Bernas penuhi keperluan nutrisimurid luar bandar melalui PROMAK

Bernas penuhi keperluan nutrisi murid luar bandar melalui PROMAK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi dalam kalangan kanakkanak terutama murid sekolah rendah hingga menjejaskan tumbesaran mereka.

Perkara ini berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2022, sebanyak 21.2 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami tumbesaran terbantut akibat kekurangan nutrisi.

Ia menjelaskan keperluan nutrisi dalam kalangan kanakkanak merupakan sesuatu yang penting bagi membantu mereka membesar dengan baik.

Melihat peratusan kanakkanak kekurangan nutrisi yang membimbangkan, PadiBeras Nasional Bhd (BERNAS) menampilkan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang disokong Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani masalah itu.

PROMAK yang dilaksanakan sejak 2022 di 97 buah sekolah rendah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah membantu lebih 20,000 murid dari latarbelakang keluarga kurang berkemampuan dan miskin tegar menikmati empat juta hidangan makanan tengah hari setiap hari waktu persekolahan bernilai RM6.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Razif Shahril berkata, PROMAK perlu diberi sokongan penuh bagi menjayakan agenda untuk menangani isu malnutrisi.

Ini kerana, katanya, muridmurid sekolah rendah masih mengalami pertumbuhan pesat dan memerlukan makanan sihat yang seimbang dan berkhasiat diberikan kepada mereka.

“Jadi faktor pemakanan antara yang penting untuk mereka. Ini kerana makanan sihat yang mencukupi memastikan kanak-kanak mendapat tenaga diperlukan untuk pertumbuhan tulang, otot, dan organ.

“Jadi PROMAK merupakan bantuan sokongan kepada kanak-kanak yang tidak mendapat keperluan nutrisi yang diperlukan dari rumah, ini terutama kalau mereka daripada keluarga kurang berkemampuan dan sebagainya.

“Makanan seperti susu dan protein agak mahal untuk dibekalkan oleh keluarga kurang berkemampuan. Jadi apabila PROMAK membekalkan makanan berkhasiat untuk mereka, ia akan membantu dari segi perkembangan minda, tubuh badan dan mengurangkan risiko berlakunya malnutrisi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Mohd. Razif yang juga Pengerusi Active Healthy Kids Malaysia berkata, malnutrisi kalangan kanak-kanak amat bahaya.

“Ini kerana ia boleh berlanjutan hingga mereka dewasa dan sekiranya mereka perempuan maka akan seterusnya melahirkan kanak-kanak yang mempunyai masalah malnutrisi,” ujarnya.

Sependapat dengan beliau, pakar dalam bidang pemakanan dari Fakulti Sains Kesihatan UKM, Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib yang berkata, inisiatif BERNAS mewujudkan PROMAK adalah sangat bagus.

Katanya, PROMAK boleh memenuhi separuh daripada keperluan nutrisi kanak-kanak di sekolah rendah.

“Bagi kanak-kanak sekolah rendah, pentingnya pemakanan sihat bagi memastikan mereka mempunyai tenaga mencukupi supaya boleh menjalankan aktiviti harian,” ujarnya.

Katanya, adalah penting untuk membantu murid-murid dalam usaha memupuk budaya pemakanan yang sihat.

ipupuk dari awal dan tingkatkan pengetahuan pemakanan sihat, ia dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan antaranya obesiti dan bantut,” jelasnya.

PENINGKATAN KEHADIRAN MURID YANG KETARA

Guru Besar di SK Paya Mak Insun Pendang, Kedah yang merupakan penerima PROMAK, Zakiah Ibrahim berkata, progam itu memberi banyak impak kesejahteraan kepada muridnya.

Katanya, pelbagai pencapaian SK Paya Mak Insun Pendang dapat dilihat hasil daripada PROMAK makanan tengah hari sihat yang diberikan kepada murid-murid.

“PROMAK juga membantu sekolah dalam menangani isu ketidakhadiran murid yang meningkat daripada 82 peratus kepada 88 peratus.

“Bagi saya, PROMAK amat membantu bagi menangani permasalahan murid yang kurang mendapat zat makanan. Ini kerana, 90 peratus murid di SK Paya Mak Insun Pendang terdiri daripada golongan B40,” katanya.

PROSES PEMATUHAN PENYEDIAAN MAKANAN YANG KETAT

Pengusaha kantin di SK Seberang Tayor, Terengganu, Che Wan Muhammad Faiz Che Wan Omar berkata, PROMAK perlu dikekal dan diperluaskan bagi membantu murid-murid B40.

“Macam di Kampung Seberang Tayor, majoriti di sini adalah orang miskin jadi PROMAK sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan makanan sihat untuk anak-anak.

“Dengan nilai makanan RM6, kami sediakan makanan yang lengkap dengan lauk ayam atau ikan serta sayur dan buah.

“PROMAK turut mengajar kami cara penyediaan makanan yang berkhasiat kepada murid-murid sekolah rendah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM. Setiap hari kami akan sediakan menu makanan berbeza untuk mereka bagaimanapun ia tetap kekal berkhasiat,” katanya.

Sementara itu, Pengusaha kantin di SK Padang Besar Selatan, Perlis, Rizal Yusof berkata, PROMAK merupakan salah satu cabang perniagaan baharu untuk membantu peniaga meningkatkan pendapatan melalui penyediaan makanan berkhasiat tinggi.

“Macam di sekolah saya ini, banyak murid yang merupakan anak nelayan dan daripada keluarga yang ibu bapanya bekerja kampung seperti pesawah. Jadi tujuan PROMAK ini tepat pada sasaran iaitu membantu murid B40 memperoleh makanan sihat.

“Kadangkala murid balik rumah tengah hari mungkin tiada makanan di rumah, pada sebelah petang pula perlu ke sekolah agama dan sebagainya tetapi selepas ada PROMAK, sebelum murid-murid balik, mereka boleh makan dahulu untuk memenuhi tenaga mereka,” jelasnya.

Wakil PIBG SK Paya Mak Insun Pendang, Kedah, Ahmad Kashap Salleh berkata, PROMAK sangat bagus dan memberi banyak manfaat kepada anak-anak murid terutama sekali golongan B40 di luar bandar.

“Waris mereka terdiri daripada penoreh getah, pesawah dan kerja kampung. Dengan PROMAK juga murid-murid dapat meneruskan pengajian kelas KAFA,” ujar beliau.

Tambahnya, PROMAK membantu murid-murid mengambil makanan seimbang bagi mengatasi masalah malnutrisi kerana penyediaan makanan mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM.

Tinjauan mendapati majoriti murid sekolah rendah menyukai menu di bawah PROMAK. Ada yang menyatakan tidak sabar untuk ke sekolah setiap hari kerana menantikan makanan tengah hari yang lazat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN