KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan atau malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak terutama murid sekolah rendah hingga menjejaskan tumbesaran mereka.
Perkara ini berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2022, sebanyak 21.2 peratus kanakkanak di negara ini mengalami tumbesaran terbantut akibat
kekurangan nutrisi.
Ia menjelaskan keperluan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak merupakan sesuatu yang penting bagi membantu mereka membesar dengan baik.
Melihat peratusan kanak-kanak kekurangan nutrisi yang membimbangkan, PadiBeras Nasional Bhd (BERNAS) menampilkan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang disokong Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani masalah itu.
PROMAK yang dilaksanakan sejak 2022 di 97 buah sekolah rendah di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah
membantu lebih 20,000 murid dari latarbelakang keluarga kurang berkemampuan dan miskin tegar menikmati empat juta hidangan makanan tengah hari setiap hari waktu persekolahan bernilai RM6.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Razif Shahril berkata, PROMAK perlu diberi sokongan
penuh bagi menjayakan agenda untuk menangani isu malnutrisi.
Ini kerana, katanya, murid-murid sekolah rendah masih mengalami pertumbuhan
pesat dan memerlukan makanan sihat yang seimbang dan berkhasiat diberikan
kepada mereka.
“Jadi faktor pemakanan antara yang penting untuk mereka. Ini kerana makanan sihat yang mencukupi memastikan kanak-kanak mendapat tenaga diperlukan untuk pertumbuhan
tulang, otot, dan organ.
“Jadi PROMAK merupakan bantuan sokongan kepada kanak-kanak yang tidak mendapat keperluan nutrisi yang diperlukan dari rumah, ini terutama kalau
mereka daripada keluarga kurang
berkemampuan dan sebagainya.
“Makanan seperti susu dan protein agak mahal untuk dibekalkan oleh keluarga kurang berkemampuan. Jadi apabila
PROMAK membekalkan makanan berkhasiat untuk mereka, ia akan membantu dari segi perkembangan minda, tubuh badan dan mengurangkan risiko berlakunya malnutrisi,” katanya
kepada Utusan Malaysia.
Dr. Mohd. Razif yang juga Pengerusi Active Healthy Kids Malaysia berkata, malnutrisi kalangan kanak-kanak amat
bahaya.
“Ini kerana ia boleh berlanjutan
hingga mereka dewasa dan
sekiranya mereka perempuan
maka akan seterusnya melahirkan
kanak-kanak yang mempunyai
masalah malnutrisi,” ujarnya.
Sependapat dengan beliau, pakar dalam bidang pemakanan dari Fakulti Sains Kesihatan UKM, Profesor Dr. Ruzita Abd. Talib yang berkata, inisiatif BERNAS mewujudkan PROMAK adalah sangat bagus.
Katanya, PROMAK boleh memenuhi separuh daripada keperluan nutrisi kanak-kanak di sekolah rendah.
“Bagi kanak-kanak sekolah rendah, pentingnya pemakanan sihat bagi memastikan mereka mempunyai tenaga mencukupi supaya boleh menjalankan aktiviti harian,” ujarnya.
Katanya, adalah penting untuk membantu murid-murid dalam usaha memupuk budaya pemakanan yang sihat.
“Jika amalan ini dapat dipupuk dari awal dan tingkatkan pengetahuan pemakanan sihat, ia dapat mencegah pelbagai masalah kesihatan antaranya obesiti dan
bantut,” jelasnya.
PENINGKATAN KEHADIRAN MURID YANG KETARA
Guru Besar di SK Paya Mak Insun Pendang, Kedah yang merupakan penerima PROMAK, Zakiah
Ibrahim berkata, program itu memberi banyak impak kesejahteraan kepada muridnya.
Katanya, pelbagai pencapaian
SK Paya Mak Insun Pendang dapat
dilihat hasil daripada PROMAK yang menyediakan makanan tengah hari sihat yang diberikan kepada murid-murid.
PROMAK juga membantu sekolah dalam menangani isu ketidakhadiran murid yang meningkat daripada 82 peratus
kepada 88 peratus.
“Bagi saya, PROMAK amat membantu bagi menangani permasalahan murid yang kurang mendapat zat makanan. Ini kerana, 90 peratus murid di SK Paya Mak InsunbPendang terdiri daripada golongan
B40,” katanya.
PlROSES PEMATUHAN PENYEDIAAN MAKANAN YANG KETAT
Pengusaha kantin di SK Seberang Tayor,
Terengganu, Che Wan Muhammad Faiz Che Wan Omar berkata, PROMAK perlu
dikekal dan diperluaskan bagi membantu murid-murid B40.
*Macam di Kampung Seberang Tayor, majoriti di sini adalah orang miskin jadi PROMAK sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan
makanan sihat untuk anak-anak.
“Dengan nilai makanan RM6, kami sediakan makanan yang lengkap dengan lauk ayam atau ikan serta sayur dan buah.
“PROMAK turut mengajar kami cara penyediaan makanan yang berkhasiat kepada murid-murid sekolah rendah berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh KKM. Setiap hari kami akan sediakan menu makanan berbeza
untuk mereka bagaimanapun ia tetap kekal berkhasiat,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kantin di SK Padang Besar Selatan,Perlis, Rizal Yusof berkata, PROMAK merupakan salah satu
cabang perniagaan baharu untuk membantu peniaga meningkatkan
pendapatan melalui penyediaan
makanan berkhasiat tinggi.
“Macam di sekolah saya ini, banyak murid yang merupakan anak nelayan dan daripada keluarga yang ibu bapanya bekerja kampung seperti pesawah. Jadi
tujuan PROMAK ini tepat pada
sasaran iaitu membantu murid B40 memperoleh makanan sihat.
“Kadangkala murid balik
rumah tengah hari mungkin tiada
makanan di rumah, pada sebelah
petang pula perlu ke sekolah agama dan sebagainya tetapi selepas ada PROMAK, sebelum murid-murid balik, mereka boleh makan dahulu untuk memenuhi
tenaga mereka,” jelasnya.
Wakil PIBG SK Paya Mak Insun Pendang, Kedah, Ahmad Kashap Salleh berkata, PROMAK sangat bagus dan memberi banyak manfaat kepada anak-anak murid
terutama sekali golongan B40 di
luar bandar.
“Waris mereka terdiri daripada penoreh getah, pesawah dan kerja kampung. Dengan PROMAK juga murid-murid dapat meneruskan pengajian kelas KAFA,” ujar beliau.
Tambahnya, PROMAK membantu murid-murid mengambil makanan seimbang bagi mengatasi masalah malnutrisi kerana penyediaan makanan mengikut garis panduan yang ditetapkan KKM.
Tinjauan mendapati majoriti murid sekolah rendah menyukai menu di bawah PROMAK. Ada yang menyatakan tidak sabar untuk ke sekolah setiap hari kerana
menantikan makanan tengah hari yang lazat. – UTUSAN