UDA bantu perkasa ekosistem pendidikan digital negara

UDA bantu perkasa ekosistem pendidikan digital negara

MOHD. Annuar Zaini memotong riben pada Smart TV yang disumbangkan oleh UDA Holdings Berhad pada Majlis Penyerahan Smart TV di Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram, Ipoh. – MINGGUAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: UDA Holdings Berhad (UDA) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares – Educational menyalurkan sumbangan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Dihilir Ekram di sini.

Sumbangan bernilai RM22,100 itu merupakan komitmen UDA selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu memperkasa ekosistem pendidikan digital di negara ini.

Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, pemantapan pendidikan digital merupakan inisiatif UDA dalam menyokong pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

Menurutnya, ia juga selari dengan saranan Perdana Menteri yang mahu syarikat-syarikat kerajaan menyediakan peruntukan bagi projek pembangunan yang bermanfaat kepada warga sekolah.

“Apabila UDA berbincang dengan pihak sekolah, mereka minta Smart TV.

“Kita realisasikan kerana ia merupakan salah satu instrumen pendidikan yang terkini untuk membangunkan minat pelajar dalam kaedah pembelajaran yang lebih berteknologi daripada hari ini,” katanya pada Program UDA Cares -Educational; Majlis Penyerahan Smart TV kepada SK Raja Dihilir Ekram di sini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Kesemua Smart TV berukuran 55 inci itu ditempatkan di 10 bilik darjah merangkumi kelas prasekolah, kelas aliran perdana, kelas Program Pendidikan Khas Integrasi dan tiga bilik khas termasuk kelas Program Pemulihan Khas, bilik mesyuarat dan pusat sumber sekolah berkenaan.

Sekolah tersebut merupakan sekolah angkat Mohd.Annuar di bawah program Satu Pemimpin, Satu Kampung (Santuni Madani).

Beliau pernah menjadi murid sekolah rendah di sekolah tersebut antara tahun 1962-1964.

Mohd. Annuar berkata, UDA juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri untuk membangunkan projek tanaman hidroponik di bawah program pertanian bandar di sekolah tersebut.

Katanya, program itu diperkenalkan untuk menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar pentingnya subjek keterjaminan makanan serta membimbing pelajar menanam minat membudayakan diri dalam kegiatan penghasilan makanan.

“Tumpuan turut diberikan terhadap pembangunan sukan tempatan melalui penyediaan platform bagi atlet muda berbakat yang kurang mempunyai kemampuan kewangan menerusi sukan boling di salah sebuah kompleks beli-belah milikan UDA iaitu Angsana Ipoh Mall.

“Satu program sedang dirangka untuk mengenal pasti bakat dan memperkasakan pembangunan sukan boling dalam kalangan murid asnaf di sekitar Ipoh.

“Program ini digerakkan dengan kerjasama yang baik dengan Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, tukar Majlis Sukan Negeri, Yayasan Perak dan Lite Superbowl JB9,” katanya.

Menurutnya, UDA akan terus memperkukuh komitmen CSR UDA Cares menerusi program-program komuniti yang berimpak tinggi sama ada menerusi sumbangan zakat wakalah mahupun sumbangan korporat.

“Sehingga kini, seramai 502 pelajar memerlukan sudah dibantu menerusi Program UDA Cares; Back To School 2025 yang telah diadakan di Johor Bahru, Johor; Sandakan, Sabah dan Lanchang, Pahang, baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN