KUALA LUMPUR: Kira-kira 5.6 juta kanak-kanak di Malaysia termasuk murid-murid sekolah rendah dan menengah berdepan dengan masalah kekurangan nutrisi hingga memberi risiko pada pembesaran mereka.
Jumlah kanak-kanak malnutrisi itu diperoleh melalui Mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini.
Malah, Malaysia turut didedahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa prevalen bantut dalam kalangan kanakkanak berumur bawah lima tahun meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.
Prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun pula meningkat daripada empat peratus pada 2015 kepada 5.6 peratus pada 2019 dan 6.0 peratus pada 2022.
Sementara itu, prevalen bagi berlebihan berat badan dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017 sementara prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017.
Data tersebut menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes.
Pakar program pemakanan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata, masalah malnutrisi berada di tahap yang serius dan tidak selari dengan pembangunan negara.
Menurut beliau, satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia mempunyai masalah bantut yang menggambarkan mereka tidak mempunyai zat makanan yang mencukupi terutama sejak dari rahim ibu mereka lagi.
“Masalah akan berlaku apabila bercerai susu iaitu apabila si ibu mula memperkenalkan complementary food (makanan pelengkap). Sekiranya ibu itu jenis prihatin, rajin dan ada ilmu tentang pemakanan maka bayi itu akan diberikan makanan-makanan yang sihat.
“Masalah bantut ini kita tidak boleh reverse (menterbalikkan) semula, biasanya selepas kanakkanak itu berumur dua tahun maka ia sudah terlambat sebab itu pentingnya program intervensi awal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Hamid Jan berkata, Program Makanan Kesihatan (PROMAK) oleh PadiBeras Nasional Bhd (BERNAS) boleh membantu bagi memastikan pertumbuhan otak dan menjaga kesihatan secara umum.
“Dari segi kajian, kebanyakan kanak-kanak yang mengalami masalah malnutrisi adalah daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Mungkin ibu bapa mereka tidak mampu untuk membelimakanan yang sihat.
“Jadi PROMAK boleh membantu murid-murid sekolah memperoleh makanan yang sihat dan memenuhi nutrisi diperlukan. Program seperti ini memang bagus dan saya amat sokong,” katanya.
Sependapat dengan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penting untuk kanakkanak atau pelajar sekolah memperoleh makanan sihat dan nutrisi yang mencukupi.
Jelasnya, masalah malnutrisi dilihat semakin serius terutama selepas era pandemik Covid-19 dan jumlah kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah tersebut di kawasan bandar sudah meningkat.
“Usaha melalui PROMAK ini memang bagus dan perlu diteruskan untuk memastikan kanak-kanak kita terutama yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan nutrisi mencukupi lalu sekali gus membantu mereka membesar.
“Pada fasa kanak-kanan ini, jika kita tidak memberikan mereka makanan yang berkhasiat dan bernutrisi maka pertumbuhan mereka akan terjejas serta menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah bantut dan obesity,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar Bernas melalui PROMAK untuk memberi pendidikan mengenai pemakanan sihat pada ibu bapa atau keluarga kanak-kanak yang menerima makanan tengahari tersebut.
“Kita boleh ajar keluarga berkenaan bagaimana mereka mahu menyediakan makanan yang sihat untuk anak-anak mereka dan apakah makanan yang sesuai untuk diberikan,” ujarnya. – UTUSAN