petros mengambil alih peranan sebagai agregator gas.

Namun, menurut sumber dalam kerajaan Sarawak, negeri itu tetap bertegas bahawa semua pengguna domestik mesti membeli gas daripada Petros.

“Aturan sebegini akan mengganggu perjanjian komersial sedia ada yang telah dimeterai oleh Petronas dengan pengguna akhir di negeri ini,” katanya.

Nik Azmi berkata, kesahan PDA tidak boleh dipertikai dan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Undang-undang Negeri sekiranya berlaku konflik.

“Kuasa penuh ke atas minyak dan gas adalah milik Petronas seperti termaktub dalam perlembagaan menerusi PDA dan  undang-undang itu telah diluluskan dengan sempurna oleh Dewan Rakyat dan didokumenkan dengan baik.

“Pertikaian yang tidak berasas tidak akan mengubah hakikat ini. Wakil Sarawak dan semua pihak seharusnya merujuk sejarah dan berhenti menyebarkan maklumat salah yang boleh merosakkan hubungan antara rakyat Malaysia.

“PDA memberikan hak pemilikan dan kuasa kepada Petronas ke atas semua aktiviti minyak dan gas di seluruh negara, termasuk sektor huluan dan hiliran,” katanya.

Nik Azmi berkata, sebelum kewujudan PDA, Malaysia tidak mempunyai sebarang akses terhadap sumber minyak dan gas kerana telah diberikan oleh kuasa kolonial kepada syarikat minyak asing untuk tempoh tidak ditentukan.

“Malah, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman gagal mendapatkan semula hak ini walaupun berjaya memperoleh kemerdekaan Tanah Melayu daripada pemerintahan British,” katanya.

Pada 3 Mac, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengkritik DAP Sarawak kerana mempertikaikan keberkesanan PDA setelah sebelum ini mengiktiraf kesahihannya.

Pada Februari lalu, penasihat undang-undang Sarawak, JC Fong, menuduh kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein merangka PDA secara rahsia.

“Individu yang mendakwa Sarawak tidak pernah dirunding mengenai PDA sepatutnya menyemak fakta mereka,” kata Nik Azmi.

“Ketika Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai penyediaan dan kelulusan PDA, beliau mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Abdul Rahman Yakub.

“Malah, Menteri Perusahaan Utama ketika itu, Abdul Taib Mahmud (seorang anak jati Sarawak) yang kemudian menjadi Ketua Menteri dan Gabenor Sarawak telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Hidrokarbon di Dewan Rakyat tetapi ditolak.

“Rahman Yakub dan Tengku Razaleigh kemudiannya mencadangkan Petronas mengambil alih pengagihan minyak (yang termasuk dalam peranan agregator) untuk manfaat semua pihak,” katanya, merujuk kepada laporan Straits Times pada 29 Jul 1976.

Semua negeri menandatangani perjanjian pemindahan hak milik kepada Petronas secara kekal.

“Pada majlis penguatkuasaan PDA pada Ogos 1976, Abdul Razak dan pemimpin lain menyaksikan Setiausaha Negeri Sarawak ketika itu, Bujang Nor, menandatangani perjanjian pemindahan hak,” tambahnya.

Nik Azmi turut menolak dakwaan bahawa Ahli Parlimen Sarawak tidak terlibat dalam kelulusan PDA dan bahawa Rahman Yakub bertindak secara bersendirian dalam pemindahan hak minyak dan gas negeri itu.

“PDA tidak mungkin diluluskan tanpa mendapat kelulusan dua pertiga daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Nik Saghir (Mohd Noor) dari Petronas bersama sekumpulan peguam, termasuk peguam negara ketika itu, Salleh Abas, memastikan bahawa semua aspek perundangan dan perlembagaan dipatuhi sebelum hak minyak dan gas dipindahkan kepada Petronas di bawah PDA.

“Tengku Razaleigh menasihati semua kepimpinan negeri supaya tidak membentangkan sebarang usul ke badan perundangan mereka melainkan mereka yakin ia akan memperoleh majoriti dua pertiga. Rahman Yakub berjaya mendapatkan kelulusan DUN Sarawak untuk PDA.

“Persetujuan untuk bayaran tunai lima peratus kepada semua negeri lain diterima sekiranya minyak dan gas ditemui di negeri mereka,” katanya.

Sementara itu, Nik Azmi berkata, pelantikan Sarawak sebagai agregator gas tidak bertentangan dengan PDA.

Beliau berkata, Seksyen 6 dalam akta itu memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk menyerahkan peranan hiliran kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, beliau menekankan selain daripada mengedarkan gas, agregator juga mesti menyelenggara dan menaik taraf semua infrastruktur seperti saluran paip.

“Sarawak dan negeri-negeri lain boleh memohon, tetapi mereka perlu membuktikan mampu mengurusnya. Petronas tidak akan menyelamatkan mereka jika mereka gagal,” katanya sambil menekankan kos modal tinggi untuk peranan itu.

Nik Azmi menambah bahawa dengan menyerahkan perbelanjaan modal kepada Petros, ia dapat meringankan beban Petronas dan membolehkan syarikat minyak negara itu menumpukan perhatian kepada pelaburan berpendapatan tinggi.

“Pemilikan dan kuasa ke atas semua aktiviti huluan tetap berada dalam kawalan Petronas, tetapi negeri-negeri boleh memohon menjadi rakan kongsi di bawah perjanjian pembangunan bersama, sama seperti syarikat-syarikat lain di peringkat antarabangsa.

“Proses ini terbuka jika mereka memenuhi syarat, mereka boleh membida. Semua pihak mengeluarkan kenyataan atau cadangan berpandukan fakta.

“Kerangka perundangan adalah jelas. Tiada ruang untuk teori tidak berasas,” tegasnya.

Tuntutan Sarawak berkait PDA tidak berasas

Seorang peguam kanan yang berpengalaman luas dalam litigasi minyak dan gas menegaskan bahawa PDA adalah sah dari segi perlembagaan, bertentangan dengan dakwaan pernah dibuat oleh Sarawak.

“Mahkamah tidak pernah memutuskan bahawa PDA adalah tidak berperlembagaan. Dakwaan bahawa PDA diluluskan semasa darurat dan oleh itu tidak sah adalah tidak benar.

“Itu tidak benar kerana walaupun Malaysia berada dalam darurat, Parlimen bersidang semula selepas tiga tahun. Darurat berlaku dari 1969 hingga 1971, selepas itu Parlimen bersidang.

“Walaupun secara teorinya negara dalam keadaan darurart, tetapi Parlimen berfungsi sepenuhnya dan banyak undang-undang telah digubal sepanjang tempoh itu. Undang-undang tersebut masih berkuat kuasa. PDA bukanlah undang-undang darurat,” tegasnya.

Peguam itu juga menegaskan, walaupun Sarawak mempunyai hak istimewa di bawah Perjanjian Malaysia 1963, hak tersebut tidak meliputi pemilikan dan kuasa ke atas minyak dan gas.

“Sabah dan Sarawak tidak seperti negeri-negeri lain, jadi mereka mempunyai lapisan hak tambahan. Tetapi perkara yang penting ialah, tanpa mengira Perjanjian Malaysia 1963, mereka telah menerima persekutuan,” katanya.

Menurutnya, menerusi penerimaam itu mereka telah menerima bahawa akan ada pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, katanya.

“Dan dalam kes Sarawak, ia boleh menggunakan hak tambahannya. Itu bukan masalah. Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan Perlembagaan Persekutuan dan kuasanya.

“Adakah Sarawak mempunyai keupayaan perundangan untuk menggubal sebarang undang-undang berkaitan minyak dan gas?

“Jawapannya tidak. Ia sebenarnya termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, sebab itulah PDA boleh digubal. PDA tidak mungkin wujud jika sebaliknya,” katanya.

Peguam itu berkata, tindakan Sarawak selama ini juga menimbulkan keraguan terhadap dakwaannya bahawa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 negeri itu mengatasi PDA.

“PDA telah menetapkan struktur bagi pembayaran tunai iaitu iaitu royalti lima peratus.

“Sarawak telah menerima bayaran itu sejak sekian lama dan masih menerimanya, jadi bagaimana mereka boleh mengatakan bahawa OMO masih sah sedangkan mereka telah menerima PDA dan pembayarannya selama ini?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN