Bubur lambuk ‘gear box’ Sekolah Tengku Budriah dinanti setiap kali Ramadan - Utusan Malaysia

Bubur lambuk ‘gear box’ Sekolah Tengku Budriah dinanti setiap kali Ramadan

GURU-guru dan ibu bapa bergotong-royong menyediakan bubur lambuk tulang ‘gear box’ bagi diagihkan kepada lebih 1,000 murid dan warga sekolah di Sekolah Tengku Budriah (STB) Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Keenakan bubur lambuk tulang ‘gear box’ hasil resepi seorang guru menjadikan ia sentiasa ditunggu-tunggu oleh murid-murid serta warga Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini setiap kali Ramadan.

Pada tahun ini, guru-guru dan jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bergotong-royong menyediakan empat kawah bubur lambuk itu bagi diagihkan kepada lebih 1,000 murid dan warga sekolah.

Gotong-royong menyediakan sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk itu bermula dari pukul 7.30 pagi dan proses pengagihan kepada murid dan warga sekolah berkenaan selesai sekitar pukul 12.00 tengah hari.

Program bubur lambuk mega anjuran badan kebajikan guru dan kakitangan STB bersama PIBG sekolah adalah bersempena Ramadan dengan kali ini penganjuran dalam skala lebih besar serta cukup meriah.

Guru Besar STB, Nor Zaiton Ibrahim berkata, sebanyak empat kawah disediakan membabitkan 60 kilogram beras bagi menyediakan bubur lambuk berkenaan.

Katanya, sebanyak tiga kawah membabitkan tulang ‘gear box’ manakala satu lagi kawah adalah dicampur ayam untuk murid-murid bukan Islam di sekolah berkenaan.

“Aktiviti menyediakan bubur lambuk ini mengambil masa kira-kira empat jam dengan kerjasama guru-guru dan PIBG ini. Program berkenaan juga bagi menyemarakkan Ramadan penuh keberkatan ini, selain mengeratkan hubungan silatulrahim antara guru dan ibu bapa.

“Kita membuat persiapan kira-kira dua hari dengan guru-guru bergilir-gilir memasak bubur lambuk tersebut yang diberikan tanggungjawab kepada badan kebajikan guru dan kakitangan STB,” katanya.

Tukang masak utama bubur lambuk itu, Hasnah Hasan berkata, bubur lambuk berkenaan adalah resipi turun temurun dengan keistimewaan ditambah ‘gear box’.

Katanya, selain penggunaan beras, setiap kawah yang disediakan itu membabitkan penyediaan 18 kilogram daging dan kaki lembu.

“Kira-kira 20 guru bersama menyediakan bubur lambuk tradisi tersebut yang bermula dari 7.30 sehingga 10.30 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PIBG, Saifol Zairy Abd. Rahim pula berkata, program agihan bubur lambuk itu merupakan aktiviti tahunan bersempena Ramadan dengan kali ini diadakan dengan skala lebih besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN