Yakin Medic sasar senaraian di Bursa Singapura hujung tahun

Yakin Medic sasar senaraian di Bursa Singapura hujung tahun

TIONG King Sing (dua dari kanan) bersama Patrick Tan Wah Yew (dua dari kiri), Jerry Chua (kiri) dan Cannis Chan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Yakin Medic Bursa Singapura, di Hotel Majestic, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyedia terapi sel stem hidup aktif terkemuka di Malaysia, Yakin Medic Sdn. Bhd. bakal berkembang ke pasaran baharu apabila menyasarkan untuk menyertai tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Singapura (SGX) pada suku keempat 2025 atau awal 2026.

IPO ini dijangka mengumpul dana RM100 juta, dengan RM70 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan membangunkan lot kilang sedia ada di Cyberjaya.

Kemudahan ini akan dilengkapi dengan teknologi canggih bagi meningkatkan pengeluaran sel stem serta mewujudkan makmal satelit untuk penyelidikan lanjut.

Selebihnya akan digunakan bagi menyokong pengembangan ke pasaran luar negara, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperluaskan akses kepada terapi regeneratif.

 

PATRICK Tan Wah Yew pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Yakin Medic Bursa Singapura, di Hotel Majestic, di sini hari ini. 

Pengarah Urusan dan Pengasas Yakin Medic, Patrick Tan berkata, pihaknya bekerjasama dengan Evolve Capital Advisory sebagai penaja dan pengurus terbitan IPO.

Menurutnya, MCI Capital Sdn. Bhd. yang menguruskan aset bernilai RM250 juta telah dilantik sebagai pelabur utama melalui ASIA IPO FUND bagi menyokong syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bersedia untuk penyenaraian awam.

Katanya, Yakin Medic menjangkakan kemudahan baharu di Cyberjaya akan mampu menghasilkan sel stem untuk 5,000 pesakit setiap tahun menjelang 2027.

“Ini selaras dengan komitmen syarikat dalam menangani penyakit degeneratif seperti diabetes yang menjejaskan hampir satu pertiga daripada populasi Malaysia.

“Kajian kami menunjukkan pemberian empat suntikan sel stem berjumlah 100 juta sel setahun boleh menstabilkan pesakit diabetes,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian dan Memorandum Persefahaman Pra-IPO antara Yakin Medic, Evolve Capital Advisory dan MCI Capital, di sini hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Yakin Medic yang diwakili Pengarah Urusan dan Pengasasnya, Patrick Tan; Evolve Capital Advisory yang diwakili Jerry Chua dari Singapura dan MCI Capital yang diwakili Cannis Chan.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tan berkata, perubatan regeneratif dan terapi sel stem kini merevolusikan penjagaan kesihatan global dengan menawarkan penyelesaian inovatif kepada pelbagai penyakit kronik.

“Kita dapat memperbaiki dan meremajakan sel yang menua dengan memanfaatkan teknologi selular.

“Ia juga mengukuhkan keupayaan semula jadi badan untuk melawan penyakit serta meningkatkan kualiti hidup pesakit,” ujarnya.

Sementara itu, Tan berkata, sebagai peneraju dalam bidang ini, Yakin Medic mempunyai paten daripada University of California, Davis, yang diiktiraf sebagai antara 10 universiti awam terbaik di Amerika Syarikat.

“Sel stem kami dihasilkan mengikut piawaian keselamatan ketat dan disahkan oleh komuniti saintifik.

“Kerjasama dengan firma bioteknologi terkemuka akan meningkatkan akses kepada terapi inovatif ini,” katanya.

Beliau juga menekankan Yakin Medic bukan hanya syarikat komersial, sebaliknya membawa misi lebih besar untuk memperkasakan individu dalam mengurus kesihatan mereka.

Katanya, penyenaraian di Singapura bukan sahaja membuka peluang pertumbuhan syarikat tetapi menjadikan Malaysia sebagai hab utama bioteknologi di rantau ini.

“Saya percaya Yakin Medic adalah milik rakyat pada akhirnya. Sel stem mempunyai potensi luar biasa untuk meningkatkan kualiti hidup, dan kami komited untuk menjadikan rawatan ini boleh diakses oleh semua,” katanya.

“Yakin Medic berada pada kedudukan terbaik untuk memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan industri perubatan regeneratif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN